Blog

  • 7 inisiatif bela veteran tentera

    Kerajaan semalam melancarkan Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) yang menggariskan tujuh inisiatif baru bagi membela nasib dan menjaga kebajikan kira-kira 300,000 veteran tentera dan keluarga mereka.

    • » Program Penempatan Kerja
    • » Program Bimbingan Usahawan
    • » Meningkatkan Penerimaan Latihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera oleh Industri
    • » Kad Privilege 1Malaysia
    • » Pusat Sehenti Veteran 1Malaysia]
    • » Pembangunan Keluarga Veteran 1Malaysia
    • » Membaikpulih dan Membina Rumah Veteran 1Malaysia
  • Isu pembantu rumah: Jakarta timbang henti guna khidmat agensi

    Jakarta: Kemasukan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia mungkin dilakukan tanpa menerusi agensi seperti sekarang, sebaliknya terus kepada majikan.

    Peraturan baru yang bakal menyaksikan fungsi agensi dikurangkan atau dihapuskan terus itu antara kaedah dipertimbangkan Indonesia bagi membolehkan tenaga kerja dihantar terus kepada majikan, sekali gus mengurangkan kos mereka.

    Dalam pertemuan eksklusif bersama BH Ahad di Jakarta semalam, Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar (gambar), berkata pihaknya sedia berunding dengan Persatuan Majikan Pembantu Asing Malaysia (MAMA) jika terus berdepan kesukaran berurusan dengan Persatuan Agensi Pembantu Asing Malaysia (PAPA).

    Kita sedia berunding dengan Persatuan Majikan Pembantu Asing Malaysia jika sukar berurusan dengan Persatuan Agensi Pembantu Asing Malaysia,” Muhaimin Iskandar, Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia

    Hantar terus kepada majikan

    Jika dilaksanakan, penghantaran terus kepada majikan itu menyamai mekanisme antara kerajaan yang digunakan bagi kemasukan pekerja asing Bangladesh ke Malaysia ketika ini.

    Ia juga bermakna majikan di Malaysia boleh mendapatkan pembantu rumah Indonesia tanpa dikenakan bayaran tinggi oleh agensi seperti sebelum ini.

    Namun, Muhaimin berkata, pengambilan masih dalam pengawasan pihak berkuasa Indonesia.
    “Sebahagian besar tugas mendapatkan pembantu rumah dari awal hingga menjadi tenaga terlatih dilakukan agensi di Indonesia, termasuk kos latihan, penempatan asrama dan pemeriksaan kesihatan.

    “Mereka menanggung kos lebih besar, manakala agensi di Malaysia cuma uruskan penghantaran ke rumah majikan.

    “Saya cadangkan agensi di Malaysia menerima 10 peratus daripada bayaran keseluruhan, manakala bakinya diberi kepada agensi Indonesia. Jika tidak, pilihannya ialah untuk kami berunding dengan MAMA,” katanya.

    Berdasarkan memorandum persefahaman pada pertengahan 2011 dan berkuat kuasa April lalu, majikan yang mahu mendapatkan khidmat pembantu rumah Indonesia perlu membayar RM4,511 kepada agensi pembantu rumah asing.

    Dapat semula RM1,800

    Daripada jumlah itu, majikan boleh dapatkan semula RM1,800 menerusi pemotongan gaji tiga bulan pembantu rumah. Namun, PAPA dilaporkan berkata, kerajaan kedua-dua negara dalam perbincangan mengkaji semula struktur kos pengambilan pembantu rumah Indonesia.

    Difahamkan, struktur baru itu membabitkan kos antara RM7,000 hingga RM9,000 bagi menyesuaikannya dengan permintaan dan penawaran.

    Malaysia memerlukan kira-kira 50,000 pembantu rumah Indonesia tetapi kebanyakan majikan mengeluh kerana perlu mengeluarkan kos sehingga RM12,000. Sejak pertengahan tahun lalu, hanya 97 pembantu rumah dari Indonesia memasuki Malaysia untuk bekerja.

    via: Isu pembantu rumah: Jakarta timbang henti guna khidmat agensi

  • Yamaha LC 135ES

    Yamaha LC 135ES

    Dirakamkan pada September 2009, selepas dicuci di sebuah pusat basuh kenderaan di Kampung Lendu.

  • Majlis Perniagaan agenda D-8

    Malaysia mencadangkan Majlis Perniagaan menjadi sebahagian agenda dalam sidang kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) akan datang.

    Ini adalah sebahagian strategi untuk mempertingkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara D-8 yang masih rendah.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perlu diberi slot yang membolehkan mereka berkongsi pengalaman dan cabaran yang dilalui.

    Katanya, interaksi pemimpin negara D-8 bersama komuniti perniagaan membolehkan usaha merangsang aktiviti perdagangan menjadi lebih berkesan.

    Pertemuan dalam forum seperti Majlis Perniagaan yang kami (Malaysia) lakukan akan menggalakkan jaringan dan kerjasama dalam kalangan komuniti perniagaan.

    Ini sekali gus akan memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara D-8, katanya pada sidang kemuncak D-8 di sini, semalam.

    Sidang kemuncak yang dihadiri lapan negara, iaitu Pakistan sebagai tuan rumah, Mesir, Turki, Iran, Indonesia, Bangladesh, Nigeria dan Malaysia, bermula Isnin lalu dan berakhir semalam.
    Muhyiddin berkata, usaha perlu dipertingkatkan untuk menarik penyertaan sektor swasta untuk merangsang perdagangan dalam kalangan negara D-8.

    Katanya, sudah sampai masa komuniti perniagaan mengambil tindakan konkrit berinteraksi sesama mereka supaya strategi meningkatkan perdagangan dibuat perspektif korporat.

    Statistik perdagangan dalam kalangan negara D-8 hanya 7.5 peratus dari perdagangan dunia . Jumlah itu kecil, berbanding sasaran antara 15-20 peratus daripada jumlah perdagangan dunia pada akhir 2018, katanya.

    Muhyiddin turut menggesa negara D-8 memberi tumpuan kepada pembangunan sumber manusia bagi memastikan kumpulan itu terus dinamik dan berdaya saing pada masa depan.

    Katanya, negara D-8 memerlukan sumber manusia berkelayakan dan terlatih untuk mempromosi perdagangan dan pendidikan adalah jawapannya.

    Terdahulu Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, ketika ucapan alu-aluan turut memuji Malaysia sebagai negara yang berdisiplin dan menuju ke arah kemajuan.
    Sumber: Majlis Perniagaan agenda D-8

  • 486 banduan ditempatkan di rumah perantaraan

    Seramai 486 penghuni ditempatkan di Rumah Perantaraan Jabatan Penjara, iaitu premis tempat tinggal sementara yang disediakan untuk bekas banduan yang baru dibebaskan selepas tamat menjalani hukuman penjara.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, daripada jumlah itu, seramai 51 orang masih berada di Rumah Perantaraan iaitu di Perak seramai 11 orang, Kelantan (10), Terengganu (8), Pulau Pinang (7), Melaka (4), Johor (2), Sabah (2) dan seorang masing-masing di Pahang dan Kedah.
    “Sebanyak 14 buah Rumah Perantaraan dibina dan setiap negeri mempunyai sebuah Perantaraan serta telah beroperasi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Rumah Perantaraan di Simpang Pulai, dekat sini, hari ini.

    Katanya, bekas banduan dibenarkan tinggal tidak melebihi tiga bulan di Rumah Perantaraan yang disediakan lengkap dengan kemudahan asas termasuk makan dan minum.

    Lee berkata, Rumah Perantaraan itu diwujudkan bagi membantu bekas banduan mendapat pekerjaan dan kaunseling, mengurangkan kes jenayah berulang, mengelak daripada bergaul dengan rakan yang melakukan jenayah serta membantu menangani masalah stigma sosial apabila keluarga dan masyarakat tidak mahu menerima mereka.

    “Program seperti ini amat bermakna kerana Jabatan Penjara dapat membina landasan pemulihan dari dalam dan luar penjara,” katanya. – BERNAMA

    Sumber: 486 banduan ditempatkan di rumah perantaraan

  • Hamas, Israel henti serangan

    pix_gal0

    Gaza: Israel dan Hamas semalam bersetuju melaksanakan gencatan senjata selepas konflik lapan hari yang mengorbankan 162 warga Palestin dan lima penduduk Yahudi.

    Persetujuan itu yang dicapai selepas Mesir menjadi broker rundingan bersama Amerika Syarikat, bermula jam 3 pagi semalam waktu Malaysia.

    Mengulas perkembangan terbaru itu, Datuk Seri Najib Razak mengalu-alukan gencatan senjata dan berharap perjanjian dapat menghapuskan sekatan ke atas Gaza yang didiami 1.7 juta penduduk Palestin, sekali gus menghentikan kemusnahan, kehilangan nyawa dan harta benda di wilayah berkenaan.

    Malaysia sebelum ini aktif menggesa tindakan ketenteraan dihentikan segera, malah ketika mesyuarat ASEAN-Amerika Syarikat di Phom Penh, Selasa lalu, Perdana Menteri dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, berjaya mempengaruhi Presiden Barack Obama untuk mengambil tindakan bagi membendung keganasan Israel.

    Selepas isu kekejaman Israel dibangkitkan Malaysia dan Indonesia pada mesyuarat itu, Obama membuat beberapa panggilan telefon untuk mendesak supaya konflik berkenaan dihentikan segera.

    Najib berkata, Malaysia memberikan penghormatan kepada semua pihak yang menjayakan perjanjian berkenaan.

    Secara khususnya, kita memuji usaha Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi yang menunjukkan kepemimpinannya dalam menjayakan perjanjian gencatan senjata.
    Begitu juga Obama, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

    Perdana Menteri berkata, usaha perdamaian selepas ini harus memfokuskan kepada proses keamanan di Asia Barat bagi memastikan wilayah bergolak itu menikmati kestabilan.

    Semua pihak kini perlu melipatgandakan usaha ke arah penyelesaian dua negara untuk memberikan rakyat Palestin harapan kehidupan lebih baik dan mencapai keamanan yang berpanjangan di wilayah itu, katanya.

    Persetujuan gencatan itu menetapkan kedua-dua pihak berhenti menyerang lawan masing-masing. Selain melonggarkan sekatan terhadap Gaza, Israel tidak boleh menyerang termasuk mensasarkan serangan terhadap pemimpin Hamas.

    Di pihak pemerintah Gaza pula, pejuang Palestin mesti berhenti melancarkan roket ke wilayah Yahudi.

    Pemimpin kanan Hamas, Khaled Meshaal, berkata pihaknya akan menghormati gencatan senjata selagi Israel berbuat demikian.

    Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula sedia melanjutkan tempoh gencatan senjata tetapi turut bersedia mengambil tindakan lebih keras pada masa depan.

    Pegawai perubatan Gaza berkata, separuh daripada warga Palestin yang maut ialah orang awam, 37 adalah kanak-kanak dan 11 wanita.

    Sepanjang konflik itu, jet tempur Israel melakukan 1,500 serangan selain menggugurkan 1,000 tan bahan letupan di Gaza berbanding satu tan yang lepaskan di wilayahnya.

    Di kalangan korban penduduk Israel, seorang daripadanya askar selepas pejuang melancarkan 1,400 roket ke wilayah Israel termasuk Baitulmaqdis dan Tel Aviv.
    Sumber: Hamas, Israel henti serangan