Jakarta: Kemasukan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia mungkin dilakukan tanpa menerusi agensi seperti sekarang, sebaliknya terus kepada majikan.
Peraturan baru yang bakal menyaksikan fungsi agensi dikurangkan atau dihapuskan terus itu antara kaedah dipertimbangkan Indonesia bagi membolehkan tenaga kerja dihantar terus kepada majikan, sekali gus mengurangkan kos mereka.
Dalam pertemuan eksklusif bersama BH Ahad di Jakarta semalam, Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar (gambar), berkata pihaknya sedia berunding dengan Persatuan Majikan Pembantu Asing Malaysia (MAMA) jika terus berdepan kesukaran berurusan dengan Persatuan Agensi Pembantu Asing Malaysia (PAPA).
Kita sedia berunding dengan Persatuan Majikan Pembantu Asing Malaysia jika sukar berurusan dengan Persatuan Agensi Pembantu Asing Malaysia,” Muhaimin Iskandar, Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia
Hantar terus kepada majikan
Jika dilaksanakan, penghantaran terus kepada majikan itu menyamai mekanisme antara kerajaan yang digunakan bagi kemasukan pekerja asing Bangladesh ke Malaysia ketika ini.
Ia juga bermakna majikan di Malaysia boleh mendapatkan pembantu rumah Indonesia tanpa dikenakan bayaran tinggi oleh agensi seperti sebelum ini.
Namun, Muhaimin berkata, pengambilan masih dalam pengawasan pihak berkuasa Indonesia.
“Sebahagian besar tugas mendapatkan pembantu rumah dari awal hingga menjadi tenaga terlatih dilakukan agensi di Indonesia, termasuk kos latihan, penempatan asrama dan pemeriksaan kesihatan.
“Mereka menanggung kos lebih besar, manakala agensi di Malaysia cuma uruskan penghantaran ke rumah majikan.
“Saya cadangkan agensi di Malaysia menerima 10 peratus daripada bayaran keseluruhan, manakala bakinya diberi kepada agensi Indonesia. Jika tidak, pilihannya ialah untuk kami berunding dengan MAMA,†katanya.
Berdasarkan memorandum persefahaman pada pertengahan 2011 dan berkuat kuasa April lalu, majikan yang mahu mendapatkan khidmat pembantu rumah Indonesia perlu membayar RM4,511 kepada agensi pembantu rumah asing.
Dapat semula RM1,800
Daripada jumlah itu, majikan boleh dapatkan semula RM1,800 menerusi pemotongan gaji tiga bulan pembantu rumah. Namun, PAPA dilaporkan berkata, kerajaan kedua-dua negara dalam perbincangan mengkaji semula struktur kos pengambilan pembantu rumah Indonesia.
Difahamkan, struktur baru itu membabitkan kos antara RM7,000 hingga RM9,000 bagi menyesuaikannya dengan permintaan dan penawaran.
Malaysia memerlukan kira-kira 50,000 pembantu rumah Indonesia tetapi kebanyakan majikan mengeluh kerana perlu mengeluarkan kos sehingga RM12,000. Sejak pertengahan tahun lalu, hanya 97 pembantu rumah dari Indonesia memasuki Malaysia untuk bekerja.
via: Isu pembantu rumah: Jakarta timbang henti guna khidmat agensi
Other articles you might like;