Blog

  • Hab Pendidikan Tinggi Pagoh bukan cerita bohong: TPM

    Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan rancangan projek pembinaan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini yang bernilai hampir RM1 bilion bukan ‘cerita kosong’, sebaliknya akan memacu pembangunan di kawasan utara Johor.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, fasa pertama pembangunan berkenaan akan dimulakan tahun depan yang sekali gus menyangkal cakap-cakap bahawa kerajaan berbohong mengenainya.

    “Ini bukan cerita kosong… pasal ada orang beritahu saya papan tanda sudah naik lebih setahun tetapi projek masih belum dibina.

    “Saya sebagai wakil rakyat tidak pernah bohong. Apabila kita buat sesuatu, kita akan laksanakannya,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Deepavali Parlimen Pagoh, di sini hari ini.

    Turut hadir isteri beliau Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Adun Bukit Serampang Datuk Tahir Mohd Taat.

    Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kawasan pembangunan seluas 202 hektar yang bakal menempatkan tiga universiti, sebuah politeknik dan sekolah menengah itu akan mengimbangi pembangunan Johor selepas pembangunan di Johor selatan yang merangkumi Iskandar Malaysia serta hab minyak dan gas di Pengerang, Kota Tinggi.

    Beliau berkata, seluruh masyarakat Pagoh perlu berbangga dengan pembangunan tersebut kerana memudahkan anak mereka mendapat pendidikan terbaik tanpa perlu pergi jauh dari kawasan Pagoh untuk menimba ilmu.
    Katanya, Sime Darby selaku pemilik tanah sudah diberitahu supaya memulakan kerja pembinaan tahun depan sebelum universiti pertama di kawasan berkenaan dijangka dibuka pada 2015.

    “Inilah keistimewaan Pagoh. Ini bukan ‘angkat bakul masuk sendiri’. Di selatan Johor sudah ada Iskandar Malaysia dan Rapid Petronas, jadi di utara Johor ini, yang terbaik ialah pembinaan hab pendidikan tinggi,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin turut meminta semua masyarakat di kawasan berkenaan supaya melahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Barisan Nasional demi memastikan kehidupan yang lebih terjamin.

    Beliau menegaskan rakyat Pagoh perlu memahami dan yakin dengan perjuangan yang dibawa kerajaan supaya tidak ketinggalan berbanding kawasan lain di negara ini.

    Muhyiddin turut memotong sebiji kek sempena sambutan Deepavali pada majlis itu yang diserikan dengan persembahan kebudayaan masyarakat India. – BERNAMA

    Sumber: Hab Pendidikan Tinggi Pagoh bukan cerita bohong: TPM

  • Tarikh usia bersara 60 tahun diumum

    Kerajaan dijangka mengumumkan tarikh atau tempoh tertentu pelaksanaan umur persaraan 60 tahun, sekali gus menguatkuasakan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012, bulan depan.

    Mesyuarat tertutup di Putrajaya semalam membabitkan Kementerian Sumber Manusia dan beberapa pihak berkepentingan termasuk badan berkanun, majikan, pihak industri, wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menunjukkan tanda positif ke arah itu.

    Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan, ketika dihubungi, berkata kementerian dijangka mengumumkan tarikh pelaksanaan selepas satu lagi pertemuan dengan pihak berkepentingan tetapi beliau tidak pasti tarikh pengumuman.

    Hasil mesyuarat petang tadi (semalam) sangat positif tetapi saya tidak boleh membincangkan lebih lanjut kerana ia mesyuarat tertutup.

    Saya juga tidak boleh menyatakan sebarang pendirian MTUC kerana ia seolah-olah saya membocorkan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat, katanya.

    Berdasarkan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini, umur persaraan wajib bagi pekerja swasta dinaikkan kepada 60 tahun dan majikan tidak boleh memaksa pekerja bersara sebelum kakitangan mencapai usia persaraan minimum.

    Awal bulan ini, akhbar melaporkan kenyataan jurucakap kementerian bahawa umur persaraan baru bagi sektor swasta tidak akan dilaksanakan bermula awal tahun depan walaupun rang undang-undang itu sudah diwartakan pada 16 Ogos lalu.
    Kenyataan itu mengundang reaksi segera MTUC dan Khalid mahu diadakan pertemuan dengan kementerian untuk memperjelas spekulasi itu.

    Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, berkata mesyuarat semalam menunjukkan tanda positif, terutama dalam isu tempoh peralihan sekurang-kurangnya setahun sebelum akta berkuat kuasa bermula daripada tarikh pewartaan akta.

    Katanya, mesyuarat tidak memutuskan bila akan diumumkan mengenai tarikh pelaksanaan umur persaraan 60 tahun.

    Pada prinsipnya kita menyokong peningkatan umur persaraan kepada 60 tahun tetapi itu tidak seharusnya terburu-buru.

    Oleh itu, kami meminta kerajaan menetapkan tempoh peralihan setahun bermula tarikh akta diwartakan bagi membolehkan pelbagai isu berkaitan, terutama percukaian dan insurans diselesaikan, katanya.

    Sumber: Tarikh usia bersara 60 tahun diumum

  • Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2013 berjumlah RM251.5 bilion

    Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 (Belanjawan 2013) berjumlah RM251.6 bilion.

    Belanjawan 2013 itu diluluskan kira-kira 5.30 petang apabila bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin menyaksikan lebih suara menyokong berbanding membantah.

    Ia diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Pada 28 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2013 merangkumi RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

    Persidangan Dewan bersambung minggu depan. – BERNAMA

    Via: Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2013 berjumlah RM251.5 bilion

  • Isu sampah di Selangor jadi topik hangat Sidang DUN

    Isu kutipan sampah yang didakwa tidak dipungut oleh pihak berkuasa tempatan di Selangor, negeri yang diterajui kerajaan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), menjadi perdebatan hangat antara seorang anggota exco dan dua wakil rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

    Perdebatan itu tercetus apabila Saari Sungib (PAS-Hulu Klang) menyifatkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu Tian Khiew tidak faham dengan masalah sampah yang berlaku di negeri itu.

    Saari turut mendakwa wujudnya kontraktor di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak mengutip sampah mengikut jadual yang sepatutnya.

    (more…)

  • Rizab antarabangsa BNM RM424.9 bilion sehingga 14 November

    KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan rizab antarabangsanya berjumlah RM424.9 bilion atau bersamaan dengan AS$138.6 bilion sehingga 14 November.

    Dalam satu kenyataan, BNM berkata paras rizab itu memadai untuk membiayai 9.2 bulan import tertangguh dan 4.2 kali hutang luar negeri jangka pendek. – BERNAMA

    Sumber: Rizab antarabangsa BNM RM424.9 bilion sehingga 14 November

  • 2 juruteknik dan 2 remaja didakwa rompak sebuah spa bersenjatakan parang

    Dua juruteknik dan dua remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merompak berkumpulan bersenjatakan parang di sebuah spa di Sunway Mentari, di sini 11 November lalu.

    R Ananda Raj dan S Magesvaran, masing-masing berumur 24 tahun, bersama dua remaja berumur 17 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap dua mangsa, iaitu juruwang di spa berkenaan, Liau Nyuk Mee, 28; dan seorang pelanggan Chan Ah Kong, 46.

    Keempat-empat tertuduh berkenaan didakwa mengambil wang tunai RM500, kad pengenalan, kad kredit, dan sebuah telefon bimbit, milik Liau; dan wang tunai RM2,210, milik spa itu.

    Mereka turut didakwa mengambil kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit, tiga kad mesin teler automatik (ATM), kad keahlian sebuah kelab golf, wang tunai RM400 dan sebuah telefon bimbit, milik Chan.

    (more…)