Seramai 486 penghuni ditempatkan di Rumah Perantaraan Jabatan Penjara, iaitu premis tempat tinggal sementara yang disediakan untuk bekas banduan yang baru dibebaskan selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, daripada jumlah itu, seramai 51 orang masih berada di Rumah Perantaraan iaitu di Perak seramai 11 orang, Kelantan (10), Terengganu (8), Pulau Pinang (7), Melaka (4), Johor (2), Sabah (2) dan seorang masing-masing di Pahang dan Kedah.
“Sebanyak 14 buah Rumah Perantaraan dibina dan setiap negeri mempunyai sebuah Perantaraan serta telah beroperasi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Rumah Perantaraan di Simpang Pulai, dekat sini, hari ini.
Katanya, bekas banduan dibenarkan tinggal tidak melebihi tiga bulan di Rumah Perantaraan yang disediakan lengkap dengan kemudahan asas termasuk makan dan minum.
Lee berkata, Rumah Perantaraan itu diwujudkan bagi membantu bekas banduan mendapat pekerjaan dan kaunseling, mengurangkan kes jenayah berulang, mengelak daripada bergaul dengan rakan yang melakukan jenayah serta membantu menangani masalah stigma sosial apabila keluarga dan masyarakat tidak mahu menerima mereka.
“Program seperti ini amat bermakna kerana Jabatan Penjara dapat membina landasan pemulihan dari dalam dan luar penjara,” katanya. – BERNAMA
Sumber: 486 banduan ditempatkan di rumah perantaraan
Other articles you might like;