Tahun lepas kita dikejutkan dengan berita pengadil didakwa atas kesalahan menerima suapan oleh Mahkamah Tinggi Singapura. Nama Shokri Nor telah menjadi busuk dek mengejar kesenangan segera.
Jika pengadil yang dianggap jujur dan amanah terlibat dalam gejala yang dilaknat ini, apatah lagi pemain yang sentiasa dekat dengan perancangan licik bookie bola sepak.
Kemudian, selepas tujuh perlawanan Liga Super 2013 kita telah dihidangkan beberapa keputusan pengadil yang kurang menyenangkan. Dua gol Perak dibatalkan atas dakwaan ofsaid dan Shukor Jusoh bermain ‘tarik tali’ dengan Amirul Izwan Yaacob apabila beliau yang diberikan kad merah dipanggil meneruskan semula perlawanan. Situasi ini menunjukkan ada yang tak kena dengan institusi pengadilan bolasepak Malaysia.









