≡ Menu

Majlis Perniagaan agenda D-8

Malaysia mencadangkan Majlis Perniagaan menjadi sebahagian agenda dalam sidang kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) akan datang.

Ini adalah sebahagian strategi untuk mempertingkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara D-8 yang masih rendah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perlu diberi slot yang membolehkan mereka berkongsi pengalaman dan cabaran yang dilalui.

Katanya, interaksi pemimpin negara D-8 bersama komuniti perniagaan membolehkan usaha merangsang aktiviti perdagangan menjadi lebih berkesan.

Pertemuan dalam forum seperti Majlis Perniagaan yang kami (Malaysia) lakukan akan menggalakkan jaringan dan kerjasama dalam kalangan komuniti perniagaan.

Ini sekali gus akan memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara D-8, katanya pada sidang kemuncak D-8 di sini, semalam.

Sidang kemuncak yang dihadiri lapan negara, iaitu Pakistan sebagai tuan rumah, Mesir, Turki, Iran, Indonesia, Bangladesh, Nigeria dan Malaysia, bermula Isnin lalu dan berakhir semalam.
Muhyiddin berkata, usaha perlu dipertingkatkan untuk menarik penyertaan sektor swasta untuk merangsang perdagangan dalam kalangan negara D-8.

Katanya, sudah sampai masa komuniti perniagaan mengambil tindakan konkrit berinteraksi sesama mereka supaya strategi meningkatkan perdagangan dibuat perspektif korporat.

Statistik perdagangan dalam kalangan negara D-8 hanya 7.5 peratus dari perdagangan dunia . Jumlah itu kecil, berbanding sasaran antara 15-20 peratus daripada jumlah perdagangan dunia pada akhir 2018, katanya.

Muhyiddin turut menggesa negara D-8 memberi tumpuan kepada pembangunan sumber manusia bagi memastikan kumpulan itu terus dinamik dan berdaya saing pada masa depan.

Katanya, negara D-8 memerlukan sumber manusia berkelayakan dan terlatih untuk mempromosi perdagangan dan pendidikan adalah jawapannya.

Terdahulu Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, ketika ucapan alu-aluan turut memuji Malaysia sebagai negara yang berdisiplin dan menuju ke arah kemajuan.
Sumber: Majlis Perniagaan agenda D-8

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment