Blog

  • Mentadbir Wang Keluar

    Mentadbir Wang Keluar

    20120925-020027.jpg

    Kalau ikut kata sifu Robert Kiyosaki, pengurusan kewangan adalah punca sebab apa penduduk dunia sentiasa tersepit.

    Sarannya, pengurusan kewangan mesilah dijadikan sebagai pendidikan formal di sekolah mahupun pusat pengajian.

    Bagi yang serius mereka akan berusaha mencari sumber ilmu dalam mendidik diri mereka atau keluarga tentang cara menguruskan kewangan secara betul. Jika tiada kesedaran maka wang yang diperolehi akan mengalir keluar begitu saja.

    Dengan mengetahui nisbah yang betul untuk simpanan, perbelanjaan mahupun melabur seseorang akan lebih terurus dalam mengendalikan kewangan peribadi.

  • Cadangan maju Bandar Getah

    Cadangan maju Bandar Getah

    Najib berbincang bersama sebahagian ahli perniagaan dari negara APEC pada sidang kemuncak persidangan berkenaan di Far Eastern Federal Universiti, Pulau Russky, Russia.

    Vladivostok, Russia: Malaysia mencadangkan pembangunan sebuah Bandar Getah di kawasan sempadan Kedah dan Thailand yang akan mengumpulkan perusahaan berasaskan getah sebagai bahan mentahnya.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata cadangan itu dikemukakan kepada rakan sejawatnya dari Thailand, Yingluck Shinawatra pada pertemuan dua hala di sisi Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, semalam.

    “Saya telah maklumkan bahawa kawasan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya sempadan Kedah-Thailand perlu dibangunkan memandangkan potensinya yang baik, terutama bagi pembangunan berdasarkan kepada konsep Rubber City (Bandar Getah), menggunakan getah sebagai asas,” katanya.

    Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan hari pertama Mesyuarat Pemimpin APEC di sini semalam, Perdana Menteri berkata, bagi pihak Malaysia, kerajaan telah melantik Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyelaras cadangan berkenaan dan mengenal pasti jenis projek yang boleh dilaksanakan.

    Najib turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin tuan rumah Mesyuarat Pemimpin APEC tahun ini, Presiden Russia, Vladimir Putin; Perdana Menteri Australia, Julia Gillard dan Perdana Menteri New Zealand, John Phillip Key.

    Perdana Menteri berkata, semasa pertemuan dengan Putin, perbincangan bertumpu kepada bagaimana meluaskan lagi kerjasama Malaysia dan Russia yang kini lebih menjurus kepada bidang ketenteraan dan aeroangkasa kepada sektor lain seperti pelancongan dan tenaga selain minyak dan gas.

    Russia kuasa beli tinggi

    “Dalam bidang pelancongan, ketika ini hanya lebih kurang 40,000 pelancong Russia melawat Malaysia setahun, berbanding 800,000 ke Thailand dan tiga juta ke Turki. Oleh kerana Russia ada kuasa beli tinggi sekarang, ia pasaran yang besar untuk kita menggalakkan lebih banyak pelancongnya melawat Malaysia,” katanya.

    Perdana Menteri yang turut menyatakan persetujuan menyokong hasrat Russia menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2020, berkata dalam sektor tenaga bukan minyak dan gas pula, syarikat Malaysia mungkin boleh menyertai perniagaan sumber asli seperti arang batu di Russia, manakala syarikat Russia melabur dalam sektor tenaga di Malaysia.

    Sumber: Cadangan maju Bandar Getah

  • Maut langgar konvoi pengantin

    Seorang maut, dua lagi parah apabila sebuah kereta hilang kawalan dan melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki rombongan pengantin di Kilometer 13, Jalan MersingEndau di sini, malam kelmarin.

    Dalam kemalangan jam 7.15 malam itu, penumpang Proton Wira, Mohd Fadhil Ariffin, 18, mati di tempat kejadian akibat cedera di kepala, manakala dua rakannya termasuk pemandu, selamat.

    Dua penumpang Proton Exora, Abdul Fatah Idris, 84, serta isterinya, Indok Akok Dayang Sitakak, 78, cedera parah. Semua mangsa dirawat di Hospital Mersing.

    Masuk laluan bertentangan

    Ketua Polis Daerah Endau, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid, berkata siasatan awal mendapati Proton Wira itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Proton Exora dinaiki rombongan pengantin dari Benut, Pontian.

    Penumpang Proton Exora, Zaiton Abdul Fatah, 44, berkata dalam keadaan hujan dia melihat Proton Wira dari arah Endau terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan MPV dipandu suaminya, Mohd Amin Masot, 48.

    “Sebaik berlanggar, kami terperosok ke bahagian depan kereta. Saya juga lihat seorang penumpang Proton Wira turut tercampak dari kenderaannya,” katanya.

    Sumber: Maut langgar konvoi pengantin

  • Peruntukan kementerian ditambah dalam Bajet 2013

    Peruntukan untuk hampir semua kementerian akan dinaikkan menerusi Bajet 2013 yang dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini. Jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet, Rabu lalu sudah meluluskan draf bajet berkenaan.

    Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata pihaknya sudah meneliti perbelanjaan semua kementerian dan mendapati secara keseluruhan peruntukan setiap kementerian perlu ditambah kerana Malaysia terbabit dengan penilaian Bank Dunia dan di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik, selain perlu melihat semua perbelanjaan setiap kementerian satu persatu.

    Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, peningkatan peruntukan kepada kementerian akan dibantu dengan peningkatan jumlah hasil yang diperoleh kerajaan.

    Di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik, kerajaan melakukan kajian indeks perolehan, khususnya mengenai cukai pendapatan di mana setiap kelemahan dikaji.

    Ahmad Husni berkata, tiga parameter asas kepada bajet kali ini ialah – kerajaan perlu memastikan ada lebihan kos operasi (hasil melebihi perbelanjaan), pertimbangan terhadap dasar fiskal iaitu pengurangan defisit dan nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar perlu dikekalkan di bawah 55 peratus.

    Sumber: Peruntukan kementerian ditambah

  • PARALIMPIK 2012: Muhammad Ziyad raih gangsa

    Atlet elit olahraga negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meraih pingat gangsa dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) pada temasya Sukan Paralimpik London di sini, hari ini.

    Muhammad Ziyad, 22, menghasilkan pingat kedua Malaysia pada temasya edisi ke-14 dengan lontaran sejauh 15.21 meter.

    Sebelum ini, pemanah elit negara Hasihin Sanawi menyumbangkan pingat pertama negara itu pingat perak dalam acara recurve individu lelaki W1/W2 pada Isnin lalu.

    Pingat emas acara itu dimenangi Todd Hodgetts dari Australia dengan jarak 16.29m dan perak menjadi milik Jeffrey Ige dari Sweden dengan jarak 15.50m.

    Ketiga-tiga atlet telah melepasi rekod berusia 12 tahun milik Krzysztof Kaczmarek dari Poland iaitu 13.10 meter pada edisi di Sydney, Australia, pada tahun 2000.

    “Saya memang bersyukur sangat kerana saya dapat menang pingat di Sukan Paralimpik ini. Saya memang sasarkan untuk menang pingat.

    “Pingat ini adalah untuk kedua ibu bapa saya dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong kami di sini,” kata Muhammad Ziyad, yang kali pertama mewakili negara di temasya Sukan Paralimpik.

    Menurut atlet berasal dari Gombak, Selangor itu, beliau sedikitpun tidak merasa tekanan walaupun lontaran ketiga beliau telah dibatalkan.

    “Ia memang kesilapan saya tetapi sedikitpun tidak jejas tumpuan saya untuk berikan yang terbaik. Saya telah beri sepenuh komitmen saya semasa di gelanggang,” katanya.

    Lontaran pingat gangsa Muhammad Ziyad dicatat pada percubaan keduanya selepas percubaan pertama menyamai pencapaian terbaik peribadinya, 13.79m.

    Pada percubaan keempat, Muhammad Ziyad melakukan catatan 14.35m dan pada percubaan kelima dan keenam masing-masing dengan 14.13m dan 14.36m.

    Sementara itu dalam satu lagi acara olahraga yang berlangsung malam ini, Adderin Majurin sekadar berada di kedudukan ke-15 daripada 20 peserta dalam acara lempar cakera lelaki F32/33/34 (cerebral palsy).

    Adderin mencatatkan 24.26m dalam acara tersebut yang dimenangi oleg peserta China Wang Yanzhang dengan jarak 49.03m.

    Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Hani Alnakhli dari Arab Saudi (34.65m) dan Lahouari Bahlaz dari Algeria (22.30m). – Bernama

    Sumber: PARALIMPIK 2012: Muhammad Ziyad raih gangsa

  • Isu kibar bendera: Dua pelajar UNISEL ditahan

    Isu kibar bendera: Dua pelajar UNISEL ditahan

    20120908-133017.jpg

    Kuala Lumpur: Polis semalam menahan dua pelajar Universiti Selangor (UNISEL) berhubung perbuatan mengibar bendera ‘baru’ Malaysia dan menghina gambar pemimpin negara.

    Mereka termasuk penulis blog Singa Selatan yang dalam laman blognya sebelum ini mengaku membawa dan mengibar bendera ‘Sang Saka Malaya’ pada Himpunan Janji Demokrasi yang mencetuskan kontroversi, di Dataran Merdeka pada 30 Ogos lalu.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua pelajar terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    Serah diri diiringi peguam

    Dua pelajar berusia 24 dan 26 tahun itu menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 2.35 petang bersama peguam mereka sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

    Berikutan penahanan terbaru itu, polis sudah menahan dan mengambil keterangan tujuh daripada lapan individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan.

    Seorang lagi wanita dipercayai terbabit dalam insiden memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof itu masih diburu.

    Aziz berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 berhubung tindakan mengibarkan bendera itu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati majoriti rakyat.

    Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan dua pelajar itu adalah rakan seorang pekerja kilang percetakan di Kepong, yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Rabu lalu sebelum dibebaskan selepas keterangannya diambil.

    Serah kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara

    Selain itu, polis menyerahkan kertas siasatan kes menunjuk punggung pada gambar pemimpin negara membabitkan seorang pelajar kolej swasta, Muhammad Ammar A Rahman, 19, kepada Pejabat Peguam Negara, petang semalam.

    Ini termasuk kertas siasatan terhadap penganjur perhimpunan, Maria Chin Abdullah yang dipercayai mengadakan perhimpunan itu tanpa kebenaran selepas gagal menghantar notis 10 hari sebelum perhimpunan diadakan seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2011 bagi membantu siasatan.
    Sumber: Isu kibar bendera: Dua pelajar UNISEL ditahan