Vladivostok, Russia: Malaysia mencadangkan pembangunan sebuah Bandar Getah di kawasan sempadan Kedah dan Thailand yang akan mengumpulkan perusahaan berasaskan getah sebagai bahan mentahnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata cadangan itu dikemukakan kepada rakan sejawatnya dari Thailand, Yingluck Shinawatra pada pertemuan dua hala di sisi Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, semalam.
“Saya telah maklumkan bahawa kawasan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya sempadan Kedah-Thailand perlu dibangunkan memandangkan potensinya yang baik, terutama bagi pembangunan berdasarkan kepada konsep Rubber City (Bandar Getah), menggunakan getah sebagai asas,†katanya.
Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan hari pertama Mesyuarat Pemimpin APEC di sini semalam, Perdana Menteri berkata, bagi pihak Malaysia, kerajaan telah melantik Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyelaras cadangan berkenaan dan mengenal pasti jenis projek yang boleh dilaksanakan.
Najib turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin tuan rumah Mesyuarat Pemimpin APEC tahun ini, Presiden Russia, Vladimir Putin; Perdana Menteri Australia, Julia Gillard dan Perdana Menteri New Zealand, John Phillip Key.
Perdana Menteri berkata, semasa pertemuan dengan Putin, perbincangan bertumpu kepada bagaimana meluaskan lagi kerjasama Malaysia dan Russia yang kini lebih menjurus kepada bidang ketenteraan dan aeroangkasa kepada sektor lain seperti pelancongan dan tenaga selain minyak dan gas.
Russia kuasa beli tinggi
“Dalam bidang pelancongan, ketika ini hanya lebih kurang 40,000 pelancong Russia melawat Malaysia setahun, berbanding 800,000 ke Thailand dan tiga juta ke Turki. Oleh kerana Russia ada kuasa beli tinggi sekarang, ia pasaran yang besar untuk kita menggalakkan lebih banyak pelancongnya melawat Malaysia,†katanya.
Perdana Menteri yang turut menyatakan persetujuan menyokong hasrat Russia menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2020, berkata dalam sektor tenaga bukan minyak dan gas pula, syarikat Malaysia mungkin boleh menyertai perniagaan sumber asli seperti arang batu di Russia, manakala syarikat Russia melabur dalam sektor tenaga di Malaysia.
Sumber: Cadangan maju Bandar Getah
Other articles you might like;
harap dengan wujudnya bandar getah ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitarnya.