
Kuala Lumpur: Polis semalam menahan dua pelajar Universiti Selangor (UNISEL) berhubung perbuatan mengibar bendera ‘baru’ Malaysia dan menghina gambar pemimpin negara.
Mereka termasuk penulis blog Singa Selatan yang dalam laman blognya sebelum ini mengaku membawa dan mengibar bendera ‘Sang Saka Malaya’ pada Himpunan Janji Demokrasi yang mencetuskan kontroversi, di Dataran Merdeka pada 30 Ogos lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua pelajar terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Serah diri diiringi peguam
Dua pelajar berusia 24 dan 26 tahun itu menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 2.35 petang bersama peguam mereka sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
Berikutan penahanan terbaru itu, polis sudah menahan dan mengambil keterangan tujuh daripada lapan individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan.
Seorang lagi wanita dipercayai terbabit dalam insiden memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof itu masih diburu.
Aziz berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 berhubung tindakan mengibarkan bendera itu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati majoriti rakyat.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan dua pelajar itu adalah rakan seorang pekerja kilang percetakan di Kepong, yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Rabu lalu sebelum dibebaskan selepas keterangannya diambil.
Serah kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara
Selain itu, polis menyerahkan kertas siasatan kes menunjuk punggung pada gambar pemimpin negara membabitkan seorang pelajar kolej swasta, Muhammad Ammar A Rahman, 19, kepada Pejabat Peguam Negara, petang semalam.
Ini termasuk kertas siasatan terhadap penganjur perhimpunan, Maria Chin Abdullah yang dipercayai mengadakan perhimpunan itu tanpa kebenaran selepas gagal menghantar notis 10 hari sebelum perhimpunan diadakan seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2011 bagi membantu siasatan.
Sumber: Isu kibar bendera: Dua pelajar UNISEL ditahan
Other articles you might like;