Blog

  • Zionis rancang hapus Palestin

    Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) semalam diberitahu pengeboman berterusan ke atas rumah penduduk Palestin oleh tentera rejim Zionis bukan akibat kecuaian.

    Salah Al-Sammouni, penduduk Zeitun, di Gaza, dalam keterangannya melalui akuan bersumpah berkata, ia dilakukan secara terancang sebagai amaran itulah nasib penduduk jika masih berdegil untuk tinggal di negara mereka sendiri.

    Pegawai naik pangkat

    Katanya, pegawai tentera Israel yang mengetuai serangan bukan saja terlepas daripada tindakan undang-undang, malah dinaikkan pangkat berdasarkan jumlah penduduk yang dibunuh.

    Saksi pertama berusia 33 tahun yang kadang kala menangis ketika memberikan keterangan menceritakan kekejaman tentera mengebom rumah sepupunya dengan pelancar roket pada 5 Januari 2009. Dalam kejadian itu 21 ahli keluarga termasuk bapa, ibu dan anak perempuan beliau yang masih kecil turut terkorban.

    Terus bedil rumah

    Katanya, helikopter Apache hanya berhenti menembak selepas anggota keluarga perempuan yang menanggalkan tudung melambai-lambai tanda mereka tidak bersenjata dan semua ahli keluarga yang cedera kemudian keluar dari rumah.
    Dalam perjalanan ke hospital berjalan kaki, mereka terjumpa tentera rejim yang mengarahkan mereka kembali dengan berkata: “Pergi balik dan mati”.

    “Saya suruh semua orang teruskan dan tak perlu risau jika ditembak kerana kami berhadapan pasukan yang tidak berperikemanusiaan terhadap apa-apa pun,” katanya.

    Beliau berkata demikian di hadapan suruhanjaya yang diketuai bekas Majistret, Musa Ismail, bersama-sama calon Hadiah Nobel Keamanan, Denis J Halliday; bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Prof Hans-Christof Von Sponeck; Pengarah Eksekutif Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), Dr Zulaiha Ismail dan Pengarah Pusat Kajian Globalisasi (CRG), Michel Chossudovsky.

    Sepupu Salah, iaitu Mahmoud, 15, dalam keterangannya berkata, bapanya terkorban terkena tembakan bertalu-talu tentera Israel ketika keluar dari biliknya sambil mengangkat tangan tanda tidak bersenjata dan menyerah diri.

    Mahmoud yang ketika itu berusia 12 tahun turut menceritakan kejadian menyayat hati apabila adik lelakinya berusia empat tahun yang tercedera sempat menyanyikan lagu kegemarannya dan membaca ayat al-Quran sambil berjanji membawa bapa dan ayahnya ke syurga sebelum meninggal dunia pada waktu Subuh.

    Pendengaran Mengenai Palestin oleh suruhanjaya itu bersambung hari ini.

    KDN gerak Skuad Muda

    Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggerakkan Skuad Mudanya untuk membantu mengisi Tabung Kecemasan Gaza yang dikendalikan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), mulai semalam.

    Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Skuad Muda KDN dengan 1.1 juta sukarelawan di bawah semua agensi kementerian akan membantu mengumpul dana bagi mengisi tabung itu untuk membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan Israel.
    Via: Zionis rancang hapus Palestin

  • Parlimen lulus usul kecam Israel

    Mohamed Nazri  membentangkan perbahasan usul khas keganasan ke atas Gaza,  di Dewan Rakyat, semalam. Mohamed Nazri membentangkan perbahasan usul khas keganasan ke atas Gaza, di Dewan Rakyat, semalam.

    10 ketetapan diterima sokong perjuangan rakyat Palestin

    Kuala Lumpur: Parlimen semalam sepakat meluluskan usul tergempar mengecam serangan kejam Israel ke atas wilayah Palestin, di Gaza.

    Seramai 10 Ahli Parlimen mewakili Barisan Nasional (BN), pembangkang dan Bebas yang mengambil bahagian dalam perbahasan senada menyokong usul Datuk Seri Najib Razak yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    Persidangan juga menerima 10 ketetapan, termasuk menzahirkan sokongan padu warga Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara merdeka dan berdaulat.

    Tindakan angkuh

    Perdana Menteri berkata, tindakan Israel melancarkan operasi ‘Pillar of Defence’ sejak 14 November lalu melalui pengeboman dari udara, laut dan darat secara besar-besaran di beratus kawasan Gaza adalah tindakan angkuh tanpa belas ihsan terhadap warga Palestin.

    “Sebagai negara yang sekian lama lantang memperjuang rakyat Palestin, kita harus bersepakat menjelaskan kepada dunia mengenai pendirian Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan Rejim Zionis ke atas saudara kita di Palestin, terutama di Gaza yang ketika ini dizalimi,” katanya.

    Najib berkata, serangan Israel mencabuli undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB dan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 mengenai Perlindungan Orang-Orang Awam Dalam Masa Perang.
    Tolak keganasan

    Katanya, rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan bagi penggunaan kekerasan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin, sekali gus menolak hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin di Gaza.

    “Rakyat Malaysia sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB menghentikan serta merta keganasan Israel,” katanya.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak berputus asa, sebaliknya akan berusaha dan bekerjasama dengan negara bersependapat untuk meminta Presiden Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar berlandaskan Resolusi 377 A (V) 1950 – `Uniting For Peace’ jika Majlis Keselamatan PBB masih berdiam diri.

    “Kementerian Luar akan memastikan Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB di New York terus mengetengahkan perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

    “Usul ini ialah satu daripada cara Malaysia melaksanakan tanggungjawab sebagai negara prihatin terhadap warga Palestin di Gaza yang ditindas oleh rejim Zionis Israel,” katanya.
    Via: Parlimen lulus usul kecam Israel

  • Kemahiran, kualiti guru dipertingkat

    Muhyiddin  merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Malaysia Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru, di Kuala Lumpur, semalam.

    Muhyiddin merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Malaysia Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru, di Kuala Lumpur, semalam.

    Program Pembangunan Profesional Berterusan fokus 2 bidang

    Kuala Lumpur: Mulai tahun depan, program Pembangunan Profesional Berterusan untuk guru akan dipertingkat dengan tumpuan kepada keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bersesuaian dengan persaingan pendidikan abad ke-21 dan transformasi pendidikan untuk melahirkan modal insan bertaraf dunia yang mampu bersaing dan mengharungi cabaran peringkat antarabangsa.

    (more…)

  • Naik gred secara automatik diperluas: KSN

    Datuk Seri Dr Ali Hamsa bersalaman dengan penjawat awam di INTAN, semalam.

    Datuk Seri Dr Ali Hamsa bersalaman dengan penjawat awam di INTAN, semalam.

    Kluang: Seramai 1.42 juta kakitangan awam berpeluang menikmati kenaikan gred tanpa temu duga berikutan cadangan kerajaan memperluaskan kenaikan gred secara automatik.

    Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata cadangan menaikkan gred berdasarkan ‘time base’ itu sedang diteliti sebelum dilaksanakan untuk semua sektor awam.

    “Cadangan ini sedang dikaji dan kita akan perkenalkan secara menyeluruh selepas semua kekangan terutama dari segi perbelanjaan dikaji sepenuhnya. Kita kena ambil kira hasil dan perbelanjaan negara,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya perlu menunggu laporan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

    “Suruhanjaya khas itu sedang mengkaji cadangan berkenaan dan akan menyerahkan laporan mengenai skim kerajaan serta perkhidmatan awam pada 31 Disember nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Majlis Amanat dan Sesi Interaksi bersama Penjawat Awam Daerah Kluang, di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan, di sini semalam.

    Sebelum ini, hanya penjawat awam di sektor pendidikan dan kesihatan menikmati kenaikan gred berdasarkan time base tanpa perlu menghadiri temu duga.

    Via: Naik gred secara automatik diperluas: KSN

  • Obama dengar suara KL

    Najib bersama Obama selepas menghadiri mesyuarat pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat di Phnom Penh, semalam.

    Najib bersama Obama selepas menghadiri mesyuarat pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat di Phnom Penh, semalam.

    Presiden AS ambil tindakan hentikan konflik di Gaza selepas Najib, Susilo bangkitkan isu kekejaman Israel

    Usaha Malaysia dan Indonesia membangkitkan isu kekejaman rejim Zionis ketika mesyuarat ASEAN-Amerika Syarikat di sini kelmarin berjaya mempengaruhi Presiden Barack Obama mengambil tindakan segera membendung keganasan di Gaza.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata selepas beliau dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono bercakap mengenai isu itu, Obama terus bertindak untuk membendungnya.

    Tangani kekejaman zionis

    Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh Obama di luar mesyuarat Perkongsian Trans Pasifik (TPP) di Peace Palace di sini semalam.

    “Obama memberitahu saya, beliau membuat beberapa panggilan telefon selepas Malaysia dan Indonesia membangkitkan perkara itu.”

    “Beliau sudah bertindak memainkan peranan cuba menghentikan konflik yang berlarutan di Gaza,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini semalam.
    Najib berkata, beliau mengambil kesempatan membangkitkan konflik di Gaza dalam mesyuarat pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat dan memohon Obama bertindak mencari penyelesaian membendung keganasan.

    Katanya, ia bukan saja penyelesaian jangka pendek tetapi jangka panjang.

    “Malaysia juga menggesa Amerika meluangkan masa bagi memulakan semula rundingan berdasarkan penyelesaian dua negara sebagai asas penyelesaian pertikaian itu,” katanya.

    Najib berkata, Obama memaklumkan beliau mahu keganasan dihentikan dan mengakui cabaran mencari penyelesaian amat rumit.

    “Oleh itu, Obama amat tertarik konsep kesederhanaan sebab yakin ia adalah satu nilai yang boleh menentukan setiap insan akan mendapat peluang mengembangkan potensi, menyelesaikan konflik serta membantu ke arah keamanan, kedamaian dan kestabilan dunia,” katanya.

    Mengenai perkara lain yang dibangkitkan beliau dalam mesyuarat itu, Najib berkata Malaysia menyokong cadangan oleh Tokoh Terkemuka ASEAN-Amerika Syarikat untuk menaik taraf kerjasama kepada perkongsian strategik.

    “Oleh kerana kepentingan rantau ini sebagai kuasa ekonomi global, cadangan itu akan meningkatkan keyakinan terhadap rantau ini,” katanya.

    Beliau berkata, mesyuarat juga mengalu-alukan cadangan Kumpulan Tokoh Terkemuka ASEAN-Amerika Syarikat supaya mesyuarat itu dinaikkan taraf kepada Sidang Kemuncak.

    Perdana Menteri berkata, Malaysia juga menegaskan komitmen dalam isu sekuriti maritim seperti isu Selat Melaka.

    Via: Obama dengar suara KL

  • Empat pekerja maut, empat lagi cedera dirempuh treler

    Empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) maut manakala empat lagi rakan sekerja mereka cedera selepas dirempuh sebuah treler yang membawa muatan coklat di Kilometer 294.1 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gopeng, awal hari ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohamad Shukri Dahalan berkata kemalangan berlaku pada 4.30 pagi ketika lapan pekerja Propel itu sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di lorong kiri lebuh raya berkenaan.

    Sebelum itu, treler dari arah Johor Bahru ke Ipoh yang hilang kawalan itu merempuh kereta Proton Iswara, MPV Mitsubishi Triton, van dan lori kecil milik pekerja Propel itu yang diletak di lorong kecemasan sebelum melanggar lapan pekerja terbabit, katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. – Bernama

    Via: Empat pekerja maut, empat lagi cedera dirempuh treler