≡ Menu

Obama dengar suara KL

Najib bersama Obama selepas menghadiri mesyuarat pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat di Phnom Penh, semalam.

Najib bersama Obama selepas menghadiri mesyuarat pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat di Phnom Penh, semalam.

Presiden AS ambil tindakan hentikan konflik di Gaza selepas Najib, Susilo bangkitkan isu kekejaman Israel

Usaha Malaysia dan Indonesia membangkitkan isu kekejaman rejim Zionis ketika mesyuarat ASEAN-Amerika Syarikat di sini kelmarin berjaya mempengaruhi Presiden Barack Obama mengambil tindakan segera membendung keganasan di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata selepas beliau dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono bercakap mengenai isu itu, Obama terus bertindak untuk membendungnya.

Tangani kekejaman zionis

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh Obama di luar mesyuarat Perkongsian Trans Pasifik (TPP) di Peace Palace di sini semalam.

“Obama memberitahu saya, beliau membuat beberapa panggilan telefon selepas Malaysia dan Indonesia membangkitkan perkara itu.”

“Beliau sudah bertindak memainkan peranan cuba menghentikan konflik yang berlarutan di Gaza,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini semalam.
Najib berkata, beliau mengambil kesempatan membangkitkan konflik di Gaza dalam mesyuarat pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat dan memohon Obama bertindak mencari penyelesaian membendung keganasan.

Katanya, ia bukan saja penyelesaian jangka pendek tetapi jangka panjang.

“Malaysia juga menggesa Amerika meluangkan masa bagi memulakan semula rundingan berdasarkan penyelesaian dua negara sebagai asas penyelesaian pertikaian itu,” katanya.

Najib berkata, Obama memaklumkan beliau mahu keganasan dihentikan dan mengakui cabaran mencari penyelesaian amat rumit.

“Oleh itu, Obama amat tertarik konsep kesederhanaan sebab yakin ia adalah satu nilai yang boleh menentukan setiap insan akan mendapat peluang mengembangkan potensi, menyelesaikan konflik serta membantu ke arah keamanan, kedamaian dan kestabilan dunia,” katanya.

Mengenai perkara lain yang dibangkitkan beliau dalam mesyuarat itu, Najib berkata Malaysia menyokong cadangan oleh Tokoh Terkemuka ASEAN-Amerika Syarikat untuk menaik taraf kerjasama kepada perkongsian strategik.

“Oleh kerana kepentingan rantau ini sebagai kuasa ekonomi global, cadangan itu akan meningkatkan keyakinan terhadap rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat juga mengalu-alukan cadangan Kumpulan Tokoh Terkemuka ASEAN-Amerika Syarikat supaya mesyuarat itu dinaikkan taraf kepada Sidang Kemuncak.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga menegaskan komitmen dalam isu sekuriti maritim seperti isu Selat Melaka.

Via: Obama dengar suara KL

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment

Papar entri terkini dengan Commentluv <3