Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) semalam diberitahu pengeboman berterusan ke atas rumah penduduk Palestin oleh tentera rejim Zionis bukan akibat kecuaian.
Salah Al-Sammouni, penduduk Zeitun, di Gaza, dalam keterangannya melalui akuan bersumpah berkata, ia dilakukan secara terancang sebagai amaran itulah nasib penduduk jika masih berdegil untuk tinggal di negara mereka sendiri.
Pegawai naik pangkat
Katanya, pegawai tentera Israel yang mengetuai serangan bukan saja terlepas daripada tindakan undang-undang, malah dinaikkan pangkat berdasarkan jumlah penduduk yang dibunuh.
Saksi pertama berusia 33 tahun yang kadang kala menangis ketika memberikan keterangan menceritakan kekejaman tentera mengebom rumah sepupunya dengan pelancar roket pada 5 Januari 2009. Dalam kejadian itu 21 ahli keluarga termasuk bapa, ibu dan anak perempuan beliau yang masih kecil turut terkorban.
Terus bedil rumah
Katanya, helikopter Apache hanya berhenti menembak selepas anggota keluarga perempuan yang menanggalkan tudung melambai-lambai tanda mereka tidak bersenjata dan semua ahli keluarga yang cedera kemudian keluar dari rumah.
Dalam perjalanan ke hospital berjalan kaki, mereka terjumpa tentera rejim yang mengarahkan mereka kembali dengan berkata: “Pergi balik dan mati”.
“Saya suruh semua orang teruskan dan tak perlu risau jika ditembak kerana kami berhadapan pasukan yang tidak berperikemanusiaan terhadap apa-apa pun,” katanya.
Beliau berkata demikian di hadapan suruhanjaya yang diketuai bekas Majistret, Musa Ismail, bersama-sama calon Hadiah Nobel Keamanan, Denis J Halliday; bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Prof Hans-Christof Von Sponeck; Pengarah Eksekutif Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), Dr Zulaiha Ismail dan Pengarah Pusat Kajian Globalisasi (CRG), Michel Chossudovsky.
Sepupu Salah, iaitu Mahmoud, 15, dalam keterangannya berkata, bapanya terkorban terkena tembakan bertalu-talu tentera Israel ketika keluar dari biliknya sambil mengangkat tangan tanda tidak bersenjata dan menyerah diri.
Mahmoud yang ketika itu berusia 12 tahun turut menceritakan kejadian menyayat hati apabila adik lelakinya berusia empat tahun yang tercedera sempat menyanyikan lagu kegemarannya dan membaca ayat al-Quran sambil berjanji membawa bapa dan ayahnya ke syurga sebelum meninggal dunia pada waktu Subuh.
Pendengaran Mengenai Palestin oleh suruhanjaya itu bersambung hari ini.
KDN gerak Skuad Muda
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggerakkan Skuad Mudanya untuk membantu mengisi Tabung Kecemasan Gaza yang dikendalikan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), mulai semalam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Skuad Muda KDN dengan 1.1 juta sukarelawan di bawah semua agensi kementerian akan membantu mengumpul dana bagi mengisi tabung itu untuk membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan Israel.
Via: Zionis rancang hapus Palestin
Other articles you might like;