Industri filem 2012 diharapkan lebih meriah dengan kehadiran 70 buah filem yang bakal ditayangkan. Jika dibandingkan dengan tahun lepas, sebanyak 42 filem dihasilkan, 29 buah filem pada tahun 2010 dan 27 filem pada tahun sebelumnya. Kebangkitan filem Melayu dapat dilihat tahun lepas apabila dua filem berjaya memperolehi kutipan lebih RM10 juta iaitu KL Gangster (RM11.74 juta) dan Ombak Rindu (RM10.79 juta).
Beberapa statistik menarik dapat dibanggakan apabila kutipan kasar filem-filem tempatan mencatat kutipan lebih RM106.4 juta daripada 42 filem Melayu yang ditayangkan di lebih 65 panggung. Kos produksi juga dilihat semakin bertambah apabila pada tahun lepas produser melaburkan lebih RM67 juta untuk menghasilkan filem-filem mereka.








