Category: Cerita Hari Ini

Hiburan

  • JPA kaji selaras gaji graduan

    Kerajaan sedang mengkaji untuk menyelaras tangga gaji penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini memulakan kerjaya dengan Gred 41. Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, pelarasan itu perlu bagi mencapai sasaran masyarakat berpendapatan tinggi dan negara maju menjelang 2020.

    Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan gred yang dicadangkan. Penggredan perjawatan awam berkelulusan ijazah kini bermula daripada gred 41, diikuti Gred 44, Gred 48, Gred 52, Gred 54, Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C, JUSA B, JUSA A, Turus 3, Turus 2, Turus 1 dan Ketua Setiausaha Negara.

    (more…)

  • Kerajaan tak akan patah balik

    Najib melihat pameran selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2012 di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Effendy Rashid. Untuk lebih gambar dan berita dapatkan BH hari ini atau layari BH Digital di http://subscription.nstp.com.my/

    Najib melihat pameran selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2012 di Kuala Lumpur, semalam. – Foto Effendy Rashid.

    Transformasi sistem perundangan negara: PM jamin usaha jadikan sistem lebih progresif akan diteruskan

    Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berjanji kerajaan tidak akan berpatah balik selepas melakukan pelbagai transformasi dalam sistem perundangan negara. Sebaliknya, Perdana Menteri memberi jaminan usaha sejak tahun lalu ke arah sistem yang lebih progresif akan diteruskan walaupun perjalanan ke arah pembaharuan masih jauh.

    “Tembok lebih mudah diruntuhkan daripada asas yang dibangunkan. “Usaha bersungguh-sungguh dan teliti untuk membina asas yang kukuh, teguh serta padu yang akan berupaya menghadapi ujian masa, mengambil masa.” – Datuk Seri Najib Razak

    Namun, Najib menyedari ada pengamal undang-undang, terutama mereka dalam komuniti hak asasi manusia tetap memilih untuk ‘melihat gelas itu sebagai separuh kosong daripada separuh penuh.’

    Kepada mereka, beliau berkata: “Tembok lebih mudah diruntuhkan daripada asas yang dibangunkan. Usaha bersungguh-sungguh dan teliti untuk membina asas yang kukuh, teguh serta padu yang akan berupaya menghadapi ujian masa, mengambil masa.

    Kejayaan tidak dikecapi dalam sehari

    “Seperti Rome tidak dibangunkan dalam sehari, pembinaan Malaysia yang adil, saksama dan demokratik tidak boleh dicapai dalam masa semalaman. Seperti pepatah purba Cina menyebut, suatu perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama.
    “Kita sudah memulakan bukan saja langkah pertama tetapi banyak. Perjalanan itu adalah jauh dan akan diteruskan, namun pembaharuan tidak akan berpatah balik… itu janji saya.”

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2012, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

    Hadir sama Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Presiden Badan Peguam Malaysia, Lim Chee Wee.

    Dengar kritikan membina

    Kerajaan menunaikan janji untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam perundangan negara, antaranya membatalkan tiga Proklamasi Darurat yang membawa kepada pemansuhan Ordinan Darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1971, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis dan memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2011.

    Katanya, kerajaan yang mendengar kritikan membina rakyat, kemudian mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan 1948, di samping melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagi memastikan semua tahanan mendapat akses kepada keadilan.

    Dalam pada itu, Najib berkata walaupun sesekali berlaku perbalahan atau pertelingkahan dalam politik dan profesion undang-undang, Badan Peguam Malaysia tetap rakan penting dalam kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan di negara ini.

    “Apabila ia (peguam) bercakap, kita (kerajaan) mendengar. Kita mungkin tidak sentiasa bersetuju dengan pandangan Badan Peguam Malaysia atau sesetengah aktiviti mereka, tetapi kita mendengar apa yang mereka perkatakan dan memerhati apa dilakukan dengan penuh minat.

    Najib petik ucapan Tun Razak

    “Kita mungkin ada kala membuat lawak mengenai peguam, tetapi mereka bagaimanapun ada peranan unik dan penting di negara ini,” katanya yang memetik ucapan arwah ayahandanya, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, mengenai profesion undang-undang dan peranan badan peguam ketika merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia yang pertama pada 15 Julai 1971.

    Sumber: Kerajaan tak akan patah balik

  • Cadangan maju Bandar Getah

    Cadangan maju Bandar Getah

    Najib berbincang bersama sebahagian ahli perniagaan dari negara APEC pada sidang kemuncak persidangan berkenaan di Far Eastern Federal Universiti, Pulau Russky, Russia.

    Vladivostok, Russia: Malaysia mencadangkan pembangunan sebuah Bandar Getah di kawasan sempadan Kedah dan Thailand yang akan mengumpulkan perusahaan berasaskan getah sebagai bahan mentahnya.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata cadangan itu dikemukakan kepada rakan sejawatnya dari Thailand, Yingluck Shinawatra pada pertemuan dua hala di sisi Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, semalam.

    “Saya telah maklumkan bahawa kawasan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya sempadan Kedah-Thailand perlu dibangunkan memandangkan potensinya yang baik, terutama bagi pembangunan berdasarkan kepada konsep Rubber City (Bandar Getah), menggunakan getah sebagai asas,” katanya.

    Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan hari pertama Mesyuarat Pemimpin APEC di sini semalam, Perdana Menteri berkata, bagi pihak Malaysia, kerajaan telah melantik Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyelaras cadangan berkenaan dan mengenal pasti jenis projek yang boleh dilaksanakan.

    Najib turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin tuan rumah Mesyuarat Pemimpin APEC tahun ini, Presiden Russia, Vladimir Putin; Perdana Menteri Australia, Julia Gillard dan Perdana Menteri New Zealand, John Phillip Key.

    Perdana Menteri berkata, semasa pertemuan dengan Putin, perbincangan bertumpu kepada bagaimana meluaskan lagi kerjasama Malaysia dan Russia yang kini lebih menjurus kepada bidang ketenteraan dan aeroangkasa kepada sektor lain seperti pelancongan dan tenaga selain minyak dan gas.

    Russia kuasa beli tinggi

    “Dalam bidang pelancongan, ketika ini hanya lebih kurang 40,000 pelancong Russia melawat Malaysia setahun, berbanding 800,000 ke Thailand dan tiga juta ke Turki. Oleh kerana Russia ada kuasa beli tinggi sekarang, ia pasaran yang besar untuk kita menggalakkan lebih banyak pelancongnya melawat Malaysia,” katanya.

    Perdana Menteri yang turut menyatakan persetujuan menyokong hasrat Russia menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2020, berkata dalam sektor tenaga bukan minyak dan gas pula, syarikat Malaysia mungkin boleh menyertai perniagaan sumber asli seperti arang batu di Russia, manakala syarikat Russia melabur dalam sektor tenaga di Malaysia.

    Sumber: Cadangan maju Bandar Getah

  • Maut langgar konvoi pengantin

    Seorang maut, dua lagi parah apabila sebuah kereta hilang kawalan dan melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki rombongan pengantin di Kilometer 13, Jalan MersingEndau di sini, malam kelmarin.

    Dalam kemalangan jam 7.15 malam itu, penumpang Proton Wira, Mohd Fadhil Ariffin, 18, mati di tempat kejadian akibat cedera di kepala, manakala dua rakannya termasuk pemandu, selamat.

    Dua penumpang Proton Exora, Abdul Fatah Idris, 84, serta isterinya, Indok Akok Dayang Sitakak, 78, cedera parah. Semua mangsa dirawat di Hospital Mersing.

    Masuk laluan bertentangan

    Ketua Polis Daerah Endau, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid, berkata siasatan awal mendapati Proton Wira itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Proton Exora dinaiki rombongan pengantin dari Benut, Pontian.

    Penumpang Proton Exora, Zaiton Abdul Fatah, 44, berkata dalam keadaan hujan dia melihat Proton Wira dari arah Endau terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan MPV dipandu suaminya, Mohd Amin Masot, 48.

    “Sebaik berlanggar, kami terperosok ke bahagian depan kereta. Saya juga lihat seorang penumpang Proton Wira turut tercampak dari kenderaannya,” katanya.

    Sumber: Maut langgar konvoi pengantin

  • Peruntukan kementerian ditambah dalam Bajet 2013

    Peruntukan untuk hampir semua kementerian akan dinaikkan menerusi Bajet 2013 yang dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini. Jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet, Rabu lalu sudah meluluskan draf bajet berkenaan.

    Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata pihaknya sudah meneliti perbelanjaan semua kementerian dan mendapati secara keseluruhan peruntukan setiap kementerian perlu ditambah kerana Malaysia terbabit dengan penilaian Bank Dunia dan di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik, selain perlu melihat semua perbelanjaan setiap kementerian satu persatu.

    Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, peningkatan peruntukan kepada kementerian akan dibantu dengan peningkatan jumlah hasil yang diperoleh kerajaan.

    Di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik, kerajaan melakukan kajian indeks perolehan, khususnya mengenai cukai pendapatan di mana setiap kelemahan dikaji.

    Ahmad Husni berkata, tiga parameter asas kepada bajet kali ini ialah – kerajaan perlu memastikan ada lebihan kos operasi (hasil melebihi perbelanjaan), pertimbangan terhadap dasar fiskal iaitu pengurangan defisit dan nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar perlu dikekalkan di bawah 55 peratus.

    Sumber: Peruntukan kementerian ditambah

  • PARALIMPIK 2012: Muhammad Ziyad raih gangsa

    Atlet elit olahraga negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meraih pingat gangsa dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) pada temasya Sukan Paralimpik London di sini, hari ini.

    Muhammad Ziyad, 22, menghasilkan pingat kedua Malaysia pada temasya edisi ke-14 dengan lontaran sejauh 15.21 meter.

    Sebelum ini, pemanah elit negara Hasihin Sanawi menyumbangkan pingat pertama negara itu pingat perak dalam acara recurve individu lelaki W1/W2 pada Isnin lalu.

    Pingat emas acara itu dimenangi Todd Hodgetts dari Australia dengan jarak 16.29m dan perak menjadi milik Jeffrey Ige dari Sweden dengan jarak 15.50m.

    Ketiga-tiga atlet telah melepasi rekod berusia 12 tahun milik Krzysztof Kaczmarek dari Poland iaitu 13.10 meter pada edisi di Sydney, Australia, pada tahun 2000.

    “Saya memang bersyukur sangat kerana saya dapat menang pingat di Sukan Paralimpik ini. Saya memang sasarkan untuk menang pingat.

    “Pingat ini adalah untuk kedua ibu bapa saya dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong kami di sini,” kata Muhammad Ziyad, yang kali pertama mewakili negara di temasya Sukan Paralimpik.

    Menurut atlet berasal dari Gombak, Selangor itu, beliau sedikitpun tidak merasa tekanan walaupun lontaran ketiga beliau telah dibatalkan.

    “Ia memang kesilapan saya tetapi sedikitpun tidak jejas tumpuan saya untuk berikan yang terbaik. Saya telah beri sepenuh komitmen saya semasa di gelanggang,” katanya.

    Lontaran pingat gangsa Muhammad Ziyad dicatat pada percubaan keduanya selepas percubaan pertama menyamai pencapaian terbaik peribadinya, 13.79m.

    Pada percubaan keempat, Muhammad Ziyad melakukan catatan 14.35m dan pada percubaan kelima dan keenam masing-masing dengan 14.13m dan 14.36m.

    Sementara itu dalam satu lagi acara olahraga yang berlangsung malam ini, Adderin Majurin sekadar berada di kedudukan ke-15 daripada 20 peserta dalam acara lempar cakera lelaki F32/33/34 (cerebral palsy).

    Adderin mencatatkan 24.26m dalam acara tersebut yang dimenangi oleg peserta China Wang Yanzhang dengan jarak 49.03m.

    Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Hani Alnakhli dari Arab Saudi (34.65m) dan Lahouari Bahlaz dari Algeria (22.30m). – Bernama

    Sumber: PARALIMPIK 2012: Muhammad Ziyad raih gangsa