… inikan pula orang yang pernah disayang. Memang tepat seperti apa yang dikatakan oleh orang tua dahulu. Setiap perasaan cinta yang pernah tertitik di atas hati memang sekali amat sukar dipadamkan. Hari demi hari berlalu, bulan bersilih ganti, masa terus berjalan tetapi perasaan sayang itu masih ada di hati ini.
Entri ini bukan untuk apa, cukup sekadar untuk meluahkan apa yang terbuku dihati. Ketika kesepian keseorangan di serambi level, Adam asyik terkenangkan akan peristiwa ini. Kenangan manis yang pernah kami cipta bersama. Walau tidak selayak cinta Shah Jehan dan Mumtaz, cukup sekadar untuk menyatakan yang hati ini pernah dimiliki suatu tika dahulu.
Kini, semuanya tinggal kenangan belaka. Tiada apa yang tinggal, cuma parut luka lama yang pernah memeritkan hati ini walau dengan penuh kerelaan. Hati ini ingin saja kembali gembira seperti dulu bersama dengan mereka yang pernah disayang. Hati ini ingin menyatakan yang Adam menyesal untuk perpisahan itu.
Tiada guna untuk penyesalan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan tiada penyesalan. Kita perlu sedar bahawa hidup di dunia hanya sementara, setiap yang bermula pasti ada pengakhiran dan kita hanya merancang tetapi sebenarnya telah tertulis dari awal lagi apa itu rezeki kita, dengan siapa kita dijodohkan, dan bila kita akan meninggalkan dunia ini. bercinta yang hanya dikaburi dengan keseronokan duniawi tidak akan kemana. Jika ini yang dicari, maka bermuhasabahlah diri, kita hidup untuk mencari bekalan amal untuk kehidupan yang abadi di sana nanti.
Kita hanya terikat dengan suatu ikatan yang kita bina dengan seutas benang, yang mana akan goyah apabila dihayun dengan hentaman yang sungguh dahsyat. Kita boleh berjanji untuk saling menyayangi dan saling mengungkapkan pepatah ‘saya sayang awak’, tetapi adakah ini akan berterusan sampai bila-bila? Adam mulai sedar akan perkara ini apabila ada saja pasangan yang mulai mengadu bahawa mereka tidak sesuai dengan pasangan masing-masing. Adam bukan arif dalam bidang ini, tapi cukuplah Adam mengatakan bahawa itu adalah ujian dalam percintaan. Adam menghormati mereka yang masih terus menjalinkan hubungan walau selepas berkali-kali ditimpa masalah atau maintain dalam menjalinkan perhubungan cinta jarak jauh. Adakah itu cinta sejati? Mungkin ini yang dikatakan jodoh? Terimalah.. Semua ini sudah tertulis…
Kita sebagai insan biasa sememangnya tidak akan terlepas daripada mempunyai perasaan untuk saling menyayangi. Adalah tidak normal sekiranya seorang remaja tidak mempunyai kehendak untuk bercinta. Jika dilihat dari sudut positifnya, memang ada. Proses percintaan mengajar kita untuk menjadi seorang yang lebih matang dalam segala bidang samada membuat keputusan atau membuat tindakan. Mungkin juga menjadikan seseorang itu rasa lebih bertanggungjawab dan mula memasang matlamat hidup? Kalau negatifnya — semua orang tahu.
Jadi Adam di sini sudah tahu dan sedar apakah sebenarnya cinta sebelum berkahwin yang layaknya sebagai permainan zaman remaja sahaja. Mungkin selepas merasakan pengalaman cinta zaman remaja dan menyedari bahawa ianya tidak akan ke mana, Adam telah bertekad untuk perubahan. Mungkin cukup setakat pengalaman lepas yang banyak mengajar Adam onak dalam kehidupan, Adam serik. Cuma menanti dengan siapakah Adam dijodohkan dan biarlah ia berlaku dengan tanpa dirancang. Adam bahagia bersama rakan-rakan yang sentiasa menyokong. Juga kadangkala terasa gembira dan tersenyum sendirian dengan gelagat sendiri daripada pengalaman lepas. Cukup untuk itu. Terima kasih kepada mereka yang pernah bertakhta di hati ini, yang sama-sama menongkah gelora kesusahan dan kesenangan, menjadi tempat mengadu dan luahan perasaan juga kebahagiaan daripada janji manis ciptaan kita sendiri itu. Sesungguhnya Adam mendoakan mereka berbahagia dengan orang yang mereka cinta dan sayang yang mana mampu memberi lebih kebahagiaan yang mereka kecapi sebelum ini. Jadikan pengalaman lepas sebagai satu pengajaran agar tidak mengulang kesilapan yang sama.
Pesanan kepada yang sedang hangat bercinta, ingatlah batas-batas anda. Anda cuma bercinta yang tiada ikatan kukuh cuma atas ungkapan ‘i love you’ atau ‘saya sayang awak’. Jika benar anda sayangkan dia, buatlah sesuatu untuk menjadikah perhubungan anda diredhai oleh Allah SWT. Juga jangan abaikan tanggungjawab sebenar kita sebagai seorang pelajar, seorang anak atau tamggungjawab sebagai hambanya. Jangan disebabkan anda bersama dia anda terpaksa abaikan rakan-rakan yang sebelum ini menjadi tempat luahan perasaan. Cinta ibarat misscall, semakin dikejar akan hilang tetapi sahabat umpama sms yang sentiasa ada di dalam peti masuk dan hilang apabila dipadam.
Ya Allah Ya Tuhanku
Hambamu ini merindukan rahmat kasih sayang
dan jua keredhaanmu dalam hidupku.
Meskipun ku ulangi dosa-dosa yang menjanjikan azab sengsara,
Namun ku sedar keampunanmu tidak bertepi,
Ku akui diri ini hamba yang mungkir pada janji-janji,
Jadikanlah taubat kami yang sejati padaMu Illahi.
Maaf kiranya entri ini menyimpang jauh daripada tajuk, sesungguhnya manusia disarankan untuk saling berpesan-pesan maka berpesanlah Adam untuk kebaikan bersama. Adam tidaklah orang yang sempurna, cuma bercakap untuk kesedaran diri sendiri dan semoga Adam dipermudahkan untuk terus berada di jalan yang diredhainya.
Other articles you might like;
wah..mendalam…
ye..relax je..tunggu je dgn sapa kita dijodokan..
thx to shahkang kah ? huhu .