Semasa Adam di semester 4 dan mengambil kursus Isu Moden di Malaysia memerlukan Adam dan rakan menjalankan kajian bertajuk “Islam Tidak Boleh Dipolitikkan“. Walaupun isu ini hampir senyap ketika ini namun adalah menjadi amanah Adam untuk menyampaikan sesi interviu Adam bersama En. Radzi Md. Zain, Ketua Pengarang Meja Agama Utusan Malaysia agar dipersembahkan untuk bacaan umun. Sebagai pengenalan, dunia politik di Malaysia menggunakan nama Islam sebagai satu cara untuk memenangi hati rakyat. Dengan itu, mereka berharap agar dapat menunjukkan yang mereka itu benar dan orang ramai akan menuruti parti mereka yang berpaksikan kepada fahaman politik yang terpesong. Tanpa bercakap banyak, teruskan pembacaan.
1. Suasana politik di Malaysia sejak dahulu menunjukkan kepada kita bahawa elemen agama Islam telah dipolitikkan seperti pengenalan hukum Hudud oleh parti pembangkang dan pembahasan isu pengharaman yoga dalam kalangan orang politik. Apakah pandangan Tuan berkaitan situasi ini?
Politik di Malaysia belum mencapai tahap kematangan sebagai mana di AS. Justeru, parti-parti terlibat akan cuba menjuarai sesuatu isu bagi mendapatkan sokongan majoriti rakyat. Ini termasuklah dalam bab hudud. Dalam masyarakat berbilang kaum, undang-undang hudud tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa. Masyarakat terlebih dahulu perlu ditarbiah dan diberi kefahaman bahawa hudud itu adalah had bagi mengelak berlakunya pelbagai gejala jenayah.
Sepatutnya tidak timbul masalah dalam hal ini sebab hudud adalah hukum Allah. Dan mana-mana parti politik Islam wajib menyokong ke arah pelaksanaannya.
2. Pada pandangan Tuan, apakah tujuan utama golongan berkepentingan ini menjadikan agama Islam sebagai permainan dalam bidang politik seperti pengenalan Islam Hadhari sedangkan kita terang-terang mengetahui bahawa agama Islam adalah lengkap dan syumul dari segala aspek termasuk sosial, ekonomi dan juga politik?
Ini hanyalah masalah istilah. Islam Hadhari bukanlah mazhab baru, ajaran baru atau agama baru tetapi ia merupakan pendekatan atau usaha kerajaan untuk mengembalikan umat Islam kepada ajaran Islam yang sebenar menurut al-Quran dan al-Sunnah. Islam Hadhari merupakan satu pendekatan anjakan paradigma untuk mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. tanpa mengurangkan prinsip-prinsip akidah dan syariah. Perkara yang ingin diperbetulkan ialah mengenai al-Tadayyun iaitu cara umat Islam memahami dan mengamalkan ajarannya.
Pendekatan Islam Hadhari memberi penekanan kepada aspek pembangunan dan pembinaan peradaban yang didasarkan pandangan semesta alam (Islamic worldview) dengan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan serta pembangunan fizikal secara seimbang untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Memang Islam itu telah lengkap sebagai mana firman Allah dalam surah Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 3:
Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu.
3.   Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 46, “Dan janganlah kamu bertelingkah dan berpecah-belah lantas hilanglah kehebatan kamu.” Menurut firman Allah SWT tersebut, apakah kredibiliti pemimpin telah terjejas akibat daripada kegagalan dalam bersepakat dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan agama Islam di Malaysia?
Pada asasnya, Islam membenarkan perbezaan pendapat dalam bab yang bukan qatié termasuk hal politik.Sememangnya, kredibiliti pemimpin akan terjejas jika terlalu taksub kepada parti atau individu tertentu.
Namun, jika para pemimpin meletakkan Islam sebagai matlamat utama, perpecahan tidak akan berlaku kerana segala yang diusahakan di muka bumi ini natijahnya adalah untuk mencari keberkatan serta untuk kemaslahatan ummah.
Sepatutnya, dalam hal berkaitan kepentingan umat, semua parti politik dan pemimpin Islam perlu bersatu.
4.   Ahli agama seperti ulama’ dan mufti ialah golongan yang arif dan professional dalam bidang agama Islam. Apakah penglibatan mereka secara langsung atau tidak langsung dalam suasana politik mengakibatkan tercetusnya istilah ‘Islam dipolitikkan’?
Saya tidak melihat begitu. Apa yang selalu berlaku ialah golongan berkenaan sering diketepikan. Mana pandangan mereka yang membawa keuntungan kepada parti akan diterima manakala pandangan yang menjejaskan parti tertentu akan ditolak.
Dalam banyak hal, kenyataan ulama yang dipolitikkan kerana golongan berkenaan hanya memberi pandangan berlandaskan hukum dan nas yang sahih. Keadaan ini berlaku, kerana kepimpinan hari ini bukan seperti dulu di mana umara juga adalah ulama.
5.   Beberapa isu seperti pengharaman yoga telah dipraktikkan oleh sesetengah pihak. Bagaimanakah cara yang sesuai agar isu in tidak dipolitikkan kerana akan timbul tekanan untuk berkompromi dan menjaga hati pihak-pihak tertentu?
Pengharaman yoga hanya kepada orang Islam sahaja. Jadi, ia tidak patut menjadi polemik. Bagi yang bukan Islam, mereka bebas mengamalkannya. Dalam Islam, adalah penting menjaga maqasid syariah yang antaranya adalah memelihara iman. Adalah dibimbangi amalan yoga yang melibatkan meditasi dan mentera lambat laun memesongkan akidah pengamalnya.
Rakyat pula perlu berfikiran rasional. Masih banyak bentuk sukan yang boleh diamalkan sebagai alternatif kepada yoga. Sebagai umat Islam, kita tidak perlu merasa bimbang atau berhati-hati untuk mengeluarkan pandangan berhubung pengharaman sesuatu perkara semata-mata untuk menjaga hati bukan Islam.
6.   Islam sudah sewajarnya mampu membersihkan dunia politik yang disifatkan sebagai permainan kotor tetapi perkara ini tidak berlaku malah politik kelihatan lebih kotor apabila elemen agama dimasukkan. Justeru, apakah politik telah di Islamkan atau Islam yang dipolitikkan?
Politik adalah cara kita mengurus manusia. Ia menjadi kotor angkara orang yang terlibat di dalamnya. Politik menjadi kotor apabila yang menyertainya bukan bertujuan berkhidmat sebaliknya menjadi batu loncatan bagi mendapatkan ganjaran. Memanglah Islam benarkan kita menerima upah daripada kerjaya sebagai ahli politik tetapi ia adalah amanah yang berat dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Memang sepatutnya Islam mampu membersihkan segala kekotoran dalam politik. Cuma suasana dalam politik yang menyebabkan ia sukar dilaksanakan. Sebab utamanya, adalah sikap rakus manusia yang mengamalkan ”budaya ketam Melayu”. Apabila seseorang dilihat berpotensi untuk naik maka ramai yang akan menariknya agar jatuh semula. Bukan seperti “budaya ketam Cina” apabila melihat ada orang yang hendak naik, mereka beramai-ramai menolaknya ke atas.
Namun, bukanlah tidak ada sama sekali, politik yang diislamkan. Antara contohnya ialah kewibawaan Datuk Nik Aziz dalam bab memotong elaunnya dan tidak menggunakan rumah rasmi MB untuk peribadi.
Memang adakalanya Islam dipolitikkan. Ini apabila mereka menggunakan nas dan hujah al-Quran dan sunnah untuk menghalalkan tindakan atau perbuatan mereka dalam sesuatu keadaan.
7.   Salah satu tujuan politik Islam menurut al-Quran ialah mengatur belanjawan dan perbelanjaan daripada perbendaharaan negara agar tidak digunakan secara boros. Apakah suasana rasuah dan politik wang yang berleluasa menjadi bukti bahawa ajaran Islam tidak dipraktikkan di dalam politik di Malaysia dan kepada siapakah yang perlu dipersalahkan dalam isu ini?
Yang saya lihat, di Malaysia ahli politiknya mempraktikkan sebahagian ajaran Islam dan menolak sebahagian yang lain. Kata di bibir mereka mahu Islam dan mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW tetapi cara mereka dipilih melibatkan politik wang! Ini memang masalah besar terutama dalam UMNO, parti yang memerintah negara.
Silapnya, adalah kepimpinan dan orang UMNO sendiri. Apabila mereka menggalakkan politik wang, ada pemimpin yang berkebolehan tetapi tidak berwang menjadi mangsa. Namun, seperti sabda Nabi SAW, pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya dilaknat. Hal ini melibatkan pemberi dan penerima. Ia tidak akan berlaku jika bertepuk sebelah tangan sahaja.
8.   Pada pandangan Tuan, adakah rasional sekiranya hanya satu parti politik berlandaskan Islam di Malaysia dikekalkan dengan menghapuskan parti-parti yang lain?
Itu adalah yang terbaik melihatkan kepada perpecahan di kalangan umat hari ini. Politik kepartian adalah peninggalan penjajah. Sebagai umat Islam kita seharusnya memiliki identiti politik sendiri. Jangan hanya mengikut acuan Barat.
Dengan memiliki satu parti politik, lebih mudah meneruskan usaha perjuangan memartabatkan agama. Tidak timbul soal pihak mana yang dilihat lebih Islamik dan yang mana tidak. Bukankah Islam itu bersaudara, jadi mengapa perlu wujud perpecahan?
Other articles you might like;
nah..aku tak caya ja..tapi kata dari meja utusan malaysia yg membuat aku sebagai rakyat malaysia mengerti….tak sangka utusan nih pon kata UMNO menggalak kan politik wang…
politik pada era kini semakin sarat dengan politik wang dimana kita melihat begitu ramai di kalangan manusia yang menggerakkan sesuatu isu seperti ahli politik khususnya yg beragama islam juga mengamalkan rasuah bg mndapatkan kepentingan.
islam yg dulu nya gah di mata dunia kini di pandang sebelah mata oleh pihak barat, ini kerana islam telah dipolitikkan.
buktinya, orang bkn melayu cuba mnengubah perlembagaan negara dengan menolak hak keistimewaan melayu atas alasan zaman sudah berubah dan kini bertambahnya populasi berbilang kaum.mereka mendakwa malaysia tidak wajar dilabelkan sebagai negara islam dan parti pembangkang juga mncadangkan negara kita perlu hidup sama rata dengan mnwujudkan malaysia malaysian.malah parti pembangkang yg berbangsa melayu juga mnyokong usul mereka.
pada pemikiran saya, mereka semakin lupa dengan salasilah dan ketuanan melayu. mereka alpa dengan permainan politik dan mengambil bahagian dengan menjatuhkan bangsa dan agama sendiri. di manakah letaknya pemikiran mereka yg bernas seperti yg digembar-gemburkan.
hairan bkn?
jgn kerana nila setitik dan jangan kerana permainan dan kompromasi politik, habis rosak susu sebelanga umpamanya.
sekadar untuk berkongsi pandangan,
noorhidayah bt md said
UiTM melaka
Itu realiti. Semua boleh nampak. Bahaya politik ni.
politik tu sebahagian drp Islam..
pelik betol aku bila ada org ckp Islam Tidak Boleh Dipolitikkan..
Islam dan politik tidak boleh dipisahkn..
Benar, dalam Islam ada politik. Tapi politik bagaimanakah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW pada zaman baginda? Politik yang tiada unsur kezaliman, tiada penindasan mahupun politik wang.
Tapi pada masa kini, ahli politik menjadikan agama Islam agenda mereka dalam peperangan politik. Lihat sahaja pengenalan Hukum Hudud dan Islam Hadhari. Adakah mereka menggunakan nama Islam untuk memenangi hati rakyat?
Itu yang tidak dibolehkan. Islam tidak boleh dipolitikkan bermaksud jangan jadikan agama Islam sebagai agenda dalam politik. Harap dapat menjelaskan.
hmm posting ini membuatkan aku berfikir huhu…tapi aku memang tak nafikan la benda benda nie..
.-= pear´s last blog ..Klise dari Hollywood Gi Joe “The Rise of the Cobra†=-.
Teruskan berfikir lalu bertindak!