Daripada 29 tenaga pensyarah yang mengajar di FKPM, UiTM Melaka ini, hampir 90% daripada kami adalah bekas pelajar-pelajar MassComm sendiri. Paling senior adalah saya sendiri yang bergraduat pada Disember 1994. Seringkali ketika duduk melepak bersama-sama, pasti terimbau kenangan-kenangan, pahit manis sewaktu mengharungi hidup sebagai mahasiswa MassComm dahulu.
Waktu itu, FKPM dikenali sebagai Kajian Sebaran Am dan terletak di tingkat tertinggi Menara iaitu tingkat 13. Bahkan ëlevel 13à dan MassComm seakan tidak boleh dipisahkan. Hanya pelajar Mass Comm sahaja yang memonopoli tingkat ini lantaran pelajar-pelajar dari kajian lain agak fobia dan langsung tidak berani menjejaki.
Di MassComm, ketika itu, satu hal yang paling ketara ialah hubungan rapat antara senior dan junior. Malah hubungan rapat ini adalah satu nilai yang sangat dihargai dan dibanggakan oleh pelajar-pelajar Mass Comm. Boleh dikatakan pada ketika itu, semua senior dikenali oleh junior. Walaupun terdapat jurang perbezaan semester yang besar, namun ia tidak pernah menghalang kami untuk mengenali senior dan junior kami.
Begitu hubungan rapat ini tidak bermula dengan mudah. Pelajar-pelajar baru MassComm khususnya daripada semester 1, perlu melalui tempoh minggu orientasi yang panjang. Dalam masa dua minggu hingga sebulan, mereka perlu mengumpulkan tandatangan senior-senior.
Bukan setakat itu saja, pada tempoh itu juga kami perlu mengikuti apa saja arahan yang diberikan oleh senior. Tempoh itu lebih dikenali sebagai tempoh ‘ragging’. Senior pada ketika itu sangat digeruni. Pelajar-pelajar part one, akan berlari lintang pukang setiap kali ternampak bayangan senior. Kalau terserempak juga, mulut manis, senyuman di bibir sentiasa terukir untuk mengelak daripada didera dan disakat oleh senior.
Saya sendiri masih boleh mengingati bagaimana saya dan rakan-rakan lain tidak berani untuk menggunakan lif ke tingkat 13. Oleh kerana takut diragging dan disergah senior, kami sanggup untuk menapak beratus-ratus anak tangga. Seorang rakan, pernah disuruh untuk membelikan teh tarik untuk senior, sudah diberinya teh tarik, disuruh pula menukarnya dengan air milo, limau ais dan sebagainya. Berpeluh-peluhlah kawan tu kejap naik kejap turun dari menara!
Tidak kurang pula yang dipaksa untuk menyanyi, menari dan berteriak laksana komander!. Malah, pada tempoh itu, tingkat 12 dan 13 pada tempoh itu tidak pernah sunyi. Hiruk pikuk dan sentiasa riuh rendah dek senior menyakat dan mendera junior.
Seingat saya, kami tidak pernah merungut. Tidak pernah marahkan perlakuan senior-senior kami. Kami juga tidak terfikir untuk memprotes dan mengadu sana sini. Ketika itu kami menerimanya sebagai sebahagian daripada tradisi. Declaration Night adalah malam yang paling kami nanti-nantikan. Apa tidaknya,malam itu adalah malam pembebasan. Selepas malam itu, ëseksaanà yang kami terima daripada senior akan berakhir serta merta. Bagaimanapun malam itu tetap menggerunkan. Ini kerana malam itu adalah penentuan sama ada kami akan di’declare’ atau tidak. Hakikatnya, jika batch kami tidak dideclare oleh senior, seakan-akan kami tidak diterima sebagai ahli keluarga Mass Comm dan akan berterus-terusan dipinggirkan.
Declaration Night selalunya berakhir dengan penuh gembira. Sebelum dideclare, kecut perut juga kami menunggu penderaan daripada senior. Malam itu habis basah lencun baju kami disirami air oleh senior. Tidak cukup dengan itu, rambut, muka dan seluruh badan kami pula dicurah dan disimbah dengan tepung berkilo-kilo!
Bagitupun, malam itu selalunya berakhir dengan menggembirakan kalau tidakpun mengharukan. Malam itu, adik-adik junior perempuan akan berpeluk-pelukan dengan kakak-kakak senior dan junior lelaki akan berpeluk-pelukan dengan abang-abang senior. Senior dan junior saling bermaaf-maafan. Malam itu, apalah lagi yang lebih menggembirakan selain diterima sebagai satu keluarga!
Selepas itu, segala-galanya akan jadi normal seperti biasa. Abang-abang dan kakak-kakak senior yang menyergah macam singa lapar dahulu mula menampakkan manis muka. Merekalah kemudian menjadi orang paling banyak membantu. Meminjamkan nota, buku, meminjamkan kamera. Apa saja pertolongan yang diminta junior pasti mereka tunaikan. Solidariti dan esprit de corps kami sangat kuat. Malah hubungan rapat antara senior junior ini membawa ke tempat kerja.
Teringat saya ingat ketika menjalani latihan praktikal di TV3 dulu. Walaupun berdebar, hati terasa lega apabila terpandangkan abang-abang dan kakak-kakak senior. Mereka jarang menghampakan. Mereka selalu saja membantu, memberi nasihat dan tunjuk ajar. Kepada mereka, kami curahkan setiap masalah dan keluh kesah. Kalau kami tidak dapat ‘scoop’, abang-abang dan kakak senior inilah yang pantas memanjangkan story mereka.
Hari ini, kami melihat hubungan rapat antara junior dan senior MassComm seolah-olah sudah tidak wujud lagi. Bukan saja junior yang tidak mengenali senior, tetapi sesama batchpun tidak mengenali antara satu sama lain. Mungkinkah bilangan pelajar-pelajar yang ramai menjadi faktor ini semua? Ataupun, kita hari ini lebih bersifat individualistik dan sendiri-sendiri. Seolah-olah kekitaan dan komuniti tidak lagi signifikan dalam survival hari ini. Kami juga terfikir-fikir, kalaulah tradisi MassComm ini diadakan kembali seperti dulu, pasti akan timbul lebih banyak isu kerana sekarang ini ramai yang tidak tidak boleh diusik lagi atas dasar status dan berprofil tinggi sebagai anak-anak pak menteri! -KR
* Artikel ini pernah diterbitkan di The Medium Volume 2 dan diterbitkan secara atas talian untuk bacaan semula Junior Part 1 dan renungan untuk orang ramai.
Other articles you might like;