Empat pemain perseorangan yang diberi jolokan “Four Heavenly Kings†– Lin Dan, Lee Chong Wei, Peter Gade dan Taufik Hidayat – menepati ramalan melepasi halangan pertama masing-masing pada saingan Terbuka Malaysia Maybank semalam.
Antara empat bintang tersebut, Taufik menjadi pemain pertama layak selepas dia menewaskan Chou Tien Chen 21-14, 21-9 pada perlawanan sebelah pagi.
Veteran Denmark, Peter Hoeg Gade, pastinya merasakan diri seperti bermain di negara sendiri apabila menerima sokongan daripada peminat yang membanjiri Stadium Putra.
Juara dua kali Terbuka Malaysia itu yang tewas pada pusingan pertama Terbuka Korea minggu lalu, berhempas pulas sebelum menumpaskan Wong Wing Ki 21-19, 21-18.
Seperti diduga, pemain No.1 dunia, Chong Wei memulakan kempen mencari rekod gelaran Terbuka Malaysia kelapan dengan bergaya.
Chong Wei yang segar daripada kejayaan meraih gelaran Terbuka Korea minggu lalu, nyata bukan tandingan rakan senegara, Liew Daren apabila menang mudah 21-8, 21-11.
Sebelum gelanggang ditutup, Lin Dan yang bermain pada lewat malam tadi memastikan para peminatnya yang sanggup menunggu sehingga perlawanan terakhir semata-mata untuk melihat aksinya, tidak pulang hampa.
Juara dunia empat kali itu terlalu unggul buat juara remaja dunia 2010, Viktor Axelsen menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-13.
Terbuka Malaysia 2012 berkemungkinan besar adalah penampilan terakhir “Four Heavenly Kings†selepas Gade menyuarakan hasrat untuk bersara selepas tahun ini.
Jadual penuh Maybank Malaysia Open Superseries 2012 boleh didapati daripada laman web rasmi mereka disini.
Other articles you might like;