Kami bergerak ke Batu Pahat melalui Lebuh Alor Gajah-Melaka-Johor pada jam 2.00 petang. Perjalanan 2 jam telah membawa kami selamat tiba di Kem Jubli Intan, Tanjung Laboh, Batu Pahat, Johor Darul Takzim. Pada awal perancangan, PPM Perlis akan menghantar seramai 40 orang peserta namun terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana kekurangan jumlah peserta. Sebagai meneruskan perjuangan, kami tetap terus untuk menyertai Jambori ini walaupun kami bertiga.
Setibanya di tapak jambori, kami bersiar sekitar tapak perkhemahan sebelum melakukan pendaftaran. Sayangnya, jambori kali ini tidak menyediakan cenderamata t-shirt seperti kebiasaannya dan menyediakan lencana dan beg galas. Aktiviti pertama kami di tapak kem Perlis ialah menaikkan khemah dan membuat pagar. Kami menaikkan 3 buah khemah untuk setiap seorang peserta. Pada hari pertama jambori, hanya sesi suai kenal diadakan dan kami turut bersiar ke tapak kem negeri lain untuk bertemu para pemimpin dan sahabat kelana yang pernah kami berjumpa sebelum ini seperti Kelana Titiwangsa dan beberapa kelana lain yang kami jumpa semasa di BP House tahun lepas.
Oleh kerana tiada kemudahan logistik untuk memasak, kami terpaksa berulang alik dari tapak kem ke Batu Pahat untuk mendapatkan bekalan makanan. Untuk mandi, kami terpaksa keluar untuk mencari masjid kerana bilik air dan tandas di kawasan perkhemahan sering mengalami masalah tekanan air. Nasib kami baik kerana mempunyai kenderaan sendiri untuk bergerak, katakan kami datang dengan bas, sudah pasti keadaan akan lebih bercelaru.
Di hari kedua jambori, semua peserta sibuk untuk melengkapkan kad aktiviti masing-masing untuk mendapatkan lencana dan sijil. Kami di kontigen Perlis hanya bertindak sebagai pemerhati kerana kami sebagai Kelana dan Penolong Pemimpin tidak dibenarkan untuk menjalankan aktiviti. Kesempatan ini diambil dengan bergerak menuju ke Pantai Punggur yang terletak beberapa kilometer dari sini untuk memenuhi masa senggang. Aktiviti kami berulangan dengan bersiar dan berjumpa dengan sahabat Kelana.
Hari ketiga, kami mengadakan lawatan ke Tanjung Piai dimana letaknya Hutan Simpan Paya Bakau dan Titik Terhujung Tanah Besar Asia. Kehadiran kami ke sini adalah inasiatif kami yang bosan dengan aktiviti harian kami di kem. Ini adalah kali pertama Adam sampai ke sini dan kami menggunakan kesempatan ini untuk melihat kawasan paya bakau dengan lebih dekat. Selesai, kami melajakkan perjalanan kami ke Johor Baharu dan Teluk Danga sebelum bergerak pulang ke tapak perkhemahan.
Walaupun kehadiran kami dianggap sebagai menukar angka kosong kepada tiga, namun daripada pemerhatian Adam terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh para penganjur.
Air
Pihak penganjur sepatutnya menyediakan tangki simpanan air untuk kegunaan berterusan para peserta dan tidak mengharapkan agar stok air yang dihantar pihak belakan air sebagai sesuatu yang mencukupi. Sistem perpaipan yang lama juga mengakibatkan tekanan air rendah lalu air menjadi perlahan apabila diwaktu puncak. Bilik mandi individu sebolehnya digantikan dengan bilik air kolah kerana lebih sesuai dengan jumlah peserta yang mencecah 3665 orang. Penggunaan kolah akan lebih menjimatkan masa dan air dan sekurangnya dapat mengatasi masalah tekanan air kerana mempunyai stok air yang sendiri.
Elektrik
Sistem elektrik dilihat mempunyai masalah kerana sambungan yang dibuat kadangkala melebihi had. Pihak urusetia ada menyatakan bahawa pihak TNB tidak dapat memberikan lagi kuota tenaga elektrik kerana elektrik telah digunakan sepenuhnya oleh kontigen di semua sub-kem. Adalah rasanya menjadi keperluan di setiap sub-kem disediakan tenaga elektrik secukupnya atau dijadikan sebagai papan utama sebelum dibahagikan kepada setiap kontigen. Hal ini dapat mengelakkan bebanan elektrik yang datangnya dari satu sumber sahaja. Kemudian barulah diagihkan kepada kontigen kerana ada kontigen yang terpaksa membawa generator sendiri akibat tidak mendapat bekalan secukupnya.
Kawasan Aktiviti
Aktiviti dalaman seperti global dan warisan sepatutnya disediakan kawasan yang lebih lapang dan tidak hanya menumpang di kawasan pameran dan khemah jualan. Contohnya tarian India boleh diadakan di kawasan lapang di padang kawad kerana lebih luas dan lebih selesa.
Sampah Sarap
Adalah perlu sekiranya pihak penganjur menyediakan loji sampah sementara untuk menempatkan sampah yang dilonggokkan di setiap kawasan sub-kem. Timbunan sampah di sub-kem mencacatkan pemandangan dan membawa kepada bau busuk dan lalat. Sekiranya satu kawasan pembuangan sampah disediakan, seperti membuat kolam untuk sampah dan dipindahkan dari tong sampah di setiap sub-kem mengikut jangkamasa tertentu sebelum pihak pembandaran mengangkut sampah di loji sampah sementara yang disediakan itu. Mungkin hal sampah ini dapat diatasi.
Bahasa Pengantar
Oleh kerana jambori ini turut disertai oleh kontigen antarabangsa seperti Singapura, Maldives dan Sri Lanka jadi sepatutnya segala informasi atau makluman disampaikan dalam dwi-bahasa agar peserta antarabangsa faham apa yang cuba disampaikan. Buku Aktiviti contohnya terpaksa dialihbahasa oleh peserta tempatan kepada peserta luar ini. hal ini telah mendatangkan sedikit kerumitan kepada peserta luar negara.
Ini hanyalah sebahagian daripada pendapat peribadi saya sebagai seorang peserta Jambori ini. Setiap yang baik pasti ada keburukan, dan dengan keburukan inilah kita jadikan sebagai sempadan atau pengajaran untuk diperbaiki pada masa depan. Adam amat berterima kasih kepada pihak penganjur terutama En Azlan yang sentiasa melayan kami para peserta dan Adam yang mewakili kontigen negeri Perlis dari awal pendaftaran sehingga tamatnya Jambori ini walau sibuk terkejar kesana kemari.
Dan jika ditanya apakah yang Adam dapat daripada jambori ini? Adam akan menjawab sebuah kontigen yang menyertai jambori mestilah mempunyai sebuah pasukan logistik yang kemas, sebuah pasukan kebudayaan, sebuah pameran berbentuk kenegerian dan cederamata. Apa yang ingin Adam terangkan di sini ialah sebuah kontigen mestilah mempunyai pasukan memasak yang berorganisasi, pasukan kebudayaan sempena malam kebudayaan untuk mempersembahkan kebudayaan negeri, bahan-bahan yang sesuai untuk dijadikan bahan pameran, seperti brosur dan pemplat daripada Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dengan matlamat untuk mempromosikan negeri. Juga cenderamata untuk ditukarkan sesama kontigen sebagai tanda persahabatan yang utuh antara kontigen.
InsyaAllah kita akan bertemu lain kali di Jambori Melaka 2009 dan Jambori Antarabangsa Selangor 2009.
Other articles you might like;