Satu sebab kenapa saya tak berapa suka nak layan animasi adalah kerana kategori filem animasi adalah dikhususkan kepada kanak-kanak. Lagi lagi bila Nickelodeon yang buat cerita mesti ada satu tanggapan tak sehebat Pixar. Tapi harini saya terpaksa rela mengikut rakan-rakan menonton Rango. Sesudah cerita, memang saya tak menyesal kerana menonton filem ini.
Filem ini mengisahkan seekor sumpah-sumpah yang hidupnya terkurung dalam kotak cermin (akuarium). Dia mempunyai krisis identiti dan sering tidak yakin dengan dirinya sendiri.
Sinopsis
Pada suatu hari dia dibawa bercuti oleh tuannya. Tiba tiba kenderaan mereka terlanggar seekor tenggiling dan mengakibatkan Rango dan akuariumnya terpelanting daripada kereta. Di situ bermulahlah perjalanan mencari identiti dirinya yang sebenar.
Dia bertemu dengan tenggiling yang dilanggar kereta tuannya yang meminta tolong membawanya ke tepi jalan. Si Tenggiling menyuruh Rango ke sebuah pekan yang dikenali sebagai Dirt. Dalam kembara mencari setitik air, Rango terpaksa menghadapi banyak halangan seperti menjadi buruan burung helang.
Setibanya di Dirt, Rango yang cuba untuk mencipta identiti baru untuk dirinya menyamar sebagai Roh dari Barat, yang menjadi sanjungan penduduk pekan tersebut. Rango telah mereka beberapa cerita untuk meyakinkan penduduk Dirt tentang kehebatannya. Jadi bermulalah kehidupan Rango sebagai seorang hero di pekan tersebut.
Tanpa disengajakan, Rango berjaya membunuh seekor burung helang dengan satu das tembakan dan keberaniannya itu membuatkan dia menjadi sherif di pekan tersebut. Dalam misi menjaga keamanan, dia berhadapan dengan satu kes dimana air simpanan semakin berkurangan.
Rango sekali lagi menjadi hero apabila berjaya membawa semula bekas simpanan air. Di pertengahan jalan, bekas yang disangka ada air itu rupanya kosong. Kemudian mereka memulakan penyiasatan. Datuk Bandar yang merasakan keadannya terancam dengan segera menyuruh seekor ular untuk membunuh Rango.
Rango diusir keluar apabila dia sendiri mengaku bahawa dia bukanlah seorang hero dan hanya menipu untuk mengambil kesempatan atas kekurangan yang ada di pekan tersebut. Sekali lagi dia bertemu dengan si Tenggiling dan dia memberi semangat kepada Rango untuk meneruskan perjuangan dan terus percaya kepada diri sendiri.
Dengan semangat baru, Rango pulang ke pekan Dirt dengan strategi memecahkan rahsia Datuk Bandar. Rupanya, Datuk Bandar yang menjadi dalang kepada kecurian air dan menggunakan air untuk aktiviti pembangunan di kawasan baru. Akhirnya Rango disanjung sebagai seorang hero!
Ulasan
Watak yang dibawakan oleh Rango sebenarnya ada dalam diri semua orang. Saya suka apabila dia mula berubah dengan berlakon sebagai seorang hero, walau pada zahirnya dia bukanlah sehebat yang disebut sebut orang. Tetapi dengan keyakinan yang ada, dia berjaya mengubah persepsi penduduk pekan Dirt terhadapnya. Sehingga rahsianya dibocorkan, Rango telah berkhidmat dengan baik sekali kepada penduduk pekan Dirt. Tanpa berputus asa, dia sekali lagi kembali untuk menolong walaupun dia diusir — demi mempertahankan penduduk Dirt. Saya suka filem ini kerana memotivasikan penontonnya.
Other articles you might like;
waaa..tingin nak tengokkk!! ^_^
mcm bes je cite ni. nk tgk la nanti.