
Secara peribadi, selepas menonton filem yang dicanang sebagai filem box office yang mengalahkan kutipan hari pertama KL Gangster hanya indah khabar daripada rupa. Walaupun ramai peminat filem ini memuji di laman-laman blog dan Facebook, tetapi bagi saya filem ini hanya sekadar hiburan biasa.
Untuk Sinopsis, Maklumat Filem dan Trailer Hantu Bonceng, klik sini.
Tema
Hantu Bonceng membawa tema percintaan dan persahabatan. Pengarah cuba menyelitkan nilai keaagamaan dalam beberapa babak dan dialog yang diucapkan oleh para pelakon. Amran dan Halimaton bercinta sejak sekian lama dan mereka saling sayang menyayang. Tetapi selepas kehadiran Ayu, perhubungan mereka semakin renggang. Nilai keagamaan pula ditunjukkan oleh Amran dan Kunyit yang berjumpa dengan Ustaz yang dilakonkan oleh Cat Farish. Namun, watak ini sebenarnya berat untuk dibawa oleh Cat Farish kerana sebelum ini beliau terkenal sebagai pelakon komedi.
Plot
Dengan jalan cerita yang lemah, penonton disajikan dengan aksi lumba haram dan kisah bermula apabila Maya dilanggar dan rohnya sering mengganggu Amran. Amran diminta oleh Maya untuk disempurnakan mayatnya. Amran berjumpa dengan Ustaz dan bomoh untuk membuang badi. Amran membenarkan Ayu untuk tinggal serumah dengannya tanpa pengetahuan Halimation. Klimaksnya ialah apabila Halimation mengetahui bahawa Ayu sebenarnya memberi Amran nasi kangkang sebagai balasan kematian Maya. Ahmad Idham gagal memberi kesudahan yang menarik apabila Amran sekali lagi dimasukkan ke hospital akibat kemalangan dan berakhir disitu dengan tanda tanya.
Skrip
Memandangkan filem ini bergenre komedi seram dengan latar masyarakat bersosial, pelakon utamanya, Zizan Raja Lawak dan Taiyudin menggunakan bahasa rempit dalam perbualan seharian mereka. Apa yang menyedihkan, filem ini cuba menyelitkan perkataan yang memuji kebesaran Allah SWT tetapi dalam sesetengah babak saya fikirkan tidak sesuai kerana bukan kena pada tempatnya dan penampilan pelakonnya yang tidak sopan. Antaranya azan dan mengucap tanpa menghabiskannya.
Juga terdapat perkataan yang sepatutnya tidak patut diucapkan dalam dialog ketika Amran memujuk Halimaton dengan panggilan ‘Baby’ dan dibalas dengan ‘Babi’.
Pelakon
Memilih Zizan Raja Lawak sebagai teraju utama merupakan punca kenapa rakyat Malaysia mahu menonton filem ini. Dengan populariti semasanya dalam industri, sudah pasti peminat beliau mahu melihat sejauh manakah kemampunannya berlakon sebagai teraju utama. Juliana Evans yang menjadi Ayu pada satu ketika bercakap bahasa Inggeris sedangkan dia sebenarnya berasal daripada kampung.
Sekali lagi, pemilihan Cat Farish sebagai Ustaz kurang menjadi kerana karakternya sebagai pelawak dan tidak dapat menjiwai watak yang dibawanya.
Latar Tempat
Menjadikan tempat-tempat terkenal di Kuala Lumpur seperti Kampung Baharu menunjukkan kesusahan yang terpaksa dihadapi oleh Amran untuk mencari rezeki.

Berlakon di dalam surau dengan babak yang dilihat main-main sepatutnya tidak dipertontonkan. Mereka masih boleh menggunakan luar surau untuk bertarbiah kepada Amran dan Kunyit. Pada masa yang sama, Zizan memakai baju Death Note yang mempunyai gambar yang tidak sepatutnya dan tidak dibolehkan masuk ke dalam surau.
Nilai Hiburan, Nilai Pembelajaran & Nilai Artistik
Kandungan filem ini ialah 100% hiburan semata-mata dan sesuai bagi mereka yang mahukan santai dan bukan berfikir. Namun, ini adalah filem kedua hasil Ahmad Idham yang saya fikir sebagai mengarut. Unsur tahyul seperti berbogel di depan hantu untuk menghalaunya adalah karut dan sepatutnya boleh dielakkan.
Masalah sosial ditonjolkan menjadi tulang belakang kepada cerita ini seperti meniduri bohsia dan percaya kepada bomoh.
Product placement dengan mempromosikan motorsikal Modenas GT110 secara langsung sebagai salah satu penaja filem ini mungkin dilihat bijak dan tidak pernah dibuat oleh mana-mana pengarah.
Apa yang Ahmad Idham bayangkan dalam babak ini? Hiburan mengghairahkan, bukan?
P/s – Filem Senario dulu pun filem komedi jugak, tapi takdala melampau sampai macam ni.

Leave a Reply