≡ Menu

Agenda perkasa Dewan Muslimat PAS jadi tumpuan

Agenda memperkasa peranan Dewan Muslimat PAS bagi membantu parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dijangka menjadi fokus utama muktamar kali ke-52, bermula malam ini.

Selaras tema ‘Muslimat Prihatin Kebajikan Terlaksana’ yang mengambil semangat tema negara berkebajikan, muktamar di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu pasti membangkitkan 1,001 perancangan untuk mendekatkan parti dengan masyarakat.

Namun, sejauh mana ia boleh dilaksana, pasti memerlukan kepemimpinan orang nombor satu Dewan Muslimat, Siti Zailah Mohd Yusof.

Malah, kualiti kepemimpinan Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga pasti akan dibangkitkan pembahas, sekali gus memberi gambaran sebenar kedudukan dan peranan muslimat dalam politik semasa negara khususnya untuk memenuhi aspirasi pakatan menuju ke Putrajaya.

Penanda aras

Keberkesanan kepemimpinannya bakal menjadi penanda aras adakah sayap PAS itu bersedia menjadi tulang belakang parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Namun, Siti Zailah yakin perwakilan mempunyai peluang dan ruang yang luas untuk membincangkan agenda mempersiapkan pergerakan itu menghadapi PRU13.
“Kita mengharapkan perbahasan kali ini lebih matang dan menjurus ke arah persiapan PRU-13. Maka, corak perbahasan menjadi penanda aras kematangan ahli dan pemimpin terhadap perjuangan parti,” tegasnya.

Dari segi dasarnya, muktamar berperanan menjadi pentas pertembungan pemikiran antara perwakilan negeri untuk merencana perjuangan.

Persoalannya, adakah muktamar ini benar-benar menjadi medan mendengar suara akar umbi atau akan terus mengulangi skrip lama menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) atas segala kelemahan dan kepincangan parti itu.

Seperti muktamar sebelumnya, kepimpinan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Wanita UMNO menjadi bahan sindiran dan kecaman perwakilan walaupun menyedari tindakan itu hanyalah bersifat ‘escapism.’

Harapan tinggi

Perwakilan dan pemerhati pasti meletak harapan tinggi terhadap barisan kepemimpinan baru untuk melihat muslimat terus diperkasa.

Mereka tidak mahu menyaksikan muktamar berlangsung hambar dan lesu, sekali gus menjadi cermin kepada tahap kesiapsiagaan menghadapi cabaran pilihan raya.

Siti Zailah yang bersama Dewan Muslimat sejak 23 tahun lalu memberi jaminan pihaknya bersikap terbuka terhadap sebarang teguran, malah menyediakan peluang seluas-luasnya untuk perwakilan menyuarakan isi hati, lebih-lebih lagi muktamar kali ini adalah yang terakhir sebelum pembubaran Parlimen.

Via: Agenda perkasa Dewan Muslimat PAS jadi tumpuan

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment