≡ Menu

DAP tak mahu Hadi jadi PM

Kuala Lumpur: DAP menolak cadangan Dewan Ulama PAS yang mahukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Perdana Menteri jika pembangkang berkuasa di negara ini.

DAP tidak berganjak dengan ketetapan sebelum ini dan mahu jawatan itu diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata ia adalah pendirian konsensus pembangkang dan tidak akan diubah.

“Berdasarkan apa yang dipersetujui dalam pakatan pembangkang selama ini, Perdana Menteri adalah Anwar. Kita kekal dengan apa yang dipersetujui dalam pakatan pembangkang sebelum ini,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Bagaimanapun, Dewan Pemuda PAS Pusat tetap tegas mahu Hadi sebagai Perdana Menteri. Ketuanya, Nasruddin Hassan, berkata seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahukan Anwar, Pemuda PAS juga berhak menyatakan pandangan mengenai pemimpin mereka yang layak menyandang jawatan itu.

Tambahan pula, katanya, majoriti perwakilan Muktamar Tahunan PAS Ke-58 di Kelantan kelmarin jelas menyatakan mereka mahukan Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri.
“Saya berpandangan itu adalah pandangan perwakilan mengenai ketokohan dan kredibiliti Tuan Guru Haji Hadi dan ini bukan perkara pelik seperti juga PKR dan DAP mencadangkan Anwar, katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, perkara penting dalam memilih Perdana Menteri ialah individu beriman, bertaqkwa, mempunyai integriti, adil dan berwibawa untuk memimpin dengan baik.

Namun, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, ketika ditemui semalam, berkata Abdul Hadi sebelum ini sudah menjelaskan beliau tidak berminat menjadi Perdana Menteri, sebaliknya mahu menjadi khadam kepada rakyat.

Beliau berkongsi pandangan dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw sebelum ini bahawa kerusi Perdana Menteri hanya untuk Anwar.

Bagaimanapun, Abdul Hadi, pada hari terakhir muktamar menyatakan beliau bersedia menjadi Perdana Menteri jika itu dimahukan ahli.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, yang dikenali sebagai sekutu dan penyokong kuat Anwar enggan mengulas panjang mengenai pertelagahan itu.
Via: DAP tak mahu Hadi jadi PM

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment