≡ Menu

4 maut banglo terbakar

Keadaan banglo yang terbakar menyebabkan tiga sekeluarga, Mohd Hakimi, Ahmad Faris, Leila (gambar kecil) dan seorang pembantu rumah Indonesia maut, di Taman Pegawai Kanan, Assam Kumbang, Taiping tengah malam semalam. - Foto Ikhwan Munir

Keadaan banglo yang terbakar menyebabkan tiga sekeluarga, Mohd Hakimi, Ahmad Faris, Leila (gambar kecil) dan seorang pembantu rumah Indonesia maut, di Taman Pegawai Kanan, Assam Kumbang, Taiping tengah malam semalam. – Foto Ikhwan Munir.
Tiga sekeluarga, amah tangguh balik KL lemas akibat asap

Taiping: Pengarah korporat sebuah bank, isteri dan anak bongsu mereka serta seorang pembantu rumah maut dalam kebakaran banglo dua tingkat di Taman Pegawai Kanan, Assam Kumbang, di sini tengah malam semalam.

Mangsa yang dipercayai lemas akibat asap tebal ialah Mohd Hakimi Zubair, 40, iaitu Pengarah Korporat Royal Bank of Scotland, Kuala Lumpur; isterinya Leila Sahak, 40, pakar Teknologi Maklumat sebuah syarikat swasta di ibu negara; anak mereka, Ahmad Faris, 3, dan pembantu rumah yang dikenali sebagai Rizki.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mayat Ahmad Faris ditemui dalam pelukan ibunya di bilik tidur utama bersama Mohd Hakimi, manakala mayat Rizki ditemui berhampiran balkoni di tingkat atas premis itu.

Kebakaran dipercayai bermula di tangga sebelum merebak dan memusnahkan bahagian atas kediaman itu. Siasatan awal bomba mengesyaki kebakaran berpunca daripada litar pintas.

Bapa Hakimi, Zubair Puteh, 73, berkata, ketika kejadian, dia bersama tiga lagi anak Mohd Hakimi; Luqman Hafiy, 13, pelajar Sekolah Menengah Sains Selangor; Ain Najwa, 11, dan Azad Fahmi, 8, murid Sekolah Kebangsaan Alam Damai, Selangor, tidur di tingkat bawah banglo.
“Saya tidur dalam bilik terbangun apabila mendengar seorang daripada cucu saya yang tidur di ruang tamu menjerit memberitahu kebakaran di tingkat atas.

“Selepas mengarahkan semua cucu keluar, saya berusaha mendapatkan anak, menantu dan cucu di tingkat atas tetapi gagal berikutan api terlalu marak sehingga saya terpaksa menyelamatkan diri.

“Saya menghubungi bomba dan mereka sampai beberapa minit kemudian. Ketika itu, saya hanya memikirkan keselamatan mereka yang berada di atas,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Taiping, di sini, semalam.

Kuetiau, sate juadah terakhir

Zubair seorang pesara guru berkata, Mohd Hakimi dan isterinya lulusan University of Liverpool berasal dari Jambatan Duyong, Melaka serta anak tiba di rumahnya, Jumaat lalu sebelum bercuti sehari semalam di Bukit Merah Laketown Resort.

“Mereka baru pulang dari bercuti di Bukit Merah malam tadi dan sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur selepas Isyak, tetapi bertukar fikiran untuk bertolak pagi ini (semalam).

“Saya pun seronok sebab dia nak duduk dengan saya lama sikit. Mereka sekeluarga sempat menjamah kuetiau goreng dan 50 cucuk sate yang saya beli malam tadi. Saya tidak sangka makanan itu adalah juadah terakhir mereka,” katanya yang reda dengan kejadian itu.

Katanya, Mohd Hakimi lulusan University of Manchester dijadual berlepas ke London, Sabtu ini untuk bertemu adik lelakinya sebelum melaksanakan tugasan di Ireland.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan masih menyiasat punca kebakaran.

Jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Hidayah, Tekah, di sini, selepas solat Zuhur, manakala jenazah pembantu rumah itu masih ditempatkan di hospital berkenaan sementara menunggu pengesahan Kedutaan Besar Indonesia bagi pengurusan membawa pulang jenazah.

Via: 4 maut banglo terbakar

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment

Papar entri terkini dengan Commentluv <3