≡ Menu

Ranking FIFA penting! – Shebby

Ia cerminan kedudukan dan imej bola sepak sesebuah negara di dunia

Penasihat Global Blackburn yang juga bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menganggap ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tetap penting kerana ia menentukan kedudukan dalam undian mana-mana kejohanan besar.

Ia turut memainkan peranan dalam menilai perkembangan skuad kebangsaan sesebuah negara dan juga indeks pengukur yang dijadikan rujukan umum selain mencerminkan imej bola sepak sesebuah negara itu di mata dunia.

“Ranking juga menjadi keutamaan peminat bola sepak negara. Mereka mengharapkan kedudukan bola sepak negara seharusnya lebih baik daripada sekarang.

“Inilah akibatnya apabila kita tidak berapa serius dengan perlawanan persahabatan… ranking pun merosot. Ini sekali gus akan menjemput tekanan sendiri kepada skuad kebangsaan. Sebab itulah ranking penting,” katanya ketika dihubungi di United Kingdom, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ranking terbaru Malaysia yang merosot di kedudukan ke-162, kelmarin selepas kalah 2-0 dalam perlawanan persahabatan dengan Vietnam di Shah Alam, 11 September lalu.

Ranking yang dikeluarkan FIFA kelmarin, menunjukkan skuad negara jatuh enam anak tangga lagi – kedudukan sama dengan Singapura.
Kedudukan itu adalah paling buruk sepanjang tahun ini selepas Malaysia berada ke-148 dunia pada Januari lalu.

Serbegeth berkata, prestasi bola sepak negara hanya boleh meningkat jika aksi persahabatan antarabangsa dan sesuatu kejohanan yang disertai dianggap sama penting.

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal, bagaimanapun, tetap dengan pendiriannya untuk tidak terlalu mengutamakan peningkatan ranking FIFA sebaliknya lebih menekankan prestasi semasa pasukan.

“Kita masih di landasan yang betul. Hanya dengan Vietnam kita tewas. Apa yang penting ialah persiapan menyiapkan pasukan terkuat untuk Piala Suzuki AFF 2012, November ini.

“Saya dari mula sudah beritahu banyak kali, ranking hanya untuk menentukan kedudukan pasukan dalam undian mana-mana kejohanan besar.

“Jadi kemerosotan ranking ini tidak memberi kesan kepada prestasi semasa pasukan kita,” kata Rajagobal yang mencapai ranking terbaik di kedudukan 138 dunia pada Mac 2011 selepas mengambilalih pasukan kebangsaan pada April 2009.

Bercakap kepada media mengenai perkembangan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, Rajagobal berkata: “Inilah resipi dan filosofi saya yang membawa kejayaan. Itali pun kalah tiga aksi persahabatan sebelum Euro 2012 tetapi tetap ke final. Jerman dan Belanda menang semua aksi persahabatan tetapi gagal.”

Dalam pada itu, Harimau Malaya akan beraksi dalam empat lagi perlawanan persahabatan menjelang Piala Suzuki AFF 2012 yang bermula 25 November depan.

Skuad bimbingan Rajagobal akan bertemu Hong Kong 16 Oktober ini, Vietnam (3 November), Hong Kong (14 November) serta Thailand yang belum disahkan tarikhnya.

Namun andai tewas dalam perlawanan persahabatan itu, kemungkinan Rajagobal sekali lagi menjadikan Itali sebagai contoh untuk rujukan dalam resipi kejayaannya.

Sumber: Ranking FIFA penting!

Other articles you might like;

1 comment… add one
  • hairulafiz October 9, 2012, 2:32 pm

    betul kata Serbegeth Singh tu……..kita semua nak tengok ranking kita naik sekurang-kurangnya tertinggi dalam Asian….

Cancel reply

Leave a Comment

Papar entri terkini dengan Commentluv <3