≡ Menu

Kickoff Piala Malaysia 2009

Malam tadi, sepuluh perlawanan sulung Piala Malaysia 2009 telah berlangsung. Setelah berehat hampir sebulan sempena bulan Ramadhan, kini 20 pasukan yang berentap untuk menjulang Piala Malaysia dengan beberapa pasukan pilihan telah menunjukkan taring mereka. Pasukan Selangor, Perlis, Johor FC dan Kelantan bermula langkah kanan apabila menang ke atas lawan masing-masing semalam.

Juara Liga Super musim ini, Selangor yang berada di Kumpulan D, berjaya meraih tiga mata di tempat lawan selepas mengalahkan Sabah di Stadium Tawau hasil jaringan Safee Sali pada minit ke-24.

Turut mencatat kemenangan ialah Perlis yang membenam Melaka 2-0 untuk mengungguli Kumpula A, gol skuad singa utara disumbang Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Syazwan Zainon.

Johor FC yang berada dalam Kumpulan C berjaya mengalahkan Kuala Lumpur di tempat lawan hasil jaringan tunggal Farid Ideris pada minit ke-48.

Kelantan yang dibimbing jurulatih baru B. Sathianathan berjaya mengalahkan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Bandaraya seterusnya berada di tangga teratas Kumpulan E.

Berbeza pula dengan Kedah yang hanya mampu seri 1-1 dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Aman.

Kedah yang diletakkan dalam Kumpulan E mendahului pada minit ketujuh melalui Faizal Abu Bakar sebelum disamakan oleh ATM melalui sepakan percuma M. Chandrashekar pada minit ke-78.

Pahang turut mencatat keputusan yang sama menentang KL PLUS di Stadium Darul Makmur, gol tunggal skuad Tok Gajah itu dijaringkan oleh Abdul Rahman Abdul Kadir pada minit ke-46 sebelum Mohd. Lot Abu Hassan mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-59.

Negeri Sembilan yang diundi dalam Kumpulan B turut mencatat kemenangan apabila mengalahkan pasukan tuan rumah Johor 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Kedua-dua gol skuad rusa itu disumbangkan penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak pada minit ke-28 dan 41 manakala Johor memperoleh gol saguhati melalui Rizal Roslan di minit ke-76.

Dalam satu lagi saingan Kumpulan B, Sarawak kecundang di tempat sendiri kepada Terengganu 0-1 apabila mereka dihukum melalui jaringan Khairul Izwan Khalid pada minit ke-63.

Kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain apabila Abang Mohd. Za’afari dari Sarawak dan Mohd. Saufi Hamid dari Terengganu diperintah keluar padang pada minit ke-65.

Turut mencatat kemenangan ialah Perak dan Polis Diraja Malaysia yang menang ke atas lawan masing-masing, UPB-MyTeam dan KM Naza 1-0.

* Sumber: Utusan Malaysia 27 September 2009
Gambar hiasan: Pasukan Liga Super Perlis ketika menjulang Piala Liga Super 2005 di Stadium Utama Kangar.

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment

Papar entri terkini dengan Commentluv <3