China akan mengemukakan draf Pelan Lima Tahun Kerjasama Ekonomi dalam masa terdekat untuk melonjakkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan Malaysia.
Ia dimaklumkan Perdana Menteri China, Wen Jiabao kepada Datuk Seri Najib Razak, dalam mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, kelmarin.
Perdana Menteri berkata, pelan kerjasama bermula 2013 hingga 2017 akan mengembangkan lagi perdagangan dua hala yang boleh mencecah US$100 bilion dolar (RM300 bilion) dalam beberapa tahun akan datang.
Kerjasama merangkumi pelbagai bidang termasuk infrastruktur, pembuatan, pelaburan perkhidmatan, peruncitan, taman industri dan zon pemprosesan eksport, logistik dan pertanian.
Pelan kerjasama ekonomi itu adalah sebahagian daripada inisiatif dalam perjanjian bagi mengembangkan ekonomi dan kerjasama perdagangan kedua-dua negara yang ditandatangani pada 2011.
China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2011, nilai dagangan dengan China berjumlah AS$54.53 bilion, iaitu 13.2 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia.
Kini, China adalah pasaran eksport terbesar negara, iaitu AS$29.82 bilion, manakala import AS$24.71 bilion. Sehingga Ogos lalu, perdagangan dua hala kedua-dua negara meningkat 10.5 peratus kepada AS$38.16 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Najib berkata, Jiabao juga berpuas hati dengan projek Taman Perindustrian Qinzhou (TPQ) China-Malaysia dan berharap Taman Perindustrian Kuantan (TPK) Malaysia-China dapat dilaksanakan segera. TPK akan dibangunkan sebagai kawasan perindustrian berkembar dengan TPQ.
Kerajaan sedang mengambil langkah supaya TPK dapat dilancarkan awal tahun depan, katanya.
Najib juga berharap kepemimpinan baru yang bakal menerajui China pada Mac depan akan memberi kerjasama erat kepada Malaysia.
Sementara itu, katanya, Malaysia mempertimbangkan untuk membantu menyediakan tempat untuk masyarakat Melayu Champa di Kemboja.
Ini berikutan permintaan pemimpin Islam negara itu, Oknha Othsman Hassan dan Mufti Besar Kemboja, Oknha Sos Kamry Kamaruddin yang melakukan kunjungan hormat ke atas Najib, kelmarin.
Mereka menghargai Malaysia yang paling banyak membantu dan berharap ia tidak terbatas kepada bidang keagamaan saja.
Mereka memohon diberi tempat kepada pelajar melanjutkan pelajaran dan kita akan timbangkan. Kita akan dapatkan butiran lengkap termasuk kelayakan. Kita boleh, minta Universiti Teknologi Mara (UiTM) sediakan beberapa tempat kepada pelajar mereka, katanya.
Via: Draf 5 tahun lonjak kerjasama Beijing, KL
Other articles you might like;