≡ Menu

CUEPACS minta skim khas untuk penguatkuasa PBT, JPJ

CUEPACS meminta kerajaan wujudkan skim perkhidmatan khas bagi anggota dan pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata skim itu perlu kerana ketika ini 6,000 penguat kuasa dari 154 PBT seluruh negara dimasukkan dalam Gred N, iaitu sama dengan pentadbir lain yang bekerja di pejabat, walaupun beban tugas dan risikonya lebih.

“Keadaan ini menyebabkan anggota dan pegawai penguat kuasa PBT dan JPJ di seluruh negara tidak mendapat pelbagai kemudahan, termasuk elaun dan faedah lain seperti mana dinikmati pegawai penguat kuasa Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis, yang mempunyai skim perkhidmatan tersendiri.

“Masalah ini menyebabkan mereka terlepas peluang menikmati kenaikan gaji dan pangkat yang lebih cerah lagi adil berasaskan tempoh perkhidmatan masing-masing,” katanya selepas pertemuan kira-kira sejam dengan wakil lebih 100 PBT seluruh negara di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, semalam.

CUEPACS dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) menubuhkan jawatankuasa bagi menyemak dan menyediakan kertas cadangan mengenai keperluan mewujudkan skim khas perjawatan anggota dan pegawai penguat kuasa PBT serta JPJ di seluruh negara.

Omar berkata, jawatankuasa itu diberi masa tiga minggu untuk menyedia dan menyiapkan kertas cadangan berkenaan sebelum dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Mengulas lanjut, beliau berkata pengenalan skim baru itu sejajar dengan langkah kerajaan memudahkan kenaikan gaji dan gred penjawat awam berasaskan tempoh perkhidmatan, seperti mana diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Mohd Ali Hamsa, baru-baru ini.

Sumber: CUEPACS minta skim khas untuk penguat kuasa PBT, JPJ

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment

Papar entri terkini dengan Commentluv <3