Tag: Ceupacs

  • CUEPACS minta skim khas untuk penguatkuasa PBT, JPJ

    CUEPACS meminta kerajaan wujudkan skim perkhidmatan khas bagi anggota dan pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata skim itu perlu kerana ketika ini 6,000 penguat kuasa dari 154 PBT seluruh negara dimasukkan dalam Gred N, iaitu sama dengan pentadbir lain yang bekerja di pejabat, walaupun beban tugas dan risikonya lebih.

    “Keadaan ini menyebabkan anggota dan pegawai penguat kuasa PBT dan JPJ di seluruh negara tidak mendapat pelbagai kemudahan, termasuk elaun dan faedah lain seperti mana dinikmati pegawai penguat kuasa Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis, yang mempunyai skim perkhidmatan tersendiri.
    (more…)

  • CUEPACS cadang imbuhan tetap perumahan diselaras

    Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

    Timbalan Presiden Cuepacs, Aziz Muda, berkata cadangan berkenaan antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

    “Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

    “Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif,” katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

    Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

    Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

    “Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Jan 2012,” katanya.

    Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

    Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

    “Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini,” katanya. – BERNAMA
    Sumber: CUEPACS cadang imbuhan tetap perumahan diselaras