≡ Menu

BN kerja keras pertahan Sabah

Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Sabah bukan sekadar ‘simpanan tetap’ Barisan Nasional (BN), sebaliknya negeri ini dianggap lebih daripada itu.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kedudukan Sabah yang dianggap lebih daripada ‘simpanan tetap’ itu perlu dipertahankan menerusi segala usaha.

“Ada orang mengatakan Sabah adalah ‘simpanan tetap’ BN, tetapi sebenarnya negeri ini lebih daripada itu. Kita tidak boleh kehilangan Sabah, kita kena pertahankan dan BN akan bekerja keras untuk memastikan Sabah kekal milik BN pada pilihan raya umum akan datang.


“Ada yang terpengaruh (dengan dakyah pembangkang) dan ada juga yang tetap menyokong kerajaan kerana BN sudah mendapat kepercayaan rakyat. Justeru, dalam hal ini, bukan hanya pemimpin BN atau UMNO yang memainkan peranan penting, sebaliknya peranan ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) juga diiktiraf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis minum pagi bersama ahli MUBARAK Sabah dan pemimpin veteran politik UMNO negeri, di sini, semalam.

Sementara itu, pada majlis berasingan di Penampang, Muhyiddin menegaskan Kerajaan Persekutuan sedia mempertimbangkan permintaan rakyat Sabah untuk mewujudkan mekanisme penyelesaian menang-menang ke atas sumber asli seperti minyak dan gas di negeri ini.

“Cadangan Parti Bersatu Sabah (PBS) mengenai hasil sumber asli dan galian di negeri ini adalah baik dan kita tidak mahu berselindung kerana ini semua hak rakyat. Apa juga keputusan yang dibuat, bukan saja untuk masa kini tetapi juga masa akan datang.
“Saya tiada halangan untuk menyampaikan perkara ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Apa yang penting, perkara ini dibincangkan dalam BN negeri sebelum dibawa kepada saya, seterusnya dikemukakan kepada Perdana Menteri,” katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan tahunan PBS ke-27 di Hongkod Koisaan di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta tiga Timbalan Presiden PBS iaitu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Datuk Dr Yee Moh Chai dan Datuk Almudin Kaida.

Muhyiddin turut menyifatkan tindakan bekas Ketua UMNO Beaufort, Datuk Lajim Ukin, meninggalkan parti dan BN sebagai pengkhianatan besar kepada rakyat dan BN di Parlimen Beaufort.

Katanya, apa yang dilakukan Ahli Parlimen Beaufort itu juga adalah satu tindakan bodoh yang tidak sepatutnya dilakukan jika beliau benar-benar berjuang untuk rakyat.

“Lajim sebenarnya mengkhianati rakyat. Sebelum ini, rakyat bekerja keras untuk memastikan kemenangan beliau sebagai calon BN pada 2008, tetapi hari ini dia sudah keluar,” katanya pada Majlis Bersama Rakyat Kuala Penyu yang dihadiri kira-kira 7,000 orang, di Kuala Penyu, semalam.

Sumber: Kerja keras pertahan Sabah

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment