
Satu petang ketika menikmati Bakso di Shah Alam bersama Cech Adrea dan Amzar Anaqi, kami membuka satu tajuk perbincangan. Cech Adrea, seorang yang berfikiran kritis mengajukan beberapa soalan. Pada tahun 2002, filem Ada Apa Dengan Cinta memasuki pawagam di Malaysia dan menjadi fenomena dan terus box-office, filem apakah yang menjadi kebanggaan kita pada masa itu?
Menurut laman web FINAS, sepuluh buah filem dikeluarkan pada tahun 2002, iaitu KL Menjerit, Anak Mami The Movie, Idola, Mendam Berahi, Gerak Khas The Movie II, Embun, Mr. Cinderella, Mami Jarum, Cinta 200 Ela dan Soalnya Siapa. Daripada 10 filem ini, filem Gerak Khas the Movie II berjaya mengutip RM 3.10 juta, paling tinggi dan Cinta 200 Ela paling tercorot sebanyak RM150,000.00 sahaja. Sepuluh tahun selepas itu pada 2012, Adnan Sempit berjaya mengutip sebanyak RM6 juta daripada 77 buah filem yang ditayangkan.










