Kita boleh membayangkan seorang rakyat di Malaysia membawa lebih daripada satu telefon bimbit di dalam saku mahupun tas tangan mereka.
Ini dibuktikan oleh kajian syarikat Internet popular, Google yang mendapati kadar penembusan telefon pintar di Malaysia meningkat hampir 300 peratus sejak 2011 jelas menunjukkan ia gajet paling popular.
1. iPhone 5S
Meskipun terdapat segelintir yang hebat mengkritik peranti terbaru Apple, iPhone baru melalui varian 5s masih mampu menambat hati pengguna melalui kekuatan pengimbas cap jari yang sudah pasti akan ditiru pengeluar lain nanti.
Melalui cip pemprosesan baru iaitu A7 (bagi model 5s), ia menawarkan ketahanan bateri lebih dua kali ganda dengan kuasa pemprosesan grafik M7 yang pertama kali diperkenalkan menyaksikan pemampatan grafik tinggi menjadikan imej terpampang lebih menarik.
iPhone baru juga telefon pertama di dunia yang beroperasi pada platform 64 bit selain fungsi kamera iSight memuatkan sensor 15 peratus lebih besar ditambah apertur f/2.2 dengan ciri baru termasuk flash lebih baik yang memungkinkan kuasa baru fotografi dalam telefon.
Apple turut memperbaharui fungsi kameranya dengan menambah mod Burst dan video slomo selain kemudahan rangkaian LTE yang mempunyai pelbagai jalur bagi memastikan anda mendapat liputan lebih baik.
Tidak lengkap iPhone baru tanpa sistem operasi terkini. Oleh itu, tawaran platform iOS7 menawarkan ciri baru yang menyokong pelbagai tugas, AirDrop dan Control Center. Telefon pintar iPhone 5S ini boleh didapati di pasaran pada harga serendah RM2,399 tanpa sebarang kontrak.
2. Sony Xperia Z1
Versi kedua Xperia Z iaitu Z1 yang diperkenalkan pastinya lebih membawakan inovasi terbaru selaras dengan perkembangan syarikat terbabit yang kerap membawakan teknologi baru meskipun kurang mendapat nama.
Sony Xperia Z1 membawakan inovasi kamera terus dalam telefon pintar yang menghasilkan fotografi menakjubkan tanpa perlu membawa kamera digital kompak bersama, cukup sekadar telefon sebagai peranti kamera anda.
Xperia Z1 membawakan inovasi yang diiktiraf iaitu lensa dengan sudut lebar 27 milimeter bersama apertur F2.0 yang dioperasikan pengesan imej jenis CMOS 1/2.3 bersama resolusi setinggi 20.7 megapiksel.
Malah, lebih hebat lagi produk ini menggunakan pemprosesan imej sendiri iaitu BIONZ membolehkan teknologi sama dalam kamera kompak dibawa masuk dalam telefon yang berbentuk kompak dan nipis.
Bukan hanya cakap kosong, berdasarkan ujian badan bebas, Sony Xperia Z mampu menghasilkan imej berkualiti tinggi menewaskan kebanyakan telefon pintar lain di pasaran yang jauh ketinggalan dari aspek teknologi.
3. HTC One
HTC menjadi pengeluar telefon pertama yang mampu menghasilkan telefon pintar dengan bahan aluminium penuh pertama di dunia dalam produk mereka menerusi HTC One atau nama kodnya M7.
Telefon terbabit mempunyai ciri pemprosesan Quad Core 1.7GHz Snapdragon 600, setoran 32GB hingga 64GB, RAM 2GB, Bluetooth 4.0, NFC, LTE dan bateri 2300mAh. Skrinnya pula 4.7 inci pada paparan 468ppi 1080p bersama sistem operasi (OS) Android 4.1.2 dipasang juga dengan HTC Sense paling baru.
Berbeza berbanding produk sebelum ini, HTC One baru didatangkan dengan antaramuka Sense yang menampakkan perubahan drastik selepas lima kali dipasarkan.
Pada masa sama, HTC menampilkan ciri sulung pada skrin muka depan atau Home dengan memperkenalkan BlinkFeed memandangkan kajian syarikat itu yang mendapati corak penggunaan berbeza pengguna bagi mendapatkan maklumat.
4. Samsung Galaxy Note 3
Samsung menyerlahkan Galaxy Note 3 yang menyampaikan pengalaman baru dari segi reka bentuk lebih nipis dan ringan dengan skrin lebih besar, tetapi tampak lebih kompak, lebih berkuasa dan bateri tahan lebih lama.
Buat pertama kalinya, Note 3 mempunyai belakang yang bertekstur dan ia boleh didapati dalam warna hitam, putih dan merah jambu dijual pada harga RM2,399.
Fungsi S Pen diperkasakan dengan kemampuan berbilang tugasan yang lebih canggih.
Apabila S Pen disentuh pada skrin dan butang ditekan, satu menu dengan pilihan lima tugasan khas dipaparkan yang membolehkan pengguna menulis nombor telefon atau alamat untuk membuat panggilan, disimpan dalam telefon, menghantar e-mel atau mencari pada peta, membulatkan maklumat untuk disimpan atau melukis kotak untuk membuka aplikasi tertentu.
Penambahbaikan lain termasuk peningkatan kuasa bateri kepada 3200 mAh supaya Note 3 tahan lebih lama. Ia dilengkapi pemprosesan 1.9 GHz Octa Core Processor ( A15 1.9 GHz + A7 1.3 GHz) dengan skrin 5.7 inci.
5. Nokia Lumia 1020
Nokia memperkenalkan Lumia 1020 ke pasaran Malaysia pada 25 September lalu dengan tiga warna pilihan iaitu hitam, putih dan kuning yang mempunyai kekuatan kamera menjangkau 41 megapiksel PureView.
Kameranya yang dikuasakan dengan lensa Carl Zeiss Tessar mempunyai format apertur f/2.2 dengan saiz sensor 1/1.5 inci.
Telefon dengan skrin 4.5 inci terbabit turut dilengkapkan dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon S4 1.5GHz dengan masa berbual pada rangkaian 3G sehingga 12.5 jam.
Telefon terbabit mempunyai tahap kenipisan sehingga 10.4mm dicampur dengan lensanya yang agak besar manakala berat 158g sedikit membangkitkan persoalan namun paparan pada PureMotion HD+ yang mengagumkan mampu menutup mulut pengkritik.
Nokia memperkenalkan Lumia 1020 dengan versi LTE yang menepati capaian Malaysia dengan RAM sebanyak 2GB serta memori dalaman 32GB tidak termasuk storan cloud berjumlah 7GB. Ia dijual mahal pada harga RM2,499.
6. Google Nexus 5
Google melancarkan telefon pintarnya, Nexus 5 yang menjadi model utama untuk sistem operasi Androidnya.
Tambahan baru yang dinanti-nantikan kepada barisan Nexus Google menggunakan platform baru Android KitKat yang mana ia direka semula untuk berfungsi dalam banyak barisan telefon yang didatangkan dengan perisian percuma Titan.
Peranti yang dijual pada harga RM1,849 di Malaysia itu mempunyai tahap kenipisan 8.59mm dengan skrin 4.95 inci. Bersama skrin terbabit, Google melengkapkannya dengan paparan 1920 x 1080 piksel bersama mampatan resolusi 445ppi.
Peranti sama juga boleh dicas tanpa wayar menggunakan aksesori disediakan.
7. BlackBerry Q10
BlackBerry memulakan 2013 dengan memperkenalkan peranti pertama berkuasakan OS BlackBerry 10 yang baru, Q10, telefon yang lengkap dengan papan kekunci QWERTY.
Peranti dan perisian BlackBerry 10 direka bersama-sama ciri baru iaitu Balance yang mampu membahagikan telefon BlackBerry kepada dua peranti yang berasingan, satu untuk bekerja manakala satu lagi untuk kegunaan peribadi.
Sekali gus profil yang dibahagikan kepada dua akan menyimpan maklumat sensitif syarikat dan bahagian IT boleh mengawalnya daripada bocors secara tidak sengaja.
Sementara aplikasi peribadi e-mel dan gambar ditempatkan di ruang Personal membolehkan anda menukar profil ke profil yang lain dengan lebih selamat.
Tidak dilupakan, aplikasi suntingan foto yang siap dibangunkan menghilangkan kerisauan sekiranya anda mahu memiliki aplikasi seperti Instagram. Q10 kini dijual pada harga RM1,998.
8. Motorola Droid Maxx
Motorola menghasilkan model Droid Maxx yang turut mempamerkan kekuatan syarikat terbabit melalui ketahanan bateri luar biasanya.
Droid Maxx direka berdasarkan rekaan unibodi lengkap bersama saiz skrin 5.0 inci yang ditetapkan pada skrin jenis AMOLED Gorilla Glass beresolusi 720 x 1280 piksel.
Pada tahap kenipisan sehingga 8.5mm, Maxx mempunyai ketahanan bateri hebat iaitu 3500mAh yang mampu bertahan 48 jam meskipun anda berada dalam mod aktif.
Peranti sama beroperasi 24 peratus lebih laju apabila ia menggunakan sistem X8 lapan teras termasuk pemprosesan grafik Quad Core, Dual-App, perkomputeran kontekstual dan pemprosesan biasa.
Memori yang disediakan termasuk 64GB dengan kelajuan 1.7GHz Dual Core dan RAM sebanyak 2GB, kamera 10 megapiksel 1080p HD dan kamera depan 2.0 megapiksel.
9. LG Optimus G Pro
LG menampilkan produk panas mereka iaitu Optimus G Pro yang lengkap rangkaian LTE di samping skrin sebesar 5.5 inci HD Penuh IPS bersama fungsi baru iaitu UX.
Ia dijual pada harga RM1,888. Fungsi UX membenarkan perkakasan dibangunkan dengan ciri teknologi tinggi seperti dwirakaman yang membenarkan rakaman video dilakukan kamera depan dan belakang sekali gus serta mod Panorama Realiti Maya (VR) bagi rakaman 360 darjah pada kedua-dua kamera juga.
Skrin Optimus G Pro ditetapkan pada 1920 x 1080 piksel dengan 400ppi manakala baterinya berkapasiti 3,140mAh. Ia menjadikan LG Optimus G Pro telefon pintar paling lama jangka hayat baterinya di dunia.
10. Huawei Ascend P6
Huawei membawa masuk telefon pintar ternipis di dunia iaitu 6.18mm yang beroperasi pada pemprosesan Quad Core 1.5GHz dengan kelengkapan kamera 8.0 megapiksel melalui Ascend P6 yang ditawarkan dengan harga patut.
Peranti terbabit dijual pada harga hanya RM1,399 ketika ia dilancarkan sesuai untuk kelengkapan teknologi sebelum hari raya lalu.
Huawei membawa masuk semua warna yang ditawarkan iaitu hitam dan putih manakala warna merah jambu ditawarkan pada Oktober.
Syarikat yang berpangkalan di China membawa masuk P6 lengkap dengan pemprosesan Quad Core 1.5GHz K3V2, RAM sebanyak 2GB selain setoran dalaman 8GB.
Ia beroperasi pada OS Android Jelly Bean 4.2.2 dan Emotion UI sendiri yang seakan-akan iOS manakala sistem rangkaian ditetapkan pada HSPA+ bagi kelajuan muat turun 21Mbps.
Skrinnya pula 4.7 inci LCD (1280 x 720 piksel) yang menyaksikannya lebih cantik dan peka sentuh.
Oleh Afiq Hanif: Telefon pintar paling popular
Other articles you might like;