Tag: yamaha

  • Yamaha Majesty YP250

    Yamaha Majesty YP250

    Salam.

    Entri pendek untuk merekod pembelian alat ganti Yamaha Majesty. Dua bulan lepas selepas Adam membuat pesanan kepada Lean Hin Motor untuk membeli kabel brake Majesty yang terputus menemui jalan hampa, Adam bertindak sendiri dengan menghubungi semua pengedar alat ganti Yamaha di seluruh Malaysia. Alasan yang diberikan oleh Awin, tokei kedai tersebut bahawa stok di Malaysia habis telah melemahkan semangat Adam pada mulanya.

    Namun, memikirkan tanggungjawab Adam untuk menjaga skuter yang arwah Abah tinggalkan ni, Adam terus berusaha untuk mencari pengganti tali brake tersebut. Setelah menjalankan pencarian di ceruk Internet, Adam hanya menemukan sebuah kedai alat ganti Yamaha yang terletak di sebelah Eropah dengan harga mencecah ratusan ringgit, walau hanya memasang niat untuk mencari di sekitar Malaysia.

    Lalu Adam membeli senaskah majalah Malaysian Bike Trader dan memulakan pencarian. Alhamdulillah, hanya ada sebuah kedai yang menyimpan stok kabel tersebut dan kedai-kedai lain hanya mampu berjanji untuk mencarikan stok untuk Adam. Dengan tanpa melengahkan masa, Adam melakukan urusniaga jarak jauh. Kabel ini berharga RM220 dan diposkan ke Perlis dari Klang, Selangor dengan kos RM10. Kedai yang dimaksudkan ialah Chear Motor Sdn Bhd, Klang (Contact No. 03-3341 4593, 012-2272998).

    Kemudian, kabel ini dipasang oleh Awin dengan mengambil upah RM20 dan menjadikan jumlah keselurahan “Kerja-kerja mengganti, memasang dan mengawalselia kabel brek Yamaha Majesty YP250” adalah berjumlah RM250.00. Tanggungjawab untuk menjaga skuter ini adalah berat kerana kos alat ganti yang mahal dan terhad. Jadi, selepas ini kalau berangan nak pakai sebuah motorsikal yang lagi besar CC-nya, eloklah menyediakan jumlah secukupnya untuk menukar alat ganti, kan?

  • Kecalar Balaran

    Kecalar Balaran

    PER: Aduan Perkhidmatan Kurier Nationwide Express

    Perkara diatas adalah dirujuk. Saya Adam Roeslani bin Roslan ingin membuat aduan tentang keadaan motorsikal saya selepas menggunakan perkhidmatan tuan. Untuk rujukan pihak tuan, saya menghantar motorsikal Yamaha 135 LC daripada Nationwide Melaka ke Nationwide Perlis pada 19 November 2008 dengan nombor rujukan XXXXXXX.

    Setelah motorsikal tersebut sampai ke Nationwide Perlis pada 25 November 2008, saya berasa amat berdukacita kerana terdapat kesan calar yang teruk di bahagian sisi kanan motorsikal saya. Kesan tersebut merupakan kesan calar yang kekal dan mencacatkan ‘coversuit’ motorsikal saya.

    Besarlah harapan saya agar pihak tuan dapat mengambil perhatian yang serius tentang masalah pengendalian ini kerana ini bukanlah kali pertama saya menggunakan perkhidmatan pihak tuan dan masalah yang sama berlaku namun saya hanya bertindak untuk diam. Kejadian kali ini membuatkan saya hilang sabar daripada terus berdiam dan bertindak untuk membuat laporan.

    Apa yang saya harapkan daripada pihak tuan ialah memantapkan pengurusan pengendalian semasa proses transit dari Melaka ke HQ dan sebelum dibawa ke sini. Secara logiknya, memang keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana motorsikal dihantar menggunakan lori dan akan mengalami hentakan, tetapi pihak tuan boleh mengurangkan kesan calar atau rosak pada motorsikal sekiranya mengamalkan pengendalian yang cekap.

    Rasanya tiada masalah jika motorsikal diikat dengan tiang besi di dalam lori bagi mengelakkan motorsikal berlanggar antara satu sama lain jika berlakunya hentakan. Saya sendiri telah mempunyai pengalaman membawa sebuah motorsikal daripada Kedah ke Melaka dengan menggunakan lori, dan tiada kesan calar kerana motorsikal itu diikat dengan kemas. Mungkin cara operasi pihak tuan yang berbeza dengan pemahaman saya dan masalah ini tetap berlaku.

    Sekiranya benar pihak tuan telah meletakkan motorsikal dengan kemas di dalam lori, masakan kesan calar yang ‘dalam’ sepertimana yang berlaku kepada saya akan terjadi. Jika proses penghantaran bukan alasannya, mungkin pihak tuan perlu memastikan motorsikal yang ditransit di HQ dilayan dengan baik kerana saya membayar kepada pihak tuan untuk servis yang terbaik.

    Saya sebagai pengguna servis pihak tuan berasa amat kecewa kerana masalah ini kekal berterusan sekiranya tiada tidakan diambil selain daripada menasihati pengguna untuk membalut motorsikal sebelum membuat penghantaran tetapi kaedah ini masih tidak mampu untuk menjamin bahawa motorsikal selamat sampai ke destinasi sepertimana keadaan sebelum dihantar.

    Terima kasih.