
Beberapa hari lepas, kecoh dengan isu lagu Seniman Allayarham Tan Sri P. Ramlee telah dinyanyikan semula oleh penyanyi Indonesia, Ahmad Dhani — bekas vokalis Dewa 19. Pelbagai komen negatif dikeluarkan oleh peminat muzik tempatan. Apakah kewajaran nyanyian semula oleh Ahmad Dhani dipertikaikan?
Pada pendapat saya, isu ini sebenarnya tidak perlu diperbesarkan kerana nyanyian semula atau cover version adalah suatu yang boleh dianggap sebagai tanda penghargaan kepada penyanyi asalnya. Jika Jamal Abdillah menyanyikan lagu Mencintaimu yang asalnya oleh Kris Dayanti dari Indonesia sendiri sebagai suatu yang normal, rakyat Malaysia sendiri harus menerimanya dengan positif. Banyak lagi lagu-lagu lama dari Indonesia telah dinyanyikan dan dipopularkan semula oleh artis Malaysia, jadi biarkanlah mereka mengembangkan lagi lagu-lagu Melayu untuk disegarkan dengan gaya yang moden. Jika anda kata bahawa itu salah, mengapa artis Malaysia juga meminjam lagu Indonesia untuk dinyanyikan semula?
Apa yang penting di sini bukanlah isu siapa ambil lagu siapa, sebenarnya artis Malaysia perlu mengubah persepsi kini yang melabelkan mereka sebagai kering idea. Banyak lagu masa kini seperti hilang punca dan terlalu terikut-ikutkan budaya luar. Itulah bahana daripada program realiti TV. Jika diimbas zaman kegemilangan Bumi Putra Rockers atau Alleycats, tiada isu seperti ini. Jangan disebabkan kebanjiran lagu Indonesia ke Malaysia, artis-artis Malaysia menjadi tegang. Buatlah sesuatu untuk mengubah keadaan ini. Kerajaan boleh tolong anda untuk menetapkan quota 90/10, tapi lagu anda buat rakyat Malaysia bosan dan lebih meminati lagu-lagu Indonesia.
Media Massa mesti memainkan peranan untuk mengurangkan lagu-lagu Indonesia disiarkan. Bukan diskriminasi, tetapi cara ini perlu untuk mengelakkan kebanjiran lagu-lagu Indonesia di Malaysia. Sudah penat mendengar di Internet, di TV, di radio juga semua berslanga Indonesia. Jika tidak lagu Indonesia, telenovela Indonesia boleh juga — lebih menarik sekiranya bertemu abang-abang macho PATI dari Indonesia.
Berbalik kepada tajuk — saya amat menyokong sekiranya isu ini dihentikan segera. Sekiranya tetap diteruskan — risau akan terus melarat. Takut-takut ada yang mengaitkan isu hiburan dengan isu politik atau melibatkan sentimen kenegaraan. Itu tidak manis untuk suatu negara yang mementingkan keamanan berlandanskan 1Malaysia.

Leave a Reply