
Walaupun garis panduan ini tidak melibatkan penulisan blog, tetapi masih boleh dijadikan sebagai panduan kepada penulis blog agar penulisan yang ditulis tidak melanggar Garis Panduan Penerbitan yang disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri. Berikut adalah perkara-perkara yang dilarang disiarkan di media cetak termasuk akhbar dan majalah:
A: Gambar-gambar dan iklan-iklan yang dilarang disiarkan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah adalah seperti berikut:
- Gambar-gambar lelaki atau wanita yang berbogel;
- Gambar-gambar lelaki yang memakai G-String sahaja;
- Gambar-gambar wanita yang menunjukkan buah dada atau memakai baju tetapi sebahagian buah dadanya dibuka;
- Gambar-gambar wanita yang memakai seluar dalam dan coli sahaja;
- Gambar-gambar wanita yang memakai bikini;
- Gambar wanita yang memakai pakaian yang jarang atau yang diperbuat daripada kain lace atau berlubang (see through) yang mana bahagian-bahagian tertentunya masih boleh dilihat dengan jelas;
- Gambar wanita yang hampir bogel di dalam pos-pos yang mengghairahkan;
- Gambar wanita bogel yang dihitamkan bahagian-bahagian tertentu tetapi masih jelas kelihatan pos-pos yang mengghairahkan;
- Iklan pakaian-pakaian dalam seperti coli dan seluar dalam yang dipakai oleh model-model atau dipakaikan kepada patung-patung (Jenama pakaian secara bersendirian sahaja boleh diiklankan);
- Petikan ayat-ayat suci Al-Quran, memadai disiarkan terjemahan ayat-ayat itu sahaja dan dinyatakan surahnya;
- Sebarang iklan daripada negara Israel;
- Iklan-iklan yang menyiarkan gambar-gambar Ka’abah atau masjid sebagai latar belakang;
- Iklan-iklan alat-alat contraceptive;
- Gambar-gambar udara (kecuali dengan kebenaran Jabatan Pemetaan);
- Gambar-gambar ruang di dalam semua protected places dan protected areas di bawah Ordinan 33/59;
- Gambar-gambar ruang di dalam semua protected places di bawah Akta 88/72;
- Gambar-gambar ngeri kejadian yang benar-benar berlaku (seperti wajah dekat seseorang yang berlumuran darah atau seseorang tanpa kepala akibat kemalangan);
- Iklan-iklan dari Kedutaan Asing kecuali jika kebenaran telah diberi oleh Wisma Putra.
Selain daripada gambar yang dilarang, iklan produk tembakau juga dilarang. Berkuat kuasa 14 Ogos 2004, pengharaman bagi semua jenis promosi tembakau kecuali kelonggaran untuk sukan bola sepak hingga akhir tahun 2004 serta kelonggaran bagi sukan bermotor F1 sehingga awal tahun 2006. Berkuat kuasa 12 Mei 2004, larangan menyeluruh bagi promosi jenama rokok terhadap semua media cetak termasuk penerbitan yang diimport untuk edaran di negara ini.
Iklan-iklan ubat diwajibkan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. Tiap-tiap iklan ubat yang hendak disiarkan di dalam akhbar atau majalah hendaklah disertai dengan nombor kod rujukan kelulusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Berkuat kuasa 4 Sepetember 2002, semua bentuk iklan yang menawarkan perkhidmatan perbualan melalui talian-talian telefon (Iklan Talian 600) dalam media cetak termasuk majalah diharamkan.
Terdapat juga garis panduan untuk liputan perbicaraan kes jenayah dan pembunuhan; antaranya Mengelak mensensasikan kes berupa liputan berita secara spekulatif dan tidak berasas; Mengelak memberi penonjolan keterlaluan dengan menyiarkan tajuk sensasi sahaja sebagai tajuk utama di muka depan akhbar; Membuat liputan berita kes secara saksama seimbang dan bertanggungjawab; dan Tidak menyiarkan gambar ahli-ahli keluarga, terutamanya anak dan isteri tertuduh atau mangsa dalam kes jenayah seksual.
Rujuk kepada bahagian gambar-gambar yang dilarang, semua orang pasti tidak bersetuju dengan apa yang berlaku dalam industri media cetak tanah air sekarang. Gambar yang disiarkan langsung tidak mengikuti garis panduan yang dikeluarkan. Apa guna dicipta garis panduan ini jika tidak diikut?
Sumber: Garis Panduan Penerbitan oleh Jabatan Penerangan Malaysia
Kredit Gambar: Maza Photography

Leave a Reply