www.youtube.com/watch?v=RQ56CTRTWNI
Sentuhan penyudah Azammuddin Akil dan Khyril Muhymeen Zambri ‘menyelamatkan’ seketika karier jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal apabila membantu skuad Harimau Malaya menang tipis 2-1 ke atas Yaman pada aksi kedua kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kemenangan sulung itu membolehkan Malaysia menghidupkan semula peluang muncul dua pasukan teratas Kumpulan D yang turut dianggotai Qatar dan Bahrain dengan baki empat lagi perlawanan bakal berlangsung Oktober dan November depan serta Mac 2014.
Dalam perlawanan malam tadi, Harimau Malaya bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan penyerang pelawat, Aiman Saleh Abd Al-Hagri seawal minit ke-11 selepas sepakan lencongnya gagal diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang sedikit terkeluar dari posisi.
Aiman hampir menambah jaringan, dua minit kemudian, mujur percubaannya dalam satu serangan balas berjaya ditepis Khairul Fahmi.
Gol penyamaan Harimau Malaya hadir pada minit ke-26 selepas Azammuddin mudah menolak masuk ke dalam gawang lawan dikawal Salem Abdullah Awadh Saeed selepas keadaan kelam kabut dalam kotak penalti.
Bersambung babak kedua, Harimau Malaya menguasai sepenuhnya permainan sambil diiringi sokongan padu 15,000 penyokong, namun deretan peluang dan percubaan yang dihasilkan belum cukup untuk menembusi gawang pelawat.
Bagi menambah sengat jentera depan, Rajagobal membawa masuk Khyril menggantikan Amri Yahyah pada minit ke-70, namun penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha pula mempersiakan dua peluang terbuka di depan pintu gol pada minit ke-73 dan 76.
Kemasukan kapten Kelantan, Badhri Radzi atau Piya menggantikan K Gurusamy selepas itu seakan membawa tuah apabila Harimau Malaya akhirnya berjaya mendapatkan gol kedua selepas Khyril menanduk kemas hantaran Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-79. Sumber: Berita Harian.
Other articles you might like;