
Gambar yang indah di atas bukanlah diambil dari mana mana pergunungan atau taman bawah air tetapi di dalam sebuah akuarium. Aquascaping membawa maksud seni menyusun tumbuhan akuatik, batu, kayu reput atau tanah di dalam akuarium. Dalam bahasa mudahnya ialah berkebun di dalam air.
Paling terkenal ialah menanam tumbuhan air dengan ikan ikan kecil. Ada juga yang membela batu karang, alga atau hidupan air masin yang lain.
Kira-kira sebulan lepas seorang rakan sepejabat membawa pengaruh hobi baru ini dalam kalangan kami. Zaman bermain helikopter dalam pejabat sudah ketinggalan dan kini, aquascaping.
Hobi berkebun di bawah air ini memerlukan masa yang panjang, pengorbanan wang ringgit dan kesungguhan. Untuk mencipta satu pemandangan sama seperti komuniti bawah air memerlukan anda kesabaran yang tinggi. Manakan tidaknya, untuk menyediakan tanah/pasir dan air sahaja memerlukan dua hari untuk disediakan. Sesudah air dicampurkan dengan pasir, pasir tersebut mestilah dibiarkan mendap dan barulah air disalin kepada air yang baru.
Selepas selesai menyediakan tanah, barulah tanaman boleh mula ditanam mengikut kreativiti. Pada fasa ini kandungan oksigen dalam air perlu sentiasa dipantau. Tangki oksigen diperlukan bagi memastikan tumbuhan tumbuh dengan sempurna.

Susah bukan? Bayangkan bagaimana pereka-pereka aquascaping ini mengorbankan masa terluang mereka untuk menyiapkan projek mega ini. Itu belum dikira masa yang diperlukan untuk menjaga tumbuhan agar setiasa rapi.
Dari segi bajet, boleh dikatakan hobi ini agak mewah. Tumbuhan hidup ini dijual pada harga RM10-RM50 sepokok bergantung kepada jenis dan tahap keunikannya. Akuarium, lampu, pam air, tangki karbon dioksida, tanah/pasir, batu, dan hiasan-hiasan lain ini boleh menelan belanja sehingga RM1,000.00 untuk perkara paling asas.

Selepas wang ringgit dibelanjakan, masa dikorbankan, kesungguhan diberi dan akan terbalas selepas projek mega ini berjaya disiapkan dan menghiasi sudut di ruang tamu.
Kalau ditanya bila aku nak menceburkan diri dalam akuascaping, jawapannya selepas berjaya siapkan kabinet DIY untuk akuarium nanti.

Leave a Reply