ARAU 17 Mac – Datuk Dr. Md. Isa Sabu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-6 dalam satu istiadat di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Bilik Hijau, Istana Arau di sini petang ini.
Pelantikan Md. Isa, 62, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong dibuat setelah mendapat perkenan Raja Perlis yang mengetepikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Istiadat tersebut sekali gus menamatkan kemelut perebutan jawatan itu antara Shahidan yang menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Md. Isa yang menjadi calon yang diterima oleh Raja Perlis.
Majlis yang berlangsung kira-kira 20 minit itu dimulakan dengan pegawai istiadat Istana Arau, Hamzah Abdullah membacakan surat cara pelantikan Md. Isa sebagai Menteri Besar Perlis.
Md. Isa yang menerima surat pelantikan daripada Raja Perlis diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Othman dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Abdul Rasid Sudin.
Beliau seterusnya membacakan surat ikrar taat setia sambil diapit oleh kedua-dua pegawai kanan tersebut sebelum menandatangani surat pelantikan pada pukul 5.40 petang.
Turut hadir ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan 14 ADUN yang memenangi pilihan raya 8 Mac lalu termasuk Rus’seli Eizan, wakil rakyat Simpang Empat daripada Pas.
Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis tersebut, Md. Isa memberitahu pemberita, khabar angin mengenai pelantikan jawatan Menteri Besar tidak sepatutnya berlaku kerana Raja Perlis telah menggunakan bidang kuasanya mengikut Artikel 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.
Beliau berkata, isu itu sepatutnya selesai pada Jumaat lalu apabila Raja Perlis menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik seorang yang pada fikirannya mendapat kepercayaan majoriti ahli DUN.
‘‘Dalam pelantikan sebelum ini, Tuanku menggunakan undang-undang yang sama. Saya yakin dengan perlembagaan, cuma saya bimbang dengan keresahan rakyat.
‘‘Mengenai perbezaan pendapat atau politik yang berlaku, saya akan cuba menyatukan rakyat. Memang menjadi tugas pemimpin untuk mengatasi masalah ini dan saya akan usahakan,†ujarnya.
Ditanya mengenai barisan Exco yang baru, Md. Isa berkata, beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri di Putrajaya esok bagi menyerahkan cadangan senarai Exco.
‘‘Selepas saya berjumpa Perdana Menteri, senarai itu akan diumumkan dalam masa terdekat,†jelasnya. – BERNAMA
P/S: Daulat Tuanku! Semoga negeri Perlis berdaya saing dengan negeri lain dalam ekonomi dan taraf hidup, serta aman dan makmur di bawah pemerintahan Datuk Dr. Md. Isa Sabu.
Other articles you might like;