≡ Menu

Operasi Lynas kena syarat ketat

20120908-131914.jpg

Setiap pengeluaran perlu dapat kelulusan LPTA

Dengkil: Lynas Corporation Ltd (Lynas) dikenakan syarat ketat termasuk wajib mengemukakan permohonan sebelum memulakan pengeluaran percubaan walaupun tidak menggunakan bahan mengandungi radioaktif.

Setiap operasi juga perlu dilaporkan kepada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) untuk kelulusan dan semua aktiviti dalam kilang akan dipantau.

Ketua Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA), Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan, berkata operasi Lynas akan dipantau 24 jam sehari oleh empat pegawai sains nuklear yang ditempatkan di kilang itu.

“Lynas perlu memastikan pengeluaran percubaannya nanti berjalan lancar tanpa masalah kebocoran dan sebagainya. Apa-apa masalah yang berlaku mungkin mnyebabkan ia dikenakan tindakan dan menanggung kerugian,” katanya dalam taklimat kepada media semalam.

Dalam mesyuarat Isnin lalu, LPTA meluluskan lesen pengendalian sementara kepada Lynas bagi tempoh dua tahun antara 3 September 2012 sehingga 2 September 2014 untuk memulakan operasi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), di Estet Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Keputusan itu dibuat selepas LPTA berpuas hati Lynas mematuhi semua aspek teknikal, termasuk kaedah kawalan debu dan imobilisasi bahan radioaktif dalam residu serta keperluan perundangan yang ditetapkan.

Ketetapan itu juga mengambil kira komitmen Lynas untuk membawa residu Water Leach Purification (WLP) yang terhasil dalam projek LAMP keluar dari Malaysia dalam bentuk produk komersial.

Raja Abdul Aziz berkata, Lynas juga menyatakan komitmen untuk menjemput pemimpin tempatan bagi menjamin aspek ketelusan sepanjang proses berkenaan dan pada peringkat awal, mereka perlu mentauliahkan sistem di kilang itu untuk mengilang pekatan lanthanid.

LPTA pastikan Lynas patuhi syarat dalam dokumen

“Namun, ini tidak memerlukan mereka memasukkan pekatan lanthanid yang mungkin mengandungi unsur radioaktif. Mungkin air saja atau kemudian pasir untuk melihat jika ada kebocoran dan memastikan proses itu berjalan baik.

“Kita akan menentusahkan semua langkah keselamatan dan semua bahan yang dijana adalah selamat seperti termaktub dalam dokumen, berdasarkan hasil kajian dan kilang perintis mereka. Kita memang mengehadkan dan menentukannya secara berperingkat.

“Jika peringkat pertama selamat dan kita berpuas hati, kita mungkin membenarkan LAMP melebihkan jumlah yang akan dimasukkan sehinggalah kita dapat jawapan dan data yang menentusahkan keselamatan kilang serta residu yang dihasilkan,” katanya.

Pohon lesen secara berperingkat

Raja Abdul Aziz berkata, Lynas perlu memohon lesen import pekatan lanthanid dan dilakukan secara berperingkat bagi setiap pekatan lanthanid yang dibawa masuk.

Bahan mentah itu akan dilabelkan dengan indeks label radioaktif, sejajar dengan peraturan di Malaysia walaupun amalan itu tidak dilaksanakan di peringkat antarabangsa.

“Meskipun kita tahu bahan ini disahkan selamat di peringkat antarabangsa, kita tetap mengambil langkah keselamatan bagi memastikan pemindahannya dari pelabuhan ke kilang adalah selamat,” katanya.

Selain itu, jika Lynas gagal menukarkan residu yang dihasilkan kepada produk komersial atau proses pengeluaran produk tertangguh, Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) yang disyaratkan kepada Lynas tetap relevan.
Via: Operasi Lynas kena syarat ketat

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment