Skuad bola sepak kebangsaan berlepas ke Vienna, Austria hari ini untuk menghadapi tiga aksi persahabatan menentang dua kelab Austria, SV Mattersburg (8 Ogos) dan TSV Hartberg (12 Ogos) serta kelab Hungary, FC Szombathely Haladas (14 Ogos).
Bagi jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal, tiga perlawanan itu perlu dimanfaat sepenuhnya pemain bagi meningkatkan kombinasi menjelang saingan Piala Suzuki AFF 2012, penghujung November depan.
“Masih ada ruang untuk pemain memperbaiki kelemahan. Sebagai jurulatih, saya mahu mencuba kombinasi dan menilai keserasian mereka di semua posisi pada setiap perlawanan ini.
“Daripada kita tiada langsung perlawanan persahabatan kelas A, adalah lebih baik untuk kita dapatkan tiga perlawanan ini berbanding jika kita hanya berkumpul di sini berlatih sepanjang Ramadan,” kata Rajagobal ketika ditemui di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.
Pengendali berusia 56 tahun itu menyenaraikan seramai 26 pemain ke Vienna termasuk pemain sayap Harimau Muda A yang baru pulang menjalani ujian pemilihan bersama kelab Jepun, FC Ryukyu Ahad lalu, Wan Zack Haikal Wan Nor.
“Saya terpaksa menggugurkan Amar Rohidan dan Fadhli Shas yang masih cedera. Asraruddin Putra Omar juga tidak dibawa kerana cedera sebelum kita bertemu Arsenal dan Manchester City tempoh hari,” jelas Rajagobal.
Skuad kebangsaan dijangka kembali ke tanah air, 16 Ogos ini dan pemain dibenarkan beraksi bersama pasukan negeri masing-masing menjelang saingan Piala Malaysia bermula 22 Ogos. Mereka akan berkumpul semula untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Vietnam di ibu negara, 11 September depan.
Sumber: Harimau Malaya berlepas ke Vienna
Other articles you might like;
yeahh ! go-go malaysia,,support harimau malaya