≡ Menu

Panasonic lancar Pusat Inovasi Pengurusan Tenaga RM4 juta

Panasonic Malaysia Sdn Bhd melabur sejumlah RM4 juta untuk menubuhkan ‘Panasonic Econation Centre’, sebuah pusat pameran bagi inovasi pengurusan tenaga berasaskan teknologi.

Pengarah Urusannya, Jeff Lee Wee Leong, berkata pusat itu bertujuan mendidik penduduk Malaysia tentang teknologi hijau terbaru dan meningkatkan kesedaran mereka terhadap gaya hidup lestari.

Beliau berkata pusat itu akan membantu syarikat itu mempercepat perhatian perniagaannya, bukan sahaja terhadap segmen perniagaan ke pengguna, malah juga memperluas segmen perniagaan ke perniagaan dan perniagaan ke kerajaan.

“Pusat itu juga akan bertindak sebagai tempat lawatan dan acara yang berkesan bagi pelawat perdagangan yang terdiri daripada pemaju, kontraktor, agensi kerajaan, wakil jualan Panasonic dan individu untuk berusaha ke arah pewujudan negara mesra alam,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran itu hari ini.

Pusat yang boleh mengurangkan hingga setan metrik pelepasan karbon dioksid dan menjimatkan tenaga elektrik sebanyak kira-kira RM10,000 setahun itu, berhasrat menarik 1,200 pelawat perdagangan dan 1,700 pelawat awam saban tahun, katanya.

Beliau berkata selain direka untuk menjana tenaga melalui modul suria, pusat itu juga dilengkapi dengan kolam tadahan air hujan.

Lee berkata pusat itu akan dirasmikan pada 6 Ogos. Ia dibuka pada Isnin hingga Khamis bagi pelawat perdagangan dan Jumaat hingga Sabtu bagi orang awam, tanpa bayaran masuk dikenakan.
“Untuk meningkatkan kempen mengenai inisiatif hijau dalam kalangan pengguna, anak syarikat Panasonic Group, Panahome, akan melancarkan satu unit rumah hijaunya di Bangsar menjelang akhir tahun ini.

“Ini bertujuan membuktikan konsep itu kepada pemilik-pemilik kepentingan seperti pemaju dan majlis bandaran. Membina rumah itu mengambil masa hanya 49 hari,” katanya.

Mengenai perniagaan perkilangan surianya, Ketua Jabatan Penyelesaian Eko, Tan Chee Hon, berkata bilangan pemohon sungguh menakjubkan setakat ini dan langkah memperkenal sistem suria oleh Panasonic ini memang kena pada masanya.

“Sebagai batu loncatan, kami memperkenal empat sistem kilowat-puncak (kWp) bagi isi rumah biasa, yang, jika beberapa tahun lalu, berharga RM80,000 hingga RM100,000, tetapi kini ia boleh ditawarkan pada RM60,000.

“Kami sedang memasang semua kelengkapan di kilang itu, jadi kami boleh memulakan pengeluaran awal tahun depan,” katanya. – BERNAMA

Via: Panasonic lancar Pusat Inovasi Pengurusan Tenaga RM4 juta

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment