Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan 20 jenis barang runcit yang diletakkan di bawah Skim Kawalan Harga sempena Aidilfitri. Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tempoh kuatkuasa skim kawalan harga itu ialah selama 15 hari, mulai 12 hingga 26 Ogos.
“Semua peniaga perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal untuk mudah membezakan dengan barang-barang lain,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, peniaga yang gagal berbuat demikian dan tidak mematuhi peraturan harga di bawah skim itu akan dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011. Pegawai Penguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna untuk memastikan semua peraturan dipatuhi, katanya.
Harga maksimum bagi barang terkawal itu ialah untuk
- ayam hidup (RM5.70);
- ayam standard yang disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal (RM6.80);
- ayam super yang disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal (RM7.60);
- daging lembu tempatan (RM22.00);
- daging lembu import-harga maksimum di Sarawak sahaja (RM24.00);
- daging kerbau tempatan (RM21.00) dan daging kerbau import India (RM13.50);p
- telur ayam gred A (RM0.35 sen), gred B (RM0.34 sen) dan gred C (RM0.33 sen);
- kubis bulat import-Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing (RM3.20);
- cili merah (RM10.00);
- tomato (RM4.50)
- kelapa parut-harga maksimum di peringkat runcit saja (RM6.00);
- kacang tanah import (RM6.50);
- bawang merah kecil India (RM5.00);
- bawang besar import (RM2.50);
- bawang putih China (RM7.50);
- ubi kentang import China (RM3.00);
- dan ikan kembung (RM12.00).
Ismail Sabri berkata, senarai harga berkenaan adalah berdasarkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana untuk beberapa negeri tertentu termasuk di Sabah dan Sarawak terdapat sedikit perbezaan harga.
Aduan mengenai peniaga tidak mematuhi skim itu boleh dibuat menerusi emel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my, atau talian bebas tol 1-800-886-800, SMS ke 15888 dengan menaip “KPDNKK ADUAN “ atau lapor terus di pejabat KPDNKK di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian akan menyiasat berhubung aduan kenaikan harga simen sebelum sebarang tindakan diambil kerana simen tidak tertakluk di bawah barang kawalan.
“Jika siasatan mendapati kenaikan harga barang itu melampau dan sengaja dinaikkan tanpa alasan munasabah, tindakan boleh dikenakan,” katanya. – BERNAMA
Sumber: 20 harga barangan dikawal sempena Aidilfitri
Other articles you might like;