Sejak blog menjadi medium utama kepada orang ramai untuk berkongsi kisah menarik mereka di Internet, muncul beribu-ribu blog baharu saban hari. Paling tidak, mereka akan berkongsi gambar atau video yang difikirkan menarik kepada orang ramai. Niche epik dan humor dipercayai mempunyai pengikut yang ramai kerana mendedahkan gambar-gambar pelik yang tidak boleh didapati di media arus perdana seperti gambar kemalangan, gambar separa lucah atau isu-isu yang hanya ‘halal’ di Internet dan ditapis di media arus perdana.
Contoh blog yang terkenal dengan niche ini ialah Blog Serius dan Oh! Tidak yang memulakan trend ini. Kemudian, datang pula beberapa nama lain dan hari ini ramai yang mengambil gambar-gambar daripada sekitar Internet untuk dijadikan artikel di blog mereka. Namun demikian, kehadiran muka-muka baru ini menjadikan niche ini penuh dengan lambakan blog-blog dan mereka bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan pembaca.
