≡ Menu

MPK Disita!

Pejabat MPK disita gagal bayar ganti rugi RM6j

KANGAR 15 Ogos – Pejabat Majlis Perbandaran Kangar (MPK) di sini hari ini disita selama dua minggu ekoran kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membayar ganti rugi termasuk faedah berjumlah lebih RM6 juta kepada sebuah syarikat pemaju perumahan di Kuala Lumpur.

Kesemuanya bermula gara-gara tindakan MPK membatalkan kontrak perjanjian dengan syarikat terbabit iaitu Sonati Development Corp. Sdn. Bhd. (Sonati) yang telah dilantik untuk membangunkan sebidang tanah milik MPK di atas lot PT4417, Mukim Titi Tinggi di Padang Besar pada 14 April 2000.

Selepas melalui proses perundangan lebih lima tahun yang mengesahkan MPK melanggar syarat-syarat kontrak perjanjian, Sonati melalui Tetuan K. Kulasekar, Achan & Associates memperolehi perintah pelaksanaan penyitaan tersebut oleh Mahkamah Tinggi Kangar pada 8 Ogos lalu dan tepat pukul 12 tengah hari ini, perintah itu dilaksanakan oleh bailif.

Berikutan itu, kakitangan MPK diarah mengosongkan pejabat tersebut bagi urusan penilaian aset dan PBT itu diberi tempoh dua minggu untuk menyelesaikan segala tuntutan ganti rugi daripada Sonati Development.

Sekiranya gagal, segala harta alih termasuk kenderaan yang dimiliki MPK bakal dilelong kepada awam.

Bagaimanapun, dalam satu pertemuan antara syarikat berkenaan yang diwakili Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporatnya, Mohd. Shafari Yaakub, para peguam daripada Tetuan K. Kulasekar, Achan & Associate dengan MPK yang berlangsung selama hampir sejam, satu persetujuan telah dicapai.

Persetujuan tersebut antara lain membenarkan kakitangan MPK untuk meneruskan operasi harian seperti biasa bermula esok.

Namun begitu, segala aset milik MPK seperti komputer dan aset-aset lain tidak dibenarkan dipindah atau dibawa keluar daripada pejabat terbabit.

Pada pertemuan tersebut, MPK hanya diwakili oleh Setiausahanya, Suhaimi A. Majid dan Ketua Jabatan Undang-Undang, Zahirah Azman.

Menurut Mohd. Shafari, melalui perjanjian bertarikh 14 Jun 1999, Sonati telah dilantik bagi menguruskan pembangunan di tanah itu untuk dibina taman perumahan.

“Tetapi, pada 14 April 2000, MPK bertindak membatalkan kontrak perjanjian. Ekoran itu, kita telah mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kangar.

“Ketika perbicaraan terakhir pada 4 Februari 2005, Hakim Datuk Hasan Lah mendapati pembatalan kontrak itu telah melanggar undang-undang dan memerintahkan Penolong Pendaftar Kanan menaksirkan jumlah ganti rugi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafari berkata, selepas rayuan MPK untuk mengetepikan tindakan undang-undang yang dilakukan oleh Sonati ditolak Mahkamah Rayuan, MPK didapati tidak menjelaskan segala tuntutan ganti rugi termasuk kadar faedah sebanyak lapan peratus berjumlah lebih RM6 juta sehingga kini.

Dalam perkembangan sama, peguam yang mewakili Sonati, Murali Achan berkata, pihaknya juga bersetuju agar operasi lori mengangkut sampah MPK berjalan seperti biasa bagi memastikan urusan berkaitan tidak terganggu.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Faezan Omar gagal dikesan bagi mendapatkan sebarang ulasan berhubung perkara tersebut.

Utusan Malaysia 16 Ogos 2006 

Memula aku dengar berita ni, ingatkan memain aja.. bila cari kat internet, mmg dah sah betul.. Memalukan..

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment