Assalamualaikum WBT
Hari ini Adam bersama ahli kumpulan; Ima Aimi Nadia, Sharifah Nuraini, Nur Azzah dan Nina Syakila telah berkesempatan ke Pejabat Editorial Utusan Melayu di Chan Sow Lin. Tujuan kami ke sana adalah untuk menjalankan temuramah dengan Ketua Pengarang Meja Agama Utusan Malaysia; En. Radzi Md Zain bagi menyempurnakan tugasan bagi kursus JRN211 – Journalism bertajuk “Cabaran Berdakwah Melalui Persuratkhabaran”
Kami bertolak dari UiTM Melaka dengan menaiki bas Mara Liner tepat jam 8.45 pagi dan tiba di stesen bas Pudu Raya jam 11.00 pagi. Setibanya di sana, kami bergerak ke Pejabat Utusan yang terletak di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin dengan menaiki LRT dari stesen Plaza Rakyat dan turun di LRT Chan Sow Lin sebelum menaiki bas ke Jalan Lima.
Setibanya kami di sana, kami disambut mesra oleh Puan Zuraida – salah seorang pekerja di Utusan Melayu dan kami dibawa ke bilik mesyuarat dimana temubual itu berlangsung. Selepas En Radzi tiba, temubual dimulakan. Temubual yang dirancang sejak beberapa minggu lalu ini telah membawa kepada kupasan isu yang kadang kala tidak diendahkan oleh orang awam kerana mereka tidak sedar bahawa melalui akhbar juga, agama Islam mampu disebarkan disamping memperkuatkan kefahaman tentang Islam itu sendiri melalui ruangan yang diwujudkan oleh Utusan Melayu.
Selepas hampir sejam menemubual beliau, kami mengakhiri tembual dan beliau bersungguh-sungguh berharap agar rakyat sentiasa sedar tentang betapa pentingnya ruangan ini kerana setiap artikel atau rencana yang dipaparkan adalah berkaitan dengan isu semasa dan bertujuan secara langsung untuk memberi didikan kepada masyarakat.
Adam, En Radzi, Ima, Azza, Nur dan Icha selepas temubual di bilik mesyuarat.
Kemudian, kami di bawa ke pejabat editorial untuk menyaksikan sendiri bagaimana proses memasukkan berita, typesetting dan grafik dimasukkan sebelum dicetak. Mungkin ini adalah pengalaman pertama kerana sebelum ini kami sebagai pelajar tidak pernah didedahkan langsung dengan proses penghasilan akhbar ini. Selain daripada mendapatkan maklumat tentang kajian kami, secara tidak langsung kami telah mendapat pengetahuan yang baru ini.
Selepas itu, kami dijemput untuk makan tengah hari di kantin Utusan. Kami amat berbesar hati menerima pelawaan En Radzi kerana sejak pagi kami tidak menjamah makanan. Selesai makan, kami menamatkan pertemuan kami dengan En Radzi di pondok pengawal Utusan Melayu. Kami diberi senaskah akhbar Utusan Malaysia setiap seorang sebagai tanda penghargaan. Terima kasih yang tak terhingga diucapkan kepada Puan Zuraida dan En Radzi yang telah sudi menerima kedatangan kami dan melayan kami dengan baik sekali.
Nur, Azza, Ima dan Icha di hadapan pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad
Sekitar jam 2 petang, kami bergerak menuju ke stesen LRT Chan Sow Lin dengan RapidKL dan seterusnya ke Plaza Rakyat untuk menaiki bas pulang ke Melaka. Perjalanan yang ringkas ini sememangnya amat meletihkan tetapi pengalaman dan pengetahuan yang kami dapat ini dapat menyembunyikan rasa penat dalam diri masing-masing. Dua jam kemudian, kami tiba di Lendu dan seterusnya menamatkan aktiviti kami dengan pulang ke bilik masing-masing.
Sesungguhnya pengalaman yang kami dapat tidak dapat dibeli, kerana setiap input yang diterima amat berguna dan akan dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Other articles you might like;