Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menimbangkan kemungkinan melakukan rombakan terhadap gandingan beregu lelaki negara, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong, kata presidennya, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh.
“Kita akan membincangkan perkara ini. Mungkin kita akan bincang sama ada akan tukar pemain atau jurulatih. Gandingan mereka mungkin juga akan dirombak.
“Sememangnya kita mengharapkan Koo dan Tan dapat menyumbang sekurang-kurangnya pingat gangsa (pada Olimpik London) tapi mereka gagal,” katanya ketika ditemui pada majlis menyambut ketibaan skuad badminton di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mohd Nadzmi berkata, beberapa cadangan diterima daripada ahli majlis BAM yang mahu gandingan Koo dan Tan dipisahkan supaya mereka diberi gandingan baru.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh buat keputusan dengan tergesa-gesa. Kita kena kaji secara keseluruhan. Jika hanya membabitkan teknik permainan, agak merugikan jika mereka dipisahkan. Kita boleh ‘meremajakan’ teknik permainan mereka.
Mohd Nadzmi berkata, kemungkinan Koo dan Tan juga mahu menukar pasangan.
“Kalau ini (betul), adalah lebih baik. Ia adalah untuk kebaikan mereka juga. Kalau mereka terus tidak berkembang…untuk apa kita perlu kekalkan mereka berdua,” katanya.
Pada perlawanan penentuan pingat gangsa acara beregu lelaki, Koo dan Tan kalah 21-23 dan 10-21 kepada Chung Jae Sung dan Lee Yong Dae dari Korea Selatan.
Untuk rekod, pasangan adik-beradik, Razif dan Jalani Sidek menjadi beregu badminton lelaki yang menyumbangkan pingat Sukan Olimpik pertama kepada Malaysia pada edisi 1992 di Barcelona, Sepanyol dengan meraih gangsa.
Pada Olimpik berikutnya di Atlanta, Amerika Syarikat pada 1996, beregu Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock berjaya meraih pingat perak. – BERNAMA
Sumber: BAM pertimbang rombak gandingan Koo dan Tan: Mohd Nadzmi. Gambar: Berita Harian.
Other articles you might like;