≡ Menu

Aktiviti pengakap kukuhkan perpaduan

PADANG BESAR 10 Mei – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu aktiviti perkhemahan pengakap dijadikan program bagi mengukuhkan perpaduan masyarakat di negara ini.

Titah baginda, aktiviti sedemikian harus diteruskan dan perlu bermula dari sekolah kerana ia memberi contoh dan teladan baik untuk generasi muda.

“Ini kerana apabila meningkat dewasa secara tidak langsung mereka menjadi lebih matang dan mudah memahami agama, bangsa, keturunan dan budaya masyarakat lain di negara ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa menutup majlis Perkhemahan Kepimpinan 1 Pengakap 1 Malaysia Peringkat Negeri Perlis di Pusat Kokurikulum Kem Tasoh di sini hari ini.

Berangkat ke majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Pengarah Jabatan Pelajaran Perlis, Mansor Lat.

Sehubungan itu, baginda berharap Persekutuan Pengakap Malaysia dan Jabatan Pelajaran Negeri merapati generasi muda melalui pendidikan positif demi melahirkan masyarakat gemilang, seimbang dan penyayang.

“Saya berharap perkhemahan ini yang berteras nilai-nilai sejagat dalam undang-undang pengakap akan membentuk modal insan yang positif dari segi emosi, jasmani dan rohani,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin mengingatkan bahawa ahli pengakap ialah pemimpin kecil yang merupakan biasan sikap daripada masyarakat sebenar di negara ini.

“Melalui persatuan pengakap, komuniti kecil ini dapat diterap nilai masyarakat penyayang dan saling menghormati sekali gus apabila mereka berada di luar komuniti ini perasaan ini terus disemai antara kaum,” titah baginda.

Baginda turut berharap agar diperbanyakkan aktiviti sedemikian yang mampu merapatkan jurang perbezaan kaum di negara ini.

‘‘Melalui penglibatan ahli pengakap Thailand yang turut hadir pada majlis ini akan dapat merapatkan hubungan Perlis dan wilayah-wilayah selatan Thailand,’’ katanya.

Seramai 700 ahli pengakap terdiri daripada pelajar dan guru sekolah di negeri ini dan 22 ahli pengakap dari wilayah Satun, Thailand menghadiri majlis berkenaan.

Oleh MARZITA ABDULLAH
utusanperlis@utusan.com.my

Other articles you might like;

0 comments… add one

Leave a Comment

Papar entri terkini dengan Commentluv <3