Cerita Kementerian Pelancongan Malaysia belanja RM1.8 juta untuk kempen dan promosi di Facebook menjadi bualan hangat sehingga ke Parlimen. Banyak pandangan positif dan negatif yang boleh diambil untuk kes ini. Bagi pengamal pemasaran internet (Internet Marketer), ini adalah peluang yang terbaik untuk mereka promosikan perkhidmatan mereka kerana banyak organisasi dan kementerian sudah melihat potensi besar Facebook dan laman sosial media untuk dijadikan medium promosi.
Sejurus selepas penyebaran berita tersebut, Kementerian Pelancongan Malaysia membuat kenyataaan media bagi menjelaskan situasi sebenar bagaimana wang RM1.8 juta dibelanjakan. Memang ada salah faham antara ahli Parlimen apabila menyatakan RM1.8 juta adalah untuk satu laman Facebook, kerana RM1.8 juta dibelanjakan kepada promosi atas talian dan ke laman media sosial.