Author: Adam Roslan

  • Budak maut terperosok bawah kereta

    Hampir pengsan seorang lelaki melihat anak saudaranya yang berusia setahun terperosok di bawah kereta yang sedang diundurnya, di Kampung Cenderawasih, Sungai Miang, dekat sini, petang kelmarin.

    Sarudi Abdullah, 22, berkata beliau gagahkan diri menarik Nur Izzati Kadir keluar dari bawah kereta dalam keadaan berlumuran darah tetapi mangsa meninggal dunia akibat cedera parah dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang.

    Dia terperosok di bawah kereta berhampiran tangki minyak, saya segera menghantarnya ke Hospital Pekan untuk rawatan kecemasan,” katanya di sini semalam.

    Pemandu bas kilang itu berkata, beliau bersama bapanya mahu ke Pekan untuk mengambil motosikal sebelum melihat mangsa sedang bermain seorang diri di belakang kereta.

    “Saya kemudian mengangkat mangsa dan meletakkannya di dalam rumah sebelum menghidupkan enjin kereta. Namun ketika mengundurkan kereta seorang jiran tiba-tiba menjerit sekuat hati memaklumkan ada budak di bawah kereta,” katanya.

    Sumber: Budak maut terperosok bawah kereta

  • Wani Wendy nafi e-mel minta wang

    Wani Wendy nafi e-mel minta wang

    20120802-165633.jpg

    Selepas kes penipuan pelaburan Internet melibatkan Adi Putra, hari ini Pelakon dan penerbit drama, Wani Wendy Wong Abdullah (gambar) menafikan menghantar e-mel meminta rakan artis supaya menghantar sejumlah wang kepadanya kerana kononnya dia terkandas di Sepanyol.

    Sebaliknya, Wani mendakwa e-melnya diceroboh individu tidak bertanggungjawab yang kemudian menghantar e-mel kepada rakan artis supaya memasukkan sebanyak 2,850 euro (RM11,000) ke Western Union Money Tranfser menerusi satu alamat rumah di Madrid.

    Katanya, dia hanya mengetahui kewujudan e-mel palsu itu selepas menerima banyak panggilan daripada rakannya untuk mengetahui perkara sebenar dan mahu menolongnya selepas menerima e-mel palsu yang menyatakan dia menghadapi masalah ketika berada di Sepanyol.

    Ketika kejadian saya berada di pejabat dan menerima panggilan daripada rakan untuk membantu selain panggilan kepada rakan kongsi, Nancie Foo kerana tidak dapat menghubungi saya, sedangkan ketika itu Nancie ada bersama saya.

    “Selepas itu, saya memeriksa akaun e-mel dan mendapati ia tidak dapat diakses dan saya bertindak menukar kata laluan. Saya juga meminta bantuan rakan untuk terus berhubung dengan pengirim e-mel terbabit dan dia ada menghantar e-mel supaya wang dimasukkan ke Western Union Money Tranfser menerusi satu alamat rumah di Madrid,” katanya.

    Beliau ditemui pada sidang media di Biro Pengaduan MCA yang turut dihadiri oleh Pengerusi Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong di sini, semalam.

    Wani berkata, sebelum kejadian itu, dia menghantar komputer ribanya ke pusat servis di Mid Valley untuk diformat semula dan menyebabkan semua data yang disimpan hilang.

    Selepas mengambilnya dan menggunakan akaun e-mel itu, saya dapati ia tidak dapat diakses sebelum dimaklumkan oleh rakan mereka menerima e-mel palsu,” katanya.

    Berikutan itu, Wani membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Brickfields.

    Sumber: Wani nafi e-mel minta wang

  • Peniaga mengaku miliki mercun kena dua tahun

    Peniaga mengaku miliki mercun kena dua tahun

    20120803-001419.jpg

    Seorang peniaga dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam selepas mengaku bersalah memiliki pelbagai jenis mercun, Ahad lalu. Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly memerintahkan Omar Ali, 45, dari Kampung Bunut Payung, menjalani hukuman berkenaan bermula tarikh dia ditangkap.

    Peniaga itu mengaku bersalah memiliki mercun mancis, pop-pop, Fire Spurter, Golden Dragon Egg, LL026, Assorted Color Smoke Balls, Whistling Moon Travellers, mercun bola kecil, mercun mancis (8803-2), 8801-B, mercun ketupat, SP-170, mercun telur, mercun botol dan mercun bola besar.

    Kesalahan dilakukan di Lot 691-A Jalan Kuala Krai, Batu 2 1/2, Kampung Bunut Payung, di sini, kira-kira jam 12.15 tengah malam Ahad lalu.

    Omar didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

    Dalam kes berasingan, Fazaly menjatuhkan hukuman denda RM7,500 atau lapan bulan penjara kepada Mohd Anuar Derahman, 44, dari Kampung Pantai Mek Mas, Badang, juga atas kesalahan memiliki pelbagai jenis mercun termasuk jenis Assorted, Thunderclap 1 Voice, mercun bola, 30 Ball Roman Dandle, Red Crazy dan mercun mancis.

    Sumber: Peniaga mengaku miliki mercun kena dua tahun

  • Pil Eramin 5 RM80j dirampas

    Pil Eramin 5 RM80j dirampas

    20120802-155510.jpg

    Lebih empat juta pil khayal Eramin 5 bernilai RM80 juta mengikut nilai pasaran semasa dirampas dalam siri serbuan di seluruh negara sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

    Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata perkembangan itu menunjukkan perubahan pola penyeludupan dadah di negara ini.

    Sepanjang 2011, sindiket lebih bertumpu kepada pengedaran syabu, malah menempat-kan makmal pemprosesan di Malaysia bagi menampung pasaran tempatan dan antarabangsa.

    Bagaimanapun, sindiket mengubah modus operandi awal tahun ini, termasuk beralih kepada pil khayal (Eramin 5) yang dipercayai diseludup melalui jalan laut,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

    Sementara itu, Rashid berkata, pihaknya kelmarin turut menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Damai Utama, Puchong di sini dipercayai dijadikan stor pil khayal berkenaan.

    Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, 395,000 pil Eramin 5 bernilai RM8 juta, yang siap diproses dan dipercayai hanya menunggu masa untuk diedarkan, dirampas polis.

    “Bagaimanapun, tiada penahanan dilakukan dan polis sedang mengesan pemilik rumah kedai itu untuk membantu siasatan,” katanya.

    Katanya, polis tidak menolak kemungkinan premis berkenaan dijadikan pusat transit dan pembungkusan semula pil khayal itu sejurus diseludup masuk ke negara ini.

    INFO: Eramin 5

  • Permintaan tinggi terutama dalam kalangan golongan muda.
  • Produk siap diproses lebih mudah diseludup dan dijual.
  • Dikenali sebagai party drugs.

    Sumber: Pil Eramin 5 RM80j dirampas

  • Chong Wei Mara Suku Akhir Badminton Olimpik 2012

    Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan berdepan pemain India, Kashyap Parupali pada perlawanan suku akhir selepas mengatasi Simon Santoso dari Indonesia pada pusingan kedua acara perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik 2012 di sini, malam tadi.

    Dalam saingan di Arena Wembley di sini, Chong Wei, pemain nombor dua dunia dan pilihan utama di sini hanya mengambil masa 34 minit untuk menjinakkan Simon 21-12, 21-18. Dalam pada itu, Kashyap terpaksa berkerja keras untuk melangkah ke suku akhir apabila menundukkan Niluka Karunaratne dari Sri Lanka 21-14, 15-21, 21-9 pada pusingan kedua.

    Chong Wei, pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, berkata kejayaan kedua di sini meningkatkan keyakinan untuk menampilkan persembahan sebenarnya selepas tidak beraksi secara kompetitif selama dua bulan akibat kecederaan buku lali pada Mei lalu.

    “Saya menikmati setiap detik di gelanggang kerana semua berjalan lancar dan ia kemenangan yang mudah daripada dijangkakan. Saya mampu mengawal perlawanan dan ini memberi keyakinan yang lebih besar kepada diri saya.

    “Perlawanan pertama tiga set pada saingan kumpulan sebenarnya begitu baik kerana ia memberi latihan kepada saya untuk melakukan pukulan tertentu. Kini satu lagi halangan untuk dilalui dan dengan doa semua rakyat Malaysia, saya optimis untuk mara ke separuh akhir,” kata Chong Wei selepas saingan itu.

    Mengenai pertembungan suku akhir dengan Kashyap nanti, Chong Wei berkata beliau pernah bertemu dengan lawannya itu tetapi saingan Olimpik adalah tahap pertandingan yang begitu berbeza.

    “Di Olimpik, tiada lawan boleh dianggap mudah dan saya menjangkakan beliau akan memberi persembahan terbaiknya dan tidak ada ruang untuk leka,” katanya.

    – BERNAMA

  • KAFA Nafi Pikat Safee Sali Hadapi Piala Malaysia 2012

    KUALA LUMPUR: Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim hari ini menafikan dakwaan bahawa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengadakan perbincangan awal dengan penyerang negara Mohd Safee Sali untuk membantu skuad itu menghadapi kempen Piala Malaysia yang dijangka bermula 22 Ogos ini.

    Beliau berkata pasukan itu tidak pernah mengadakan perjumpaan dengan penyerang yang mewakili kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya itu memandangkan beliau tidak layak beraksi dalam Piala Malaysia. Mengikut peraturan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), setiap pasukan yang layak beraksi dalam Piala Malaysia tidak dibenarkan untuk meminjamkan pemain dari liga luar negara untuk memperkuatkan pasukan.

    “Setahu saya, kita tidak pernah berjumpa dengan beliau untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi Piala Malaysia kerana FAM tidak membenarkan kita berbuat demikian selain itu, kita perlu menghormati kontrak beliau bersama pasukan Pelita Jaya ketika ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Sebelum ini, beberapa blog sukan melaporkan bahawa KAFA telah mengadakan perbincangan awal dengan bekas penyerang Selangor itu bagi membantu juara bertahan Liga Super itu untuk menghadapi Piala Malaysia.

    Mohd Safee kini berehat daripada ISL dan menawarkan khidmat kepada mana-mana pasukan bagi memastikannya sentiasa cergas untuk menghadapi musim baru liga itu yang dijangka awal tahun depan.

    Azman berkata KAFA meminjam tiga pemain dari pasukan lain iaitu dua dari Kuala Lumpur, Aslam Haja Najumudeen dan Mohd Afiq Azmi, dan seorang pemain Sabah, Mafrey Balang untuk memperkuatkan pasukannya bagi menghadapi kempen kali ini.

    “Kita tidak berdepan masalah kecederaan pemain, cuma kita meminjam mereka bertiga kerana kita mahu memastikan pemain cergas sepenuhnya bagi menghadapi Piala Malaysia dan Piala AFC,” katanya.

    Kelantan akan menentang kelab Liga Super Iraq, Arbil FC pada suku akhir Piala AFC di Iraq pada 18 September dan di Kota Bharu pada 25 September.

    Ditanya mengenai sasaran pasukan itu pada saingan Piala Malaysia musim ini, Azman berkata pihak pengurusan telah meletakkan sasaran ke separuh akhir seperti yang diraih musim lalu.

    Pencapaian pasukan `The Red Warriors’ itu pada saingan Piala Malaysia ialah muncul naib juara sekali iaitu pada 2010 dan naib juara sebanyak tiga kali iaitu pada 1955, 1970 dan 2009. – BERNAMA